Pernah suatu ketika dahulu, Tengku Razaleigh Hamzah menggambarkan Tun Dr Mahthir Mohamad sebagai beruk. Sebabnya adalah kerana, seperti yang dia terangkan, lebih kuat ribut, lebih kuatlah genggaman beruk pada pokok kelapa menyebabkannya tidak jatuh. Bagaimanapun, bila takde angin takde ribut, beruk akan jatuh dengan sendirinya. Jadinya, cara untuk menjatuhkan Mahathir, menurut Razaleigh, adalah dengan membiarkannya sahaja dan jangan berlawan dengannya. Dia kemudiannya akan jatuh dengan sendiri tanpa sebarang sebab.
Memanglah ketika itu Tengku Razaleigh sedang melawak dan penonton gemar akan kenakalannya. Tetapi, Pak Wan, bapa Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang pernah berkhidmat untuk Mahathir, berkata yang orang tua itu gemar kontroversi dan suka berlawan. Jika tiada kontroversi atau sebarang perkelahian, dia akan menjadi bosan dan seterusnya memulakan satu. Mahathir tidak boleh bertahan lama tanpa terlibat dengan sebarang jenis pertelingkahan.
Ya, inilah Mahathir, apa yang dahulu kita gelarkan sebagai ayam sabung (yang mana masih wujud di sebahagian Malaysia – iaitu sabung ayam). Siapa yang belum Mahathir cabar?
Mahathir bertelingkah dengan orang Cina pada 1969 (dan kalah pilihan raya umum pada tahun yang sama apabila orang Cina mengundi untuk Yusuf Jawa daripada PAS sebagai pengajaran untuk Mahathir). Mahathir bertelingkah dengan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman, yang digulingkan pada 1970. Mahathir bertelingkah dengan Perdana Menteri Malaysia ketiga, Tun Hussein Onn, dan mengambil alih sebagai Perdana Menteri keempat. (Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak, meninggal dunia pada tahun 1976 sebelum sempat Mahathir bertelingkah dengannya – jadinya dia bertelingkah pula dengan anak Tun Razak).
Mahathir bertelingkah dengan orang Amerika, British dan Australia, sama seperti yang dilakukan oleh Idi Amin Dada semasa dia memerintah Uganda. Malah, ramai yang menggelar Mahathir sebagai Idi Amin Malaysia, yang mana bukanlah satu pujian memandangkan Idi Amin dikatakan seorang yang gila dan berada di tangga kedua selepas Adolf Hitler.
Mahathir bertelingkah dengan Ketua Hakim Negara dan juga hakim-hakim yang lain. Mahathir bertelingkah dengan Seri Paduka Baginda Agong dan sembilan raja-raja negeri yang lain. Rasanya senarai dengan siapa yang Mahathir tidak bertelingkah adalah lagi pendek berbanding dengan yang dia bertelingkah.
Satu musuh kesayangan Mahathir ialah Singapura. Dia menggelar Singapura sebagai Israel Asia dan orang Singapura tiada bezanya dengan Yahudi (ya, Yahudi, satu lagi golongan yang dibenci oleh Mahathir). Jadinya, sesiapa yang bertolak ansur dengan Singapura secara automatik menjadi musuh Mahathir (termasuk juga semua Perdana Menteri selepasnya).
Benda yang Mahathir paling benci dalam dunia ini adalah kekalahan. Dia mesti menang dengan cara apa sekali pun, sama ada dengan adil ataupun tidak. Jika dia kalah, dia akan mati, secara literal mahupun kiasan. Pada Mahathir, kekalahan lebih teruk daripada kematian.
Itulah yang terjadi kini. Mahathir sedang kalah. Dan dia tidak boleh menerima kenyataan itu. Dan Perdana Menteri Najib Tun Razak tahu akan itu. Oleh itu, Najib tahu cara yang terbaik untuk mengecewakan Mahathir. Setiap kali Najib mengecewakan Mahathir, dia akan melenting dan dia akan menjadi gementar.
Semasa dia membuat keputusan untuk menggulingkan Perdana Menteri kelima pada Jun 2006, Mahathir mengambil masa kurang daripada 3 tahun untuk menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi kini telah lebih daripada 3 tahun, dan Najib masih lagi kukuh. Bukan itu sahaja, Najib juga kini lebih kuat berbanding sewaktu mula-mula proksi Mahathir bertindak ke atasnya 2 tahun dahulu pada 2014.
