
Dalam sejarah politik di Semenanjung Malaysia, tiga parti yang ditubuhkan selepas merdeka dan dikira berjaya adalah DAP, Gerakan dan PKR.
DAP dan Gerakan adalah parti Cina, manakala PKR parti berbagai kaum yang berteraskan Melayu.
Selain ketiga-tiga parti ini, parti yang ditubuhkan atas pengaruh individu seperti parti Berjasa yang ditubuhkan oleh bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Mat Nasir mahupun parti Hamim yang ditubuhkan oleh bekas Presiden PAS Datuk Mohamad Asri dan sekutunya hanya bertahan satu atau dua pilihanraya.
Hanya ada dua parti dominan orang Melayu iaitu UMNO dan PAS.
Lihat apa jadi dengan Parti Amanah Nasional (PAN) yang hidup segan mati tak mahu, belumpun sekali berdepan pilihanraya umum.
Sebab itu ada pandangan mengatakan bahawa penubuhan parti politik yang dirancang Tun Dr. Mahathir Mohamad akan gagal menarik sokongan orang ramai untuk mendaftar sebagai ahli.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan ‘minat’ yang ditunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap PKR kebelakangan ini.
Katanya, sehingga kini, parti baharu berkenaan masih belum didaftarkan secara rasmi dan beberapa bekas pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal hanya sekadar melancarkan serangan psikologi terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Kesediaan Muhyiddin untuk bersama-sama PKR menyertai siri jelajah ceramah yang akan diadakan parti itu membuktikan beliau cenderung kepada PKR.
"Mungkin juga kerana ingin mengambil jalan pintas disebabkan PKR sudah mempunyai ahli yang ramai berbanding parti baharu yang masih terumbang-ambing," katanya.
Sebelum ini, Mukhriz meramalkan BN akan kalah di Kedah dalam pilihan raya umum akan datang manakala Mohd. Shafie mengatakan Sabah juga akan terlepas dari tangan memandangkan penolakan ahli UMNO di negeri itu.
Mohd. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, dakwaan Mohd. Shafie itu sekadar ramalan kerana sehingga kini tiada cawangan UMNO di Semporna dibubarkan ekoran ahli UMNO keluar parti beramai-ramai.
"Beliau (Mohd. Shafie) memberi contoh kehadiran lebih 2,000 orang dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Sabah baru-baru ini sebagai petanda UMNO akan 'bungkus' di situ. Dalam soal ini, mungkin beliau salah faham, yang datang ramai itu adalah kerana mereka hendak beraya," katanya.
Di Pagoh pula, tambahnya, keadaan sama berlaku apabila Pemangku Ketua Bahagian yang dilantik menggantikan Muhyiddin memberikan komitmen untuk tidak membebankan UMNO dan menjalankan tugas seperti biasa.
"Kebenarannya ialah mereka gagal cari ahli untuk sertai parti itu. Dalam soal mendapatkan lebih sejuta tandatangan dalam Deklarasi Pembangkang sebelum ini, ia turut menimbulkan persoalan kerana kebanyakan tandatangan yang dikumpul itu dipersoalkan ketulenannya," katanya.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/08/parti-baru-susah-nak-jualkononnya-nak.html
No comments:
Post a Comment