KUALA LUMPUR 19 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu mengambil iktibar daripada keputusan para pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang memberikan kemenangan dengan undi majoriti lebih besar kepada Barisan Nasional (BN).
ABDUL HAMID MOHAMAD
Nasihat untuk renungan Dr. Mahathir itu bukan dibuat oleh pemimpin politik, tetapi disuarakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang mahu melihat Melayu bersatu dan bukan terus bercakaran.
Kata Abdul Hamid, selaku bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir tidak seharusnya merosakkan integriti dan pencapaian yang diperoleh sepanjang hayat beliau dengan memilih arah bertentangan di penghujung jalan.
“Janganlah menyusahkan orang untuk terus menghormati beliau. Lebih baik Dr. Mahathir berehat supaya orang boleh terus menghormatinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini sebagai mengulas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Menyentuh mengenai kemenangan besar BN di kedua-dua kawasan tersebut yang menyaksikan lonjakan majoriti, Abdul Hamid berkata, pemimpin UMNO dan BN tidak boleh mendabik dada atau bongkak dengan kejayaan itu, sebaliknya perlu berterima kasih kepada pengundi.
Katanya, jika pemimpin UMNO lupa diri dengan ujian kemenangan itu hingga mula bercakap sombong dengan memukul canang di merata tempat, tidak mustahil orang ramai berasa meluat dan seandainya keadaan sedemikian berlaku, mereka akan menolak BN.
Tambahnya lagi, kemenangan tersebut juga merupakan satu peringatan dan juga manifestasi para pengundi kepada kepemimpinan parti agar segera membersihkan diri daripada imej rasuah bagi meraih seramai mungkin sokongan rakyat terutama orang Melayu.
“Apabila BN kembali kuat, pengundi bukan Melayu terutama masyarakat Cina akan membuat perhitungan untung-rugi semula dan keadaan ini mungkin akan mengubah pendirian mereka untuk mengundi BN semula kerana mereka takut rugi,” katanya.
Sementara itu penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, keputusan dua pilihan raya kecil itu merupakan penanda aras sokongan rakyat kepada BN.
“Meskipun masyarakat dimomokkan dengan pelbagai isu memburukkan kerajaan seperti Deklarasi Rakyat yang disertai nama besar seperti Dr. Mahathir dan sebagainya, kemenangan BN semalam menandakan masyarakat tidak terlalu terkesan dengan angin politik yang dibawa itu.
“Pakatan pembangkang juga menerima tamparan hebat daripada keputusan semalam,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, Dr. Mahathir perlu bersara daripada politik dan berhenti memalukan diri sendiri.
“Kalau dulu beliau menyuruh kita lawan DAP habis-habisan, tapi kini beliau pula yang ‘sekatil’ dengan mereka. Saya kira masyarakat juga sudah jelak dengan tindak-tanduknya dan kemenangan BN semalam membuktikan pengaruh beliau khususnya kepada orang Melayu sudah hilang.
“Kemenangan semalam juga menjadi titik-tolak sokongan masyarakat Cina kepada BN yang dilihat semakin positif. Ini menandakan masyarakat Cina sudah semakin terbuka dan dapat menerima polisi dan dasar-dasar yang kerajaan laksanakan,” katanya.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/06/dr-mahathir-dinasihat-ambil-iktibar.html
No comments:
Post a Comment