Sejak 2 tahun yang lepas pada tahun 2014 sehingga kini, Mahathir masih memperkatakan isu 1MDB, tetapi Najib masih lagi kukuh. Najib sepatutnya jatuh setahun yang lepas pada Julai 2015, tetapi itu tidak berlaku. Dan ia nampaknya seperti tidak akan terjadi, tidak kiralah betapa bersungguhnya Mahathir mengungkit isu 1MDB.
Mungkin Mahathir tidak mendengar apa yang sepatutnya Albert Einstein pernah berkata: “Gila ditakrif sebagai melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali, tetapi mengharapkan hasil yang berbeza” (“The definition of insanity is doing the same thing over and over again, but expecting different results”).
Jika isu 1MDB sehingga kini masih lagi tidak mampu untuk menjatuhkan Najib, ia bermaksud isu itu tidak akan menjatuhkan Najib sehingga bila-bila pun. Sesungguhnya sangat jelas sekarang, pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil berkembar di Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan bahawa 1MDB tidak boleh melakukan apa yang diharapkan oleh Mahathir. Adakah ianya tidak gila untuk Mahathir melakukan perkara yang sama berulang kali tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza?
Mahathir risau ini akan menjadi titik akhirnya. Secara realistiknya, Mahathir tidak mempunyai masa kerana usianya dan juga masalah kesihatannya dan Parti Pribumi barunya juga memerlukan masa untuk membuktikan keberkesanannya – jikalah ianya mampu sekali pun.
Semangat 46 Tengku Razaleigh mempunyai peluang kejayaan yang jauh kebih tinggi tetapi walaupun selepas 8 tahun, ianya masih tidak mampu berbuat apa selain menguasai Kelantan. Selepas 8 tahun ‘berkeliaran’, akhirnya Tengku Razaleigh membubarkan Semangat 46 dan menyertai semula Umno bersama-sama penyokongnya. Semangat 46 Tengku Razaleigh jauh lebih kuat daripada Parti Pribumi baru Mahathir.
Sebenarnya, kebimbangan Mahathir sama ada ini mungkin pengakhirannya adalah tidak kena pada tempatnya. Permulaan kepada pengakhiran Mahathir sebenarnya datang kira-kira pada tahun 2013 apabila anaknya Mukhriz gagal untuk memenangi jawatan Naib Presiden Umno. Mahathir sepatutnya sedar ketika itu, tetapi dia tidak berbuat demikian, bahawa kegagalan Mukhriz mencerminkan hakikat bahawa era Mahathirisme telah sampai ke penghujungnya.
Sudah tentu, Mahathir menyalahkan Najib kerana kekalahan Mukhriz. Jika Najib telah mengarahkan sepupunya, Hishammuddin Hussein, untuk berhenti maka Mukhriz akan menang tempat ketiga dan bukannya keempat. Tetapi jika seseorang diperlukan untuk menawarkan Mukhriz kemenangan percuma sebelum dia boleh menang, ini bermakna nama Mahathir tidak lagi membawa apa-apa kesan.
Inilah realiti yang patut Mahathir sedar, tetapi tidak. Sebaliknya, dia menyalahkan Najib kerana kekalahan Mukhriz dan bukannya menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia telah meninggalkan Mahathirisme sebagai nota kaki dalam sejarah.
Oleh kerana kekalahan Mukhriz pada tahun 2013, Mahathir mula merancang serangan ke atas Najib sama seperti bagaimana Jepun merancang serangan ke atas Pearl Harbour. Dan Mahathir akan menggunakan 1MDB sebagai serangan hendap. Rancangannya mudah sahaja. Sabotaj IPO dan sekat pinjaman yang diperlukan 1MDB. Tiada syarikat di dunia yang mampu selamat daripada serangan jenis ini.
Ia mungkin kesilapan Najib, sama seperti kesilapan yang dibuat Amerika pada Disember 1941 apabila tidak menjangkakan pengkhianatan Jepun. Najib tidak menjangka akan dikhianati oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Cawangan Khas (SB), Timbalan Perdana Menteri beliau sendiri (Muhyiddin Yassin), Shafie Apdal (Naib Presiden Umno) , Peguam Negara (Gani Patail), T. Ananda Krishnan (yang sedang berurusan dengan 1MDB, termasuklah IPO), dan sebagainya.
