Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Tuesday, 28 June 2016

Polemik Zakat: 10 hujah menjawab viral negatif zakat



Apabila sebuah stesen TV swasta membuat tinjauan umum mengenai ‘apakah cara terbaik menyalurkan zakat?’, sudah diduga apa hasilnya. Soalan yang dikemukakan, pilih antara dua cara. Melalui pusat pungutan zakat atau diagihkan sendiri. Seperti dijangka, 70 peratus memilih untuk mengagih sendiri.

Tanpa menafikan ruang-ruang penambah baikan yang ada di sisi pusat-pusat pengurusan zakat, namun membuat tinjauan sedemikian bagi saya tidak kena. Ada pihak berkata, kenapa stesen TV berkenaan tidak membuat tinjauan mengenai kewajipan cukai pendapatan, wajar atau tidak? Boleh juga membuat tinjauan tentang iklan-iklan yang banyak ditayangkan di stesen TV berbayar itu ‘sendiri’, sama ada wajar atau tidak? Jawapan sudah boleh diduga.

Namun, nasi sudah menjadi bubur. Survey sudah dibuat. Apa yang berlaku, maka gegak gempitalah komen-komen yang panas mengenai pusat zakat. Membaca sepintas lalu komen-komen yang ditinggalkan di laman Facebook yang memuatkan pandangan dua orang mufti pasca tinjauan berkenaan, saya boleh simpulkan:

1. Agihan zakat dianggap lambat, banyak prosedur dan leceh.

Umumnya mereka mahu agar agihan dipermudahkan. Jawapannya, ia tidak boleh dipermudahkan sehingga bermudah-mudah. Zakat adalah ibadah wajib. Ada tatacaranya. Dalam hadis sahih Nabi Muhammad SAW menyatakan, wajib dilakukan siasatan kepada mereka yang mengaku miskin. Itu arahan nabi. Maka bermudah-mudah sehingga mengenepikan arahan nabi adalah sesuatu yang salah.

2. Pusat zakat tidak proaktif mencari fakir miskin dan menunggu sahaja di pejabat.

Mereka seolah-olah hidup di era 1980-an. Bayangkan, kebanyakan pusat zakat mempunyai laman sesawang malah Facebook sendiri. Di dalamnya dipaparkan banyak aktiviti turun padang. Siang malam amil bekerja mencari dan membela asnaf. Hakikatnya, asnaf yang dicari, bukan dinanti.

3. Yakin zakat yang diagih sendiri lebih berkesan membantu asnaf.

Mungkin kerana nampak asnaf pegang duit langsung dari kocek mereka. Namunmereka tidak sedar, seorang atau dua tiga orang yang mereka berikan zakat, apahal pula dengan ribuan yang lainMereka nampak sekeliling sahaja, tetapi di luar lingkungan mereka tidak nampak. Bayangkan, di Selangor sahaja jumlah keluarga fakir miskin mencecah 50,000 buah. Adakah mereka fikir menyantuni secara personal itu akan dapat memayungi ratusan ribu asnaf.

4. Ragu dengan ketelusan agihan zakat.

Ketelusan dalam agihan boleh disemak dalam Laporan Tahunan Pengurusan Zakat. Di Selangor misalnya, semua orang boleh akses kepada laporan itu. Adadinyatakan jumlah kutipan dan agihan. Siapa penerimanya, jumlah penerimanya dan jenis-jenis bantuannya. Malah Jabatan Audit Negara melaksanakan audit tahunan dan diberikan Sijil Bersih, bukti tiada penyelewengan.

5. Kecekapan kutipan tidak sama dengan kecekapan agihan.

Pusat-pusat zakat cuba memaksimumkan kecekapan agihan. Buktinya di Selangor, Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain, diwujudkan Kaunter Bergerak yang bukan sahaja mengutip zakat, tetapi menerima permohonan agihan. Kaunter Express diwujudkan. Masa memproses permohonan cuba dipendekkan. Sekurang-kurangnya inisiatif ini memberi impak positif kepada permohonan segera. Namun itu tergantung banyak aspek. Jenis permohonan berbeza, pasti berbeza kadar masanya. Ia juga tergantung dengan lengkap atau tidak dokumen permohonan oleh pemohon atau asnaf.

