Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 1 November 2015

Islam bukan agama ekstrem

(SH 2 November 2015)

Saya tertarik untuk mengulas kenyataan PM minggu lalu, hanya pendekatan wasatiyyah dapat membendung liberalisme dan ekstremisme. Menurut Profesor Kamal Hasan, wasatiyyah mengandungi tiga unsur iaitu adil, cemerlang dan seimbang. Adil bermakna tidak memihak kepada sesiapa selain kebenaran, cemerlang dalam pelbagai bidang, dan seimbang seperti yang ditunjukkan Nabi. Tidak melampau dalam pengamalan agama. Misalnya,  Nabi puasa dan berbuka, solat dan tidur, berkahwin dan lain-lain.

Ketika menyampaikan syarahan di UniSZA, beliau berkata; Islam adalah agama sederhana yang terletak antara ekstremisme (sikap melampau) dan rendah akhlak (laxity). Ia tidak menganjurkan pengganasan dan tidak pula kelekaan, sebaliknya agama yang menekankan perdamaian dan keamanan (salam), toleransi dan menghormati hak agama lain. Bersumberkan Al-Quran dan Sunah.

Menurutnya lagi, berimbang dalam pelbagai aspek kehidupan seperti, menegakkan keadilan dan membuat kebaikan. Tidak kikir dan tidak boros dan membazir. Tidak sombong dan riyak. Menjaga hubungan baik dengan semua orang (agama). Membela dengan bersebab. Menerima hak penganut lain mengamalkan agama. Pelbagai akhlak dan sikap santun seperti yang dipaparkan Nabi (seperti berdiri menghormati mayat Yahudi). Masyarakat Melayu-Islam di rantau ini telah memaparkan wasatiyyah dan toleransi.

Saya amat bersetuju dengan kenyataan ini. Apatah lagi jika dikaitkan tolerasi orang Melayu-Islam dengan bukan Islam. Rumah ibarat bukan Islam sepuluh kali ganda bilangan masjid surau, meskipun Islam agama persekutuan. Patung-patung dan gereja yang ada, adalah antara yang tertinggi dan terbesar di dunia, seperti boleh kita dilihat di Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan, walaupun penganutnya tidak ramai. Selain itu, kita dapat lihat juga seni bina masjid Cina berbentuk pagoda yang diperjuangkan oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia. 

Dalam banyak kes di mahkamah melibatkan ketegangan agama seperti perebutan mayat, hak penjagaan anak dan sebagainya, umat Islam akan mengalah apabila mahkamah membuat keputusan. Jika ada yang masih berkeras, itu kes terpencil. Pokoknya, umat Islam tidak akan merusuh seperti yang berlaku di negara lain.

Janganlah bandingkan dengan tindakan taliban yang memusnahkan patung Buddha di Afghanistan. Mungkin mereka berpandangan, buat apa lagi patung itu, jika penganutnya hampir tiada. Agama ini untuk diamalkan, bukan dimuziumkan.

Buktikan, contoh-contoh keganasan yang dilakukan oleh umat Islam. Jika adapun, ia adalah respon kepada ketidakadilan dunia yang sedang memerangi dan menindas umat Islam. Apakah wajar umat Islam Palestin diganyang sewenang-wenangnya tanpa ada senjata. Peperangan yang gentlement adalah peperangan yang melibatkan kekuatan persenjataan masing-masing.

Cuba buat perbandingan antara minoriti bukan Islam yang tinggal dalam negara Islam dengan minoriti Islam tinggal dalam negara bukan Islam. Siapakah yang lebih mendapat keuntungan dan nikmat keamanan? Jangan pergi jauh, lihat sahaja wasatiyyah di Malaysia. Hampir keseluruhan kekayaan negara ini milik bukan Islam. Masih perlukah kita menganjurkan seminar wasatiyyah bagi menunjukkan Islam agama sederhana?

Lihat kehebatan Salahuddin al-Ayubi, bagaimana tentera bukan Islam yang cedera turut berikan rawatan, walaupun mereka kalah dalam peperangan. Berbanding sebelum itu, apabila tentera Islam kalah, bukan sahaja mereka dibunuh, malah umat Islam yang masih hidup yang mahu tinggal di sana, turut diuji keIslamannya. Ada yang dipaksa makan babi, bagi membuktikan bahawa keIslamannya telah cair. Sebahagian cerita ini telah didokumenkan oleh produser barat sendiri dalam filem Kingdom of Heaven. Tontonilah.

Inilah pendekatan yang telah dibawa oleh pemimpin hari ini, tetapi malang ultra kiasu telah memanipulasikan semua kebaikan yang diberikan. Beri betis nak peha. Keadaan ini juga yang menyebabkan saya terpaksa melabelkan kumpulan ini. Jika tidak, buat apa mencari susah dalam hidup ini. Saban hari mendengar caci maki orang. Sebagai insan kerdil, idealnya saya tidak mahu mencari musuh. 

Cabaran besar hari ini adalah bagaimana mahu melahirkan pemimpin politik yang berilmu, mahir dalam selok-belok sosio-ekonomi dan politik. Segala kerosakan yang berlaku adalah disebabkan pemimpin politik, bukan rakyat. Terutama yang bertindak dan mengeluarkan kenyataan yang tidak menampakkan kematangan dalam berpolitik. Dapat kuasa lupa diri.

Amat sedih sekali mendengar kata-kata bekas menteri, umat Islam hari ini hanya sensitif soal arak, tetapi tidak dalam isu korupsi. Untuk makluman pemimpin jahil tersebut, kami sensitif dalam semua perkara. Jangan kerana kita suka minum arak, maka kita mahu cover dengan 1MDB. Perkara ini masih lagi dalam siasatan. Kebenaran pasti akan terbongkar. Sabarlah dahulu. Ini tidak, bila sudah tidak berjawatan, bukan main lantang lagi. Ketika berjawatan, kenapa menikus?

Saya harap pemimpin sebegini, belajar Islam sebagai ajaran rahmatan lilalamin. Jika jahil dan gagap baca Quran, pergilah mengaji dan bertanya kepada orang lain. Islam bukan setakat hafal rukun iman dan rukun Islam, tetapi sebagai way of life, ada keseimbangan dunia dan akhirat, menjaga hubungan Islam – bukan Islam. Kajilah. 

http://ridhuantee.blogspot.my/2015/11/islam-bukan-agama-ekstrem.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...