Selepas serangan hendap itu – sama seperti selepas serangan hendap Jepun ke atas Pearl Harbour pada Disember 1941 – Najib melakukan serang balas. Sebagai contoh, Khairuddin Abu Hassan, atas arahan Mahathir, membuat laporan polis terhadap 1MDB pada bulan Disember 2014. Dalam tempoh sebulan Khairuddin telah diisytiharkan muflis dan rumahnya telah dilelong. Beliau kemudian hilang kedudukannya dalam Umno Bahagian Batu Kawan.
Tamparan ini ditujukan buat Mahathir dan bukannya pada muka Khairuddin. Ia adalah untuk menunjukkan bahawa Mahathir bukanlah sekuat yang diingatkan dan dia tidak mampu untuk melindungi orang-orangnya. Najib kemudiannya menyerang Muhyiddin, Gani, Shafie, Mukhriz, dan banyak lagi. Akhirnya, semua orang-orang Mahathir ditumpaskan dengan Mahathir yang tidak dapat berbuat apa-apa melainkan melihat sahaja.
Apabila Mahathir sedar yang perjuangan ini akan menjadi tegang dan akan berakhir dengan kekalahannya sendiri, dia dengan senyap memberitahu Najib yang dia ingin menggantung sementara peperangan mereka pada 20 Januari 2015. Najib bersetuju walaupun Boffin Boys-nya merasakan ianya hanyalah supaya Mahathir mempunyai masa untuk merancang strategi seterusnya.
Jadi jangkakan lebih banyak pengkhianatan, kata Boffin Boys Najib, tetapi sementara itu, layankan sahaja orang tua itu dan lihat apa yang dilakukannya. Mahathir tidak mahu peperangan secara terbuka. Dia mahu perang gerila di mana dia boleh membaling batu tetapi tangannya tidak dapat dilihat. Mahathir mahu menampar Najib tetapi dia tidak mahu ditampar kembali. Itulah sebabnya dia perlu menggantung sementara peperangan mereka, untuk merancang langkah seterusnya.
Mahathir sedar bahawa serangannya perlu di lakukan secara senyap-senyap dan bukannya secara terang-terangan. Apabila dia menyerang Tun Abdullah Ahmad Badawi dia melakukannya secara terbuka. Tetapi dia tidak boleh melakukannya untuk kali kedua. Pertama sekali, dia menyerang Abdullah dan kini dia menyerang Najib. Orang akan berkata masalahnya ialah Mahathir dan bukannya Najib dan Umno akan menyokong Presidennya merangkap Perdana Menteri dan bukannya dia. Jadi perlakuan Mahathir tidak boleh dilihat dan dia perlu menggunakan proksi untuk melawan bagi pihaknya.
Dan yang lebih penting adalah bahawa ia mesti dilihat seperti Umno mahu Najib keluar. Jadi Mahathir memerlukan orang dalam Umno untuk menyerang Najib. Jika pembangkang menyerang Najib maka Umno akan bersatu dan berdiri teguh di belakang Najib. Dan kuasa-kuasa anti-Najib dalam Umno tidak boleh bekerjasama dengan pembangkang atau dilihat berkhidmat demi kepentingan pembangkang. Ini adalah sangat penting untuk plotnya berjaya.
Apabila Tengku Razaleigh, Musa dan separuh daripada Umno, iaitu Team B, menentang Mahathir, Mahathir membalas tentangan itu dengan menutup Umno, membuka parti baru (yang juga dipanggil Umno), dan tidak membenarkan lawannya menyertai parti baru itu. Oleh itu, Tengku Razaleigh dan pasukannya terpaksa menubuhkan parti mereka sendiri dan terus menyerang Mahathir dari luar Umno atau sebagai sebuah parti pembangkang yang bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain.
Itulah sebabnya Tengku Razaleigh gagal dan selepas lapan tahun, beliau menyerah kalah dan menyertai semula Umno.
Najib, bagaimanapun, jauh lebih bijak. Daripada melakukan apa yang Mahathir lakukan pada 1987-1988, Najib memerangkap Mahathir menyebabkan dia menggelabah sehingga dia sendiri meletakkan jawatan daripada Umno dan menyertai pembangkang. Apabila Mahathir melakukan hal itu, dia akan melakukan hara kiri dan tidak akan lagi menjadi ancaman kapada Najib mahu pun Umno.
