Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh ambil jalan mudah iaitu ikut sahaja apa yang 'sudah dirancang' Tun Mahathir Mohamad bersama kroni-kroninya.
Namun tindakan Najib tidak mahu menjadi proksi Mahathir membuktikan Perdana Menteri mengambil berat tentang kepentingan rakyat serta hala tuju negara ini.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk Seri S.Vell Paari berkata, tindakannya itu juga telah menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai sistem ekonomi yang kukuh dan ini diakui oleh badan-badan dunia seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
"Kepimpinan bertanggungjawab Perdana Menteri tanpa mengikut telunjuk Dr. Mahathir ini juga telah menjadikan Malaysia antara negara yang pertama memberi sumbangan tunai secara terus kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) walaupun cara ini ditentang hebat oleh Mahathir.
"Akhirnya cara yang dibawa Perdana Menteri ini diakui berkesan oleh 35 pakar ekonomi dari United Kingdom," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas temubual khas Datuk Seri Najib Razak dengan stesen televisyen Indonesia, Metro TV baru-baru ini.
Dalam temu bual dengan Rory Asyari, Najib mengakui bahawa serangan yang dilakukan Mahathir terhadap kepimpinan beliau disebabkan oleh keputusannya yang tidak mahu menjadi proksi bekas Perdana Menteri itu.
Tambah Vell Paari, rakyat di negara ini wajar menghargai keputusan yang diambil oleh Najib untuk menjadi Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya 'budak suruhan' kepada Mahathir.
Mengulas isu ini, ahli akademik Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata memegang tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun menyebabkan Mahathir menghidap sindrom Pasca Perdana Menteri iaitu ketagih untuk terus memerintah.
Felo Penyelidik Kursi Nusantara, Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu menjelaskan menjadi pemimpin utama negara untuk satu tempoh masa yang lama menyebabkan sikap memberi arahan sudah menjadi begitu sebati dalam dirinya.
Menurut beliau, cara terbaik untuk berhadapan dengan Mahathir ketika ini adalah dengan semua pihak perlu melupakan beliau dan memberi tumpuan membantu kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Sikap Mahathir yang tidak dapat menahan diri untuk mencampuri urusan pentadbiran negara ada kaitan dengan tempoh masa beliau menjadi Perdana Menteri. Kita semua perlu lupakan beliau jika mahu terus ke hadapan.
“Bukan semua keputusan yang beliau cadangkan betul, lihat sahaja apa yang berlaku pada rancangan E-Village Malaysia yang sehingga kini belum nampak hasilnya. Kita semua manusia biasa tiada siapa yang sempurna, masa Mahathir sudah berlalu sekarang kita perlu menyokong Najib sebagai pemimpin utama,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ayahanda-ayahanda Negeri Perak, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, setiap pemimpin mempunyai acuan pentadbiran tersendiri mengikut keadaan politik, sosial dan ekonomi semasa.
Katanya, Najib sebagai seorang pemimpin yang sudah lama dalam pentadbiran pasti mempunyai cara tersendiri untuk memajukan negara ini dan apa yang diperlukan ketika ini adalah beri peluang kepada beliau untuk melakukan tugasnya.
“Mana-mana pemimpin pasti tidak selesa jika setiap keputusan yang dibuat perlu mengikut arahan daripada pihak lain, bagaimana jika arahan tersebut tidak mendatangkan manfaat sudah tentu perlu ditolak.
“Saya berharap Mahathir menjauhkan diri daripada pentadbiran negara dan gunakan masa terluang untuk bersama keluarga atau mendekatkan diri dengan agama,” ujarnya.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/08/pm-enggan-jadi-proksi-mahathir-demi.html
No comments:
Post a Comment