Pegawai kanan polis antara enam ditahan berhubung dakwaan salah laku melibatkan lebih RM1.5 juta peruntukan membaik pulih dan menaik taraf ibu pejabat polis di Bukit Aman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata, turut ditahan, pegawai rendah polis dan kontraktor yang terlibat dengan kes berkenaan.
"Kita telah menangkap enam orang dan yang keenam pagi tadi. Kesalahan salah laku ini dikesan oleh Naziran Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jadi, Naziran sendiri mengesan dan kita telah melancarkan tindakan membuka siasatan dan menangkap mereka terlibat antaranya pegawai kanan dan kontraktor-kontraktor," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Sunathon 2015 di Masjid Bukit Aman, di sini hari ini.
Pada masa sama, polis telah menyita beberapa buah kenderaan mewah dan beberapa akaun bank.
"(Pegawai polis kanan) baru ditangkap dan akan direman hari ini. Ada yang direman hari ini, ada yang direman semalam. Kita telah buat (tangkapan) mulai kelmarin," tambahnya.
Pihak polis juga katanya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak tertentu dalam soal melibatkan kes jenayah.
"Kita tidak akan berkompromi dan membiarkan sesiapa juga melakukan sebarang bentuk jenayah termasuk kakitangan kita sendiri . Kita tidak pernah melindungi anggota kita yang terlibat dengan apa jua jenayah," jelas beliau.
Sebelum ini, akhbar Bahasa Inggeris, The Sun melalui sumber dalaman menyatakan RM1.5 juta yang diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman adalah perbelanjaan yang tidak wujud.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siasatan) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib juga telah mengesahkan perkara itu.
Beberapa pembongkaran dibuat sejak beberapa bulan yang lalu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan audit dalaman di Jabatan Logistik Polis.
Kos membaik pulih pintu kalis api dan juga sistem penghawa dingin direkodkan bernilai RM500,000, namun tiada sebarang kerja-kerja dilakukan walaupun bayaran kepada kontraktor yang dilantik telah dibuat.
Pada masa sama, lebih RM1 juta didakwa digunakan untuk tender yang tidak wujud.
http://siemens-melayumaju.blogspot.sg/2015/11/skandal-rm15-juta-bukit-aman-pegawai.html
No comments:
Post a Comment