Alan LaVern Bean, atau nama panggilannya Beano adalah astronaut NASA yang juga merupakan salah seorang krew bagi misi Apollo 12 pada tahun . Beliau mengisi posisi sebagai juruterbang modul pendarat (Lunar Module Pilot) yang ditinggalkan oleh astronaut C.C. Williams kerana terbunuh di dalam satu nahas udara.
Antara objektif utama bagi misi Apollo 12 adalah mendaratkan modul pendarat secara tepat di lokasi yang ditetapkan, iaitu berdekatan dengan lokasi pendaratan prob angkasa Surveyor III. Ini bagi memastikan prob berkenaan boleh dijejaki oleh krew Apollo 12 secara berjalan kaki. Prob angkasa Surveyor III telah dilancarkan pada tahun 1967 dengan misi untuk meninjau persekitaran permukaan bulan melalui kamera yang dipasang pada prob berkenaan.
Bagi meraikan kejayaan objektif ini, Beano dan Pete Conrad, komander bagi Apollo 12 telah merancang satu rancangan nakal untuk dilaksanakan di lokasi pendaratan prob Surveyor III tersebut. Mereka merancang untuk mengambil gambar bersama-sama dengan menjadikan prob Surveyor III sebagai latar. Bagi melaksanakan rancangan nakal ini, mereka telah menyeludup alat penentu masa kamera di dalam karung sampel batuan bulan untuk dibawa ke bulan.
Beano dan Pete juga berniat menggunakan gambar ini untuk membuatkan pegawai NASA berasa hairan dan tertanya siapakah jurukamera yang merakam foto mereka berdua. Ini kerana kamera yang dibekalkan NASA memerlukan astronaut menekan butang untuk mengambil gambar, jadi adalah mustahil untuk kedua-dua astronaut tersebut boleh berada sekali di dalam satu gambar.
Keunikan foto yang dirancang ini juga membuatkan Beano dan Pete sudah mula berangan-angan foto tersebut bakal menjadi ikonik dan menghiasi muka depan majalah-majalah ternama seperti Life, Time dan sebagainya.
Malangnya, rancangan nakal mereka tidak kesampaian bila mana keadaan permukaan bulan yang gelap serta debu bulan yang tebal telah menyelimuti karung sampel mereka dan menyukarkan Beano untuk menjumpai alat penentu masa tersebut. Oleh kerana mempunyai masa yang terhad untuk melaksanakan senarai misi, mereka terpaksa melupakan rancangan tersebut dan fokus pada misi utama mereka walaupun Pete juga membantu mencari alat tersebut.
Alat penentu masa tersebut hanya dijumpai di saat akhir ekspedisi bulan mereka. Kerana kesuntukan masa, Beano hanya mampu mencampak alat penentu masa tersebut sekuat hati tanpa sempat menggunakannya. Selain alat penentu masa tersebut, Beano juga telah meninggalkan lencana astronaut bewarna perak miliknya di bulan. Lencana ini dipakai oleh semua astronaut NASA. Namun, astronaut yang berjaya menyempurnakan misi ke angkasa akan diberi lencana baru yang bewarna emas.
Sebagai tanda penghormatan kepada mendiang astronaut C.C Williams, Beano telah mencandangkan agar rekabentuk patch bagi misi Apollo 12 ini mempunyai lakaran 4 buah bintang, 3 bagi krew Apollo 12 manakala satu bintang didedikasikan kepada mending C.C. Selain itu, lencana sayap astronaut marin milik C.C. Williams juga disemadikan di bulan setelah dipersetujui balu beliau.
Pada tahun 1999, dengan bakat melukis yang dimilikinya, Beano telah menyiapkan sebuah lukisan yang menggambarkan rupa foto tersebut sekiranya rancangan nakal beliau dan Pete berjaya dilaksanakan. Lukisan tersebut diberi tajuk The fabulous photo we never took’.
-Fariz Mazlan-
https://www.facebook.com/thepatriots2020/photos/a.182165691977464.1073741828.181500092044024/399385183588846/?type=1
No comments:
Post a Comment