6. Anggap tidak salah di sisi syarak beri zakat sendiri.

Ini adalah kerana kejahilan diri. Tidak terfikir saya, mereka boleh menafikan pandangan fatwa dan juga jumhur ulama dari zaman silam sehingga ke hari ini. Ayat zakat disebut jelas di dalam al-Quran dan dikaitkan dengan pemerintahan (rujuk al-Hajj ayat 41).Nabi Muhammad SAW sebagai pemerintah melantik amil zakat. Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a memerangi orang yang enggan menyerahkan zakat kepada khalifah. Rumusannya, zakat urusan pemerintahan. Apabila sudah ada fatwa dan undang-undang, wajib bagi umat Islam mematuhinya. Lainlah jika duit zakat diseleweng hingga langsung tidak memberi manfaat kepada asnaf, di sana ada perbahasan lebih lanjut.

7. Anggap pusat zakat memanipulasi hukum Islam.

Hukum Islam dalam isu zakat sudah sangat jelas. Fatwa digubal demi manfaat semua orang, bukan meraikan golongan tertentu. Zaman Saiyidina Umar al-Khattab r.a dan Saiyidina Uthman bin Affan r.a, sehingga ke hari ini, hukum zakat berkembang mengikut keperluan. Rujuklah dalam pelbagai kitab fiqh untuk melihat perkembangan hukum zakat. Apa yang penting, natijah zakat adalah untuk seluruh umat Islam. Hukum zakat menjurus ke arah itu.

8. Mempertikaikan institusi zakat atau agama menggunakan wang zakat.

Pertikaian ini tidak berkesudahan, kerana si penuduh enggan membuat ‘home work’ dan belajar fiqh zakat. Paling tidak, mereka boleh bertanya kepada mana-mana pusat zakat, tentang penggunaan wang zakat itu. Bukankah Allah SWT telah memberikan arahan agar 1/8 daripada agihan zakat menjadi hak kepada asnaf amil? Melarang amil menggunakan wang zakat, bukankah bererti mempertikaikan Allah SWT? (Rujuk at-Taubah, ayat 60).

9. Pengalaman ‘gagal’ memohon zakat dijadikan sandaran.

Gagal dalam permohonan adalah lumrah. Jangankan zakat, Perkeso dan KWSP malah pihak bank pun berhak menolak permohonan yang tidak menepati syarat. Namun jika benar pusat zakat menolak dengan salah, sila buat laporan rasmi kepada pihak berwajib. Bukan menyebarkannya di media sosial. Lagi pun agihan zakat mengikut negeri. Kesilapan di sesebuah negeri, tidak wajar dilambakkan kepada semua negeri.

10. Marah dengan insiden tertentu sebelum ini yang melibatkan zakat.

Tidak dinafikan, pusat-pusat zakat ada melakukan kesilapan dalam gerak kerjanya. Namun, kesilapan itu diperbaiki hari demi hari. Apa yang berlaku, insiden lima atau enam tahun silam, dipanaskan lagi. Tidak adil menghukum kesalahan yang sudah diperbaiki. Malah ia menjadi fitnah yang tidak berkesudahan.

Kesimpulannya, para pemberi komen kelihatannya tidak mahu bersikap adil untuk melihat apakah kebaikan dan kelemahan di sisi pusat-pusat zakat. Setiap makhluk pasti ada kelemahan, dan yang terbaik ialah memperbaikinya bersama-sama. Dalam masa yang sama, jutaan umat Islam di Malaysia telah menerima pelbagai manfaat zakat. Sayangnya, ia didiamkan. Jadi, di manakah keadilan?

Hamizul bin Abdul Hamid 
Perunding Dakwah Zakat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Sumber: www.facebook.com/zakatselangor

http://celahgelegar.blogspot.my/2016/06/polemik-zakat-10-hujah-menjawab-viral.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+celahgelegarblogspotcom+(CELAH+GELEGAR)

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...