
PERMATANG PAUH, 29 Jun – Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said menyifatkan insiden kata-kata cacian dan maki hamun yang berlaku semasa sesi debat bertajuk “Tiga Lebuhraya dan Terowong Bawah Dasar Laut” semalam jelas membuktikan bahawa Dap sememangnya sebuah parti yang mengamalkan budaya politik samseng dan ganas di negara ini.
Tegasnya, ungkapan ‘bodoh’ dan ‘celaka’ yang dihamburkan oleh wakil kerajaan Dap Pulau Pinang, Lim Hock Seng terhadap lawannya, Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng bukan sahaja cukup kasar dan memalukan malah melambangkan nilai perjuangan sebenar Dap.
“Apa yang terjadi semalam bukan satu perkara yang baru kerana dari dulu lagi Dap memang terkenal dengan pembawakan gejala samseng ini dalam perjuangan mereka.
“Kalau kita lihat asas penubuhan Dap juga memang bermula dari jalanan… daripada perjuangan berasaskan perkauman. Sebab itu sehingga kini mereka terbawa-bawa isu perkauman dan politik kebencian. Jadi bukan sesuatu yang menghairankan sekiranya perkataan yang tidak sepatutnya itu keluar daripada mulut pemimpin Dap,” ujar Zaidi kepada UMNO-Online di sini.
Selain itu tambahnya lagi, ini juga merupakan salah satu cara bagaimana pemimpin-pemimpin Dap mengalih sesuatu isu.
“Apabila mereka tersepit dan tidak mampu untuk menjawab sesuatu perkara maka mereka akan cuba menimbulkan suasana seperti apa yang mereka timbulkan semalam.
“Ini juga sememangnya gaya politik kotor Dap. Kita juga jangan lupa pemimpin-pemimpin Dap ini juga mempunyai rekod buruk yang selalu membuat penghinaan terhadap sesuatu pihak seperti menghina penjawat awam dengan gelaran kucing kurap dan menghalau peniaga balik ke India.
“… ini adalah satu cara politik jalanan yang mesti ditolak rakyat. Sepatutnya Dap perlu fokus bagaimana untuk menjawab isu terowong, tentang belanjawan kerajaan negeri Pulau Pinang, bagaimana mereka menangani keadaan ekonomi dan juga peruntukan melampau untuk sesuatu projek yang dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin BN, bukan membawa corak politik samseng dalam negara kita ini,” tegasnya.
Hock Seng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Utiliti negeri Pulau Pinang gagal mengawal perasaan apabila penjelasan beliau tidak diterima kira-kira 500 penyokong BN yang hadir semasa sesi debat tersebut sehingga mengeluarkan kata-kata kesat.
Malah, Hock Seng yang juga Ahli dewan undangan negeri (ADUN) Bagan Ajam itu turut melabelkan kumpulan berkenaan sebagai ‘hooligan’ dan ‘bodoh’ sekali gus menyebabkan beberapa lelaki yang tidak berpuas hati cuba menyerbu pentas untuk meminta penjelasan. – Media UMNO
siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/07/bodoh-celaka-pemimpin-dap-terus.html
No comments:
Post a Comment