Suara Kit Siang Di Sebalik Protes DAPSY Terhadap Parti Mahathir
Pada mulanya, apabila Chiong Yoke Kong mengkritik parti baharu Tun Mahathir, ia dianggap kes terpencil
Walaupun Yoke Kong merupakan Pengarah Pendidikan Politik DAPSY (Pemuda Sosialis DAP pusat), ia masih dianggap suara terpencil.
Maklumlah Yoke Kong masih muda-dianggap masih gila publisiti murahan-selepas bergelar aktivis pelajar UM dari kumpulan UMANY (University Malaya Association of New Youth).
Yoke Kong mengecam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai rasis apabila parti Mahathir itu dwi-standard ahli, iaitu ahli Melayu-Islam dan Bumiputera sebagai kelas pertama dan ahli bukan Melayu sebagai kelas kedua.
"Usaha untuk menjadikan ahli bukan Melayu sebagai ahli bersekutu (sekunder) serta melarang ahli-ahli tersebut daripada mengundi serta menyertai pemilihan parti adalah salah satu bentuk politik perkauman.
“Sesebuah parti politik yang membezakan