BAGI kebanyakan orang di dalam Umno, kempen terbaharu Tun Dr Mahathir Mohamad bersama DAP dan Amanah menentang parti itu pada pilihan raya kecil baru-baru ini dilihat sebagai satu pengkhianatan terbesar.
Tindakan itu menyebabkan ramai di dalam Umno terkejut dan terkedu melihat beliau memberitahu pengundi untuk memastikan parti itu dikalahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar.
Tokoh politik yang disegani itu melakukannya semula sekali lagi.
Kecenderungan Dr Mahathir untuk memberi kejutan dan menggoncangkan politik Malaysia tidak mengenal sempadan.
Beliau ibarat seperti Donald Trump 'Malaysia' - hampir tiada sebarang had untuknya.
Bekas perdana menteri itu membakar satu demi satu jambatan yang menghubungkan beliau dengan parti lama dan orang di dalamnya.
Namun tidak mustahil beliau telah membakar jambatan terakhir dengan berkempen menentang Umno pada dua PRK itu.
"Beliau terus menyatakan beliau tidak menentang Umno, jadi ini anda panggil apa?," kata Ketua Umno Bahagian Kapar, Datuk Faizal Abdullah.
Tindakan itu amat menyakitkan bagi Faizal yang berkempen di Sungai Besar apabila menyaksikan bekas presiden parti berdiri sepentas dengan pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan menggesa pengundi menyokong calon Amanah.
"Untuk beberapa bulan, kita fikir masih ada sedikit harapan bahawa beliau masih menyayangi Umno. Namun berada di atas pentas dengan pembangkang dan mahu kita kalah kedua-dua kerusi Parlimen, segalanya sudah berakhir, ia satu pengkhianatan yang jelas.
Ucapan kempen Dr Mahathir tidak dihalang dan serangannya terhadap perdana menteri dan isteri amat bersifat peribadi.
Malah, beberapa kenyataan beliau tidak sesuai memandangkan sekarang bulan Ramadan.
Perasaannya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak melebihi kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau mana-mana isu yang pernah dibangkitkan setakat ini.
Beliau kelihatan agak kecewa kerana gagal mengusir Najib selepas melakukan serangan tanpa henti selama lebih setahun.
Dr Mahathir juga terlalu marah apabila orang ramai tidak memberikan sokongan dan mengatakan mereka yang menyokong Barisan Nasional (BN) adalah orang yang menerima rasuah.
Pemimpin tertinggi Umno agak berat mulut untuk membidas Dr Mahathir kerana kedudukan dan usianya.
Mereka enggan dianggap sebagai tidak hormat atau tidak terhutang budi.
Beliau memberikan banyak sumbangan kepada negara dan juga parti sepanjang era pentadbirannya.
Namun sekarang segalanya sudah melampau bagi pemimpin Umno selepas Dr Mahathir menyertai Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam kempen Pakatan Harapan menggesa supaya rakyat tidak mengundi Umno pada PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar.
Ia adalah perkhianatan besar dan tiada lagi keperluan untuk berada di sekelilingnya.
Najib membalas kritikan tersebut tiga hari kemudian ketika melancarkan Proton Perdana baharu di Putrajaya.
Perdana Menteri itu memberitahu orang ramai yang hadir bahawa beliau gembira dengan perubahan dalam pentadbiran Proton.
"Tiada lagi campur tangan politik seperti semasa zaman pentadbiran Mahathir," katanya.
Kenyataan Najib itu bagaimanapun menjadi viral.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/06/dr-mahathir-sudah-melampaui-batasakhir.html
No comments:
Post a Comment