Dan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini dan juga pilihan raya kecil berkembar di Sungai Besar dan Kuala Kangsar membuktikan bahawa Najib adalah betul. Dengan meninggalkan Umno dan dengan bekerjasama dengan pembangkang, Mahathir di jamin berada di jalan yang membawa kepada kemusnahan diri.
Apa yang Mahathir tidak sedar adalah dia melakukan dengan tepat apa yang Najib mahu dia lakukan. Sebab itulah Najib hanya berdiam diri selama dia diserang. Pengkritik Najib mengatakan bahawa Najib mesti bersalah jika dia hanya berdiam diri. Kebenarannya adalah tindakan berdiam diri adalah terbaik untuk Najib dan tidak baik untuk Mahathir. Adakah Jepun membuat bising sebelum mereka menyerang Pearl Harbour? Mereka hanya menyerang tanpa sebarang amaran.
Bagaimanapun, Mahathir bercakap terlampau banyak. Dia juga bersuara sebelum dia bertindak. Pada mulanya, dia berlakon seperti tidak tahu-menahu tentang 1MDB. Menurutnya, apa yang dia tahu hanyalah apa yang dia diberitahu. Menurutnya, dia menentang Najib kerana terlampau ramai pemimpin Umno yang meminta pertolongannya secara rahsia. Sekarang dia nampak seperti tahu begitu banyak dan memberi sebab-sebab lain mengapa dia bertindak terhadap Najib.
Mengetahui bahawa cubaan untuk menjatuhkan Najib dari dalam Umno akan gagal, Mahathir menukar taktik dan kini cuba untuk menjatuhkan Najib dari luar Umno, dengan bantuan pembangkang, seperti apa yang Tengku Razaleigh cuba selama lapan tahun dan gagal.
Pertama sekali, Mahathir mendapatkan sokongan pembangkang dengan melancarkan Deklarasi Rakyat (People’s Declaration), dan juga kempen Selamatkan Malaysia (Save Malaysia). Pada mulanya, ia menerima sambutan yang baik daripada pembangkang yang merasakan mereka boleh menggunakan Mahathir untuk menjatuhkan Umno. Tetapi apabila mereka sedar Mahathir yang cuba untuk menggunakan pembangkang, dan sebenarnya untuk menjatuhkan Umno tetapi Najib supaya anak lelakinya dapat diselamatkan, pembangkang mula memalingkan diri.
Kemudian, pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil berkembar di Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan Mahathir telah ‘hilang taringnya’. Malah, Mahathir mungkin menjadi liabiliti jika dia dibenarkan menyertai salah satu parti pembangkang.
Pembangkang kemudiannya mengumumkan yang mereka sedia bekerjasama dengan Mahathir jika dia menubuhkan partinya sendiri. Ini cara halus pembangkang untuk menghapuskan Mahathir. Mereka tahu yang jika Mahathir dibenarkan untuk menyertai salah satu parti pembangkang, ia akan membawa kesan yang buruk.
Pembangkang mahu menjauhkan diri daripada Mahathir, tetapi dalam masa yang sama masih dekat kerana mungkin boleh digunakan untuk menjatuhkan Umno. Ianya seperti mendapat kesemua kelebihan yang ada.
Pembangkang tidak pasti sama ada Mahathir boleh membantu mereka ataupun dia akan gagal dan kemudiannya menyebabkan pembangkang gagal bersama. Jadinya, ia lebih baik jika Mahathir mempunyai partinya sendiri daripada menyertai parti pembangkang yang sedia ada. Kemudian, jika parti baru Mahathir tidak berjaya, mereka boleh mebuangnya sama seperti yang mereka lakukan ke atas PAS tidak lama dahulu.
Dan inilah apa yang Najib mahukan. Jika Mahathir dan orang-orangnya menyertai salah satu parti pembangkang, ia akan menjadi situasi yang berbeza. Itu bermakna dia telah diterima. Tetapi jika Mahathir dan orang-orangnya tidak diterima ke dalam pembangkang dan terpaksa menubuhkan parti sendiri, itu adalah situasi yang lebih baik untuk Najib dan Umno. Rentetan Semangat 46 telah membuktikan ini dan tiada siapa yang boleh melawan sejarah.
Parti baru Mahathir hanya mempunyai satu tujuan, iaitu untuk menggulingkan Najib. Persoalannya ialah: apa yang akan mereka lakukan jika dan apabila Najib digulingkan? Memandangkan tujuan Parti Pribumi Mahathir adalah untuk menggulingkan Najib, adakah parti ini akan terus wujud atau adakah ianya akan dibubarkan (seperti Semangat 46 pada tahun 2006) jika dan apabila Najib digulingkan?
Pribumi berharap ia akan dapat bertahan dengan merampas undian daripada Umno. Bagaimanapun, Lim Kit Siang tidak merasakan yang ia akan terjadi. Pribumi sebenarnya ‘memancing dalam kolam yang sama’ dengan pembangkang, bukannya dalam ‘kolam’ Barisan Nasional. Jadinya, setiap undian yang Pribumi dapat menyebabkan satu undian kurang untuk pembangkang.
Pribumi hanyalah sebuah parti politik sama seperti Semangat 46 dan PKR. Umno, bagaimanapun, adalah lebih daripada sebuah parti politik. Ianya sebuah institusi Melayu. Dan itulah yang membezakan Umno dengan mana-mana parti Melayu atau parti dengan asas sokongan daripada orang Melayu.
Sekurang-kurangnya semasa Semangat 46 dan PKR ditubuhkan, mereka berjaya menarik ramai ahli dan pemimpin Umno. Bagaimanapun, Pribumi bergantung kepada sokongan pembangkang. Akan tetapi, terdapat 7 parti pembangkang utama yang juga sedang ‘memancing dalam kolam yang sama’. Di situlah permasalahannya.
Mahathir bukanlah ancaman yang sama seperti tiga tahun yang lepas iaitu 2013. Parti Pribumi barunya memastikan yang Umno setaraf dengan musuh luaran. Apa yang lebih penting adalah hakikat bahawa Mahathir mahupun Umno tidak mempunyai sebarang isu yang boleh digunakan untuk menentang Umno.
Mahathir dan Pribumi hanya mempunyai satu isu, iaitu 1MDB. Mereka berharap isu ini akan menjatuhkan Najib dan Umno. Tetapi jika ianya boleh berbuat sedemikian, tentunya ianya sudah pun terjadi semasa pilihan raya negeri Sarawak atau pun pilihan raya kecil berkembar di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Ini mengingatkan kepada strategi Mata Lebam pada tahun 1999. Strategi itu hanya elok digunakan untuk satu tahun ataupun bagi satu pilihan raya sahaja. Menjelang 2004, isu itu sudah pun basi. PKR telah pun diberi amaran tentangnya pada 2001 tetapi mereka tidak mengendahkannya. Jadi, pada 2004 mereka dihapuskan kerana mereka masih lagi bercakap tentang Mata Lebam apabila pengundi sudah bosan dengan isu itu.
Adakah Mahathir dan Pribumi akan belajar daripada perkara itu? Atau adakah mereka, bersama-sama dengan PKR dan DAP, akan terus mengetengahkan isu 1MDB yang telah basi dan kemudiannya merana dengan nasib yang sama seperti tahun 2004, pilihan raya umum yang paling teruk bagi pihak pembangkang dalam sejarah Malaysia?
Mahathir perlu sedar yang dia tidak boleh terus memperjuangkan perkara yang sama dan berharap untuk terus kekal relevan dalam tempoh yang lama. Lagu hit pun tidak akan kekal nombor satu dalam carta dalam jangka masa yang lama. Tetapi Mahathir seakan tidak akan menukar agendanya walaupun agendanya sudah lapuk.
Kebiasaannya, jika anda mahu tahu kebarangkalian hasil mana-mana pilihan raya umum, anda akan bertanya kepada ‘bookies’. Sejak 1980-an lagi, kebarangkalian yang diramalkan ‘bookies’ adalah petanda baik untuk mana-mana pilihan raya. Pilihan raya negeri Sarawak dan juga pilihan raya kecil berkembar itu juga telah diramalkan dengan tepat oleh ‘bookies’. Dan kebarangkalian ‘bookies’ ke atas Parti Pribumi Mahathir adalah tidak baik. Itu sahaja telah menggambarkan kemungkinan masa depannya.
Dan dengan kes penceraian Nika Gee yang bakal terjadi yang melibatkan Muhyiddin, saya tidak merasakan masa depan Parti Pribumi Mahathir cerah. Pribumi sebenarnya telah diserang sejak ia mula dikhabarkan sebelum ia ditubuhkan lagi.
Oleh : Raja Petra Kamarudin
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/08/akhirnya-mahathir-bertemu-lawan-yang.html
No comments:
Post a Comment