Hampir seminggu selepas orang kuat PKR yang digantung dari parti Badrul hisham Shaharin mendedahkan mengenai pertukaran status tanah Paya Wetland... kerajaan negeri Selangor masih diam membisu seribu bahasa.
Iya pun tidak, tidak pun tidak... sehingga sikap membisu berterusan MB Datuk Seri Azmin Ali dan Exco yang bertanggungjawab, Elizabeth Wong terhadap kontroversi status tersebut mengundang kesangsian mengenai kedudukan tanah berkenaan.
ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata penafian yang dilakukan oleh exco kerajaan negeri itu tidak mencukupi dalam menjelaskan kontroversi yang dicetuskan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) baru-baru ini.
"MB kena jawab, lebih-lebih lagi ia membabitkan ahli PKR sendiri. Dia (Chegubard) akui ada bukti, dokumen. Penafian dilakukan oleh exco hanya penafian sedangkan ia perlu dibuktikan di dalam dewan (DUN), ambil waktu dan buat penjelasan.
"Saya mengharapkan jika benar-benar ia berlaku kerajaan negeri kena bertanggungjawab mengapa perubahan status dilakukan? Mengapa tidak dikekalkan sebagaimana Perjanjian Ramsar yang pernah ditandatangani negara kita," katanya.
Isu penukaran status tanah Paya Indah Wetlands itu dibongkar Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan menampilkan bukti minit mesyuarat exco sebagai bukti untuk menyokong hujahnya.
Kerajaan negeri di bawah pimpinan Azmin pada sekitar Febuari 2015 memulakan usaha pelengkungan semula (re-zone).
Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard pada semalam memberi tempoh sehingga hari ini kepada Elizabeth untuk membuktikan status tanah di Paya Indah Wetlands tidak ditukar.
Ia berikutan penafian Elizabeth pada Jumaat lalu berhubung pelengkungan semula tanah pertanian tersebut selain mendakwa tuduhan Chegubard itu bertujuan mencemarkan imej kerajaan negeri.
Elizabeth juga menyangkal dakwaan Chegubard bahawa tanah terbabit merupakan kawasan Ramsar berdaftar, kerana “tanah itu bukan kawasan warisan dunia mahupun kawasan Ramsar berdaftar”.
Bagaimanapun penjelasan yang dituntut BN Selangor terhadap isu itu tidak dapat dilakukan pada sidang DUN kali ini memandangkan tiasa sesi perbahasan.
Selain BN Selangor, turut sama menuntut penjelasan kerajaan negeri berkenaan Paya Indah Wetland adalah bekas menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/08/status-tanah-paya-indah-apa-yang.html

No comments:
Post a Comment