Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Thursday, 21 January 2016

Malaysia tidak teruk terjejas akibat kelembapan dunia



Meskipun ramai yang menjangkakan kejatuhan harga minyak mentah mungkin menyebabkan kelembapan ekonomi dunia, ahli dan pakar ekonomi yakin Malaysia tidak akan teruk terjejas.

"Kita tidak menuju kelembapan ekonomi walaupun sentimen pertumbuhan ekonomi dunia dibelenggu kebimbangan berikutan kenaikan kadar faedah US serta kelembapan ekonomi China", kata Ketua Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata Malaysia tertekan akibat faktor luaran termasuk harga minyak yang rendah yang sudah agak lama iaitu antara dua dan tiga tahun, dan oleh itu tidak menjangkakan keadaan menjadi lebih buruk.

"Dalam konteks Malaysia, negara ini masih dianggap menarik kepada pelabur walaupun jumlahnya mungkin lebih kecil. Negara ini masih mencatat pertumbuhan walaupun hakikatnya ia tidak tumbuh secepat yang kita mahukan, namun tidak merosot dengan begitu teruk.

"Kita sedang pulih daripada kelembapan ekonomi," katanya kepada Bernama.

Sementara itu Naib Presiden dan Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan yang berkongsi pandangannya mengenai unjuran global, berkata kegawatan ekonomi dunia dijangka tidak berlaku memandangkan kejatuhan harga minyak berpunca daripada lebihan bekalan, dan bukannya disebabkan oleh kurangnya permintaan.

Walaupun perang harga mencetuskan jualan dalam ekuiti antarabangsa, ia hanya membawa impak ketara ke atas ekonomi pengeluar utama minyak seperti Arab Saudi, Iraq dan Rusia.

Para pelabur digesa mengetepikan faktor kejatuhan harga minyak itu dengan mengumpul saham untuk keuntungan jangka sederhana, memandangkan status Malaysia bukan lagi pengeluar utama minyak.

"Kita perlu memahami bahawa Malaysia bukan lagi pengeksport utama minyak seperti 10 tahun lepas. Malah, kerajaan sudah pun mengurangkan pergantungannya ke atas hasil minyak, daripada 40 peratus kepada 20 peratus.

"oleh itu saya lihat jika harga minyak turun, ia tidaklah begitu buruk ke atas ekonomi kita, namun semestinya sentimen akan terjejas sedikit dalam jangka pendek," katanya kepada Bernama.

Nazri yakin asas negara tidak akan terjejas dan optimistik indeks komposit di Bursa Malaysia akan pulih kepada hampir 1,800 mata.

"Malaysia mempunyai Cukai Barang dan Perkhidmatan untuk mengimbangi kejatuhan harga minyak, manakala penggunaan swasta dalam negara masih kukuh," katanya.

Sementara itu, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup Rabu pada 1,618.83 berbanding 1,628.55 pada penutupan Jumaat.

Bagi pasaran global, Wall Street menjunam pada Jumaat, 15 Jan, dengan Indeks Perusahaan Dow Jones jatuh 13.7 peratus, dan S&P 500 susut 13 peratus kepada paras terendah sejak Oktober 2014.

Prestasi bursa-bursa di Timur Tengah juga sama awal minggu ini, jatuh lebih lima peratus ekoran penamatan sekatan ke atas Iran yang mencetuskan kebimbangan berlaku perang harga minyak.

Harga minyak mencecah paras US$30, paras terendah baharu dalam tempoh 12 tahun, ekoran kebimbangan bahawa Iran mungkin membanjiri pasaran minyak dunia dengan berjuta-juta tong minyak mentah.

Bagi Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd Nor Zahidi Alias, tekanan ke atas harga minyak mentah sudah pun dijangkakan memandangkan pengeluaran dari Iran yang menambah kepada lebihan global sedia ada.

Namun, berita dari China memburukkan lagi ketidaktentuan ekonomi global, katanya.

"Bagi Malaysia, kestabilan harga minyak mentah penting untuk prestasi fiskalnya pada 2016. Hasil GST sudah pasti membantu, mungkin lebih daripada yang dijangkakan, bagi menampan kejatuhan menyeluruh hasil kerajaan pada 2016.

"Berdasarkan anggaran kami, jika harga minyak mentah mencatatkan purata pertengahan US$30-an, ia mungkin menjurus kepada peningkatan dalam defisit bajet kira-kira 60 mata asas, jika tidak diiringi sebarang pemotongan dalam perbelanjaan kerajaan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata berdasarkan beberapa pemotongan dalam operasi perbelanjaan, defisit mungkin tidak meningkat terlalu ketara.

Selain itu, mengikut pengalaman lepas, perbelanjaan pembangunan dijangka tidak digunakan sepenuhnya berdasarkan hanya kira-kira 93 peratus kadar penggunaan sejak empat tahun lepas.

"Jika trend ini berterusan, jurang bajet hanya meningkat sedikit. Risikonya bagaimanapun bergantung kepada pertumbuhan sebenar KDNK nominal, yang mungkin lebih rendah berbanding unjuran kerajaan sebanyak 6.8 peratus bagi 2016," katanya.

Beliau berkata secara khususnya, peningkatan perlahan dalam pertumbuhan KDNK nominal akan memberi tekanan ke atas defisit bajet dan jumlah hutang Malaysia.

"Secara keseluruhan, kami menjangkakan kecenderungan menurun kepada pertumbuhan utama Malaysia jika harga minyak mentah tidak pulih pada separuh kedua tahun ini (2H16)," katanya.

Bagaimanapun katanya pengelaur utama minyak mentah seperti Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), mengunjurkan lebihan itu akan menyusut menjelang akhir tahun berdasarkan jangkaan pengurangan pengeluaran oleh pengeluar bukan anggota OPEC.

Pada masa yang sama, pengeluaran minyak syal dijangkakan berkurangan tahun ini disebabkan oleh pengurangan jumlah perbelanjaan peserta industri itu.

Situasi ini boleh membantu meningkatkan sentimen pada 2016, kata Zahidi.

http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/01/malaysia-tidak-teruk-terjejas-akibat.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...