TUJUAN sesebuah parti politik ditubuhkan tidak lain tidak bukan hanyalah mahu merebut kuasa dari parti pemerintah. Seseorang atau sekumpulan ahli politik menubuhkan sebuah parti baharu adalah kerana berasa tidak lagi mampu melawan atau ‘survive’ dalam parti kerajaan.
Apapun tujuan yang dikatakan kepada media dan umum, asasnya penubuhan sesebuah parti baharu cumalah demi merebut sebuah kuasa dalam pilihanraya.
Contoh mudah yang baru saja berlaku dalam negara kita adalah penubuhan satu lagi parti serpihan dari UMNO iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau penulis kenalinya sebagai PRIBUMI.
Sejarah seperti dahulu semasa perpecahan dalam UMNO yang membentuk serpihan parti Semangat 46 kembali semula di tahun 2016.
Namun apa telah terjadi kepada S46? Terbukti parti serpihan UMNO yang ketika itu dibarisi mereka-mereka yang kecewa dengan Dr Mahathir Mohamed selaku Presiden UMNO tidak pergi jauh. Mereka akhirnya kembali ke pangkuan UMNO kerana S46 tak berjaya saingi UMNO.
Jika tujuan PRIBUMI mahukan kuasa untuk memerintah negara ini dengan harapan Dr Mahathir sebagai ‘Ketua Penasihat Perdana Menteri’ dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, maka tidak dapat tidak PRIBUMI perlu memperoleh kemenangan kerusi di 112 kawasan (majoriti mudah) dalam pilihanraya umum akan datang.
Untuk tujuan itu, ia bermakna PRIBUMI harus meletakkan paling kurang 112 calon pilihanraya dan kesemua calon berkenaan wajib menang. Ikut logik dan ilmu politik kita, mampukah PRIBUMI mampu lakukan itu? Sedangkan UMNO yang telah lama pun punyai 1001 cabaran tersendiri untuk itu.
Malah, parti lawan lain seperti PAS, DAP dan PKR yang telah berpuluh dan berbelas tahun menentang UMNO pun masih tidak mampu menang di 112 kerusi, inikan pula PRIBUMI?
Tambahan lagi, kemungkinan besar PRU14 akan berlaku dalam tempoh lebih kurang setahun lagi. Mampukah PRIBUMI meletakkan 112 calonnya dan memastikan semua calon berkenaan menang? Mustahil berlaku.
Jadi benarkah PRIBUMI berhasrat untuk berkuasa di negara ini? Jika pun PRIBUMI mahu bergabung dengan DAP, PKR dan PAN, atau sekali pun PAS dan IKATAN, sejauh mana parti-parti pembangkang senior itu sanggup memberi laluan kepada kepimpinan PRIBUMI untuk menjadi Perdana Menteri atau pucuk pimpinan negara?
Mustahil juga berlaku. Mana tidaknya, sudah berpuluh dan berbelas tahun mereka berjuang menentang UMNO, takkan dengan mudah-mudah mereka akan beri kuasa ‘percuma’ kepada para macai Dr Mahathir begitu saja?
Bukankah lebih 22 tahun sebelum ini mereka bermati-matian mahu menjatuhkan Dr Mahathir sendiri? Mana mungkin sekarang ini mereka sanggup membiarkan Dr Mahathir kembali ke puncak kuasa.
Oleh yang demikian kewujudan PRIBUMI tak lebih hanya sebagai ‘pemuas nafsu’ mereka yang kecewa dalam UMNO.
Jika mereka mahu menjadi kerajaan, amat mustahil mereka mampu berdiri sendiri dan memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi.
Jika mereka bergabung dengan mana-mana parti pembangkang yang telah lama berjuang menentang UMNO di negara ini pula, mustahil juga bagi parti-parti berkenaan memberi laluan mudah untuk PRIBUMI menjadi ketua kerajaan.
Maka, lahirnya PRIBUMI bukan untuk menyatukan (bersatu) rakyat Malaysia atau membela nasib rakyat, tetapi hanyalah sebagai platform untuk mencari kuasa dan jawatan sahaja. Jangan tertipu dengan Bersatu itu, kerana mereka hanyalah sebuah Pribumi yang tidak lama lagi akan ‘kembali ke bumi’ jua. –Tv14
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/08/parti-pribumi-tun-m-lahir-kerana-kuasa.html
No comments:
Post a Comment