Dua pemimpin utama PAS menyerang balas Penasihat DAP Lim Kit Siang yang lantang mengutuk PAS sejak kekalahan pembangkang kepada BN dalam pilihanraya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini.
PAS melalui Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memulangkan paku buah keras kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang dengan mendakwa gabungan DAP, PKR, PAN dan Tun Mahathir Mohamad sendiri gagal mengalahkan BN.
Ahmad Yakob yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS bahkan menyindir DAP juga tidak terkecuali bakal terkubur pada pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana didapati semakin hilang pengaruh.
Menurut beliau itu walaupun DAP bergabung bersama PKR, PAN dan dibantu oleh bekas perdana menteri Tun Mahathir, parti itu masih gagal mengalahkan BN 18 Jun lalu.
Sindiran itu berikutan selepas DAP meramalkan pengaruh PAS semakin lemah di beberapa negeri dan bakal kehilangan Kelantan.
Malah ujar beliau, perkembangan terkini itu menunjukkan tidak ada mana-mana parti pembangkang yang didapati benar-benar kuat atau mendapat sokongan padu rakyat.
“Dia sendiri pun lemah, dalam dua PRK baru-baru ini, dia bergabung empat kumpulan (DAP, PAN, PKR dan Tun Dr. Mahathir Mohamad) tetapi tetap tidak boleh mengatasi BN.
“Ertinya, kelemahan itu ada pada sesiapa. Ini pengajaran buat semua,” katanya.
Kit Siang dilaporkan meramalkan PAS bakal ‘bungkus’ di Selangor dan Perak selain kehilangan Kelantan dalam PRU-14 sekiranya prestasi parti itu dalam PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini diambil kira.
Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, PAS sebagai sebuah parti politik bersedia menerima apa sahaja kemungkinan termasuk khabar angin mengatakan PRU-14 mungkin berlangsung tahun depan.
Katanya, PAS akan bermati-matian mempertahankan setiap kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya lalu termasuk memastikan Kelantan tidak dirampas mana-mana pihak.
“Sebagai parti politik, kita sentiasa bersedia. Hakikatnya kita sebenarnya mula buat persediaan sebaik sahaja PRU dahulu berakhir. Kalau betul tahun depan, kita tidak ada masalah,” katanya.
Sementara itu, DAP dicabar memberi kerusi miliknya kepada Parti Amanah Negara (PAN) pada pilihanraya umum (PRU) akan datang.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata itu adalah satu-satunya cara bagi parti serpihan PAS dapat berfungsi sebagai parti baharu.
"Jika Parti Amanah Negara mahu hidup, dia kena bertanding di kerusi DAP. DAP perlu bagi kerana PAN seolah-olah anak buah yang kelihatan begitu serasi.
"Pada pilihanraya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, PAN gagal mendapat undi Melayu dan hanya memperoleh undi bukan Melayu atas bantuan DAP," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis tadarus, iftar dan ceramah Ghazwah Badar di Pasir Tumboh, Kelantan, malam tadi.
Mengenai cadangan Kit Siang, yang meminta PAS hanya bertanding di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis manakala kerusi lain diberi kepada parti serpihannya pada PRU akan datang, Tuan Ibrahim berkata, PAS wujud sebelum DAP.
"PAS tetap bertanding di lokasi tradisi. Sekiranya itu pemikiran Kit Siang, saya cadangkan dia bertanding di Pulau Pinang," katanya.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/06/mulut-celupar-mb-kelantan-timbalan.html
No comments:
Post a Comment