HASIL kajian terbaru yang dijalankan oleh penyelidik buat kali pertama menunjukkan kuda dapat membezakan perasaan gembira dan marah menerusi ekspresi muka manusia, lapor CNN. Menerusi kajian yang dijalankan oleh penyelidik psikologi di Universiti of Sussex, United Kingdom, sejumlah 28 ekor kuda menunjukkan perubahan ekspresi dan tindak balas ketika pemantauan dijalankan menerusi gambar foto yang diambil dalam tempoh masa 30 saat.
Ketika kuda-kuda berkenaan telah ditunjukkan gambar seorang lelaki sedang marah, kadar degupan jantung haiwan berkenaan mula menunjukkan peningkatan. Apa yang lebih penting, kuda-kuda yang dikaji tersebut juga turut menggerakkan kepala untuk melihat ke arah foto agresif tersebut melalui mata kirinya – iaitu satu sifat yang berkaitan dengan rangsangan negatif. Menurut penyelidik, maklumat yang diperolehi dari mata kiri kuda akan diproses di bahagian hemisfera kanan otak iaitu kawasan yang dikhususkan sewaktu haiwan berkenaan merasa terancam.
“Apa yang menarik mengenai kajian ini adalah ia menunjukkan kuda mempunyai kebolehan untuk membaca perasaan seseorang,”kata Amy Smith, seorang pelajar yang turut sama mengetuai penyelidikan itu. “ Kami sudah lama mengetahui yang kuda adalah merupakan antara spesies yang sosial namun ini kali pertama kami melihat yang ia boleh membezakan ekspresi muka manusia yang positif dan negatif,”katanya. -AP
No comments:
Post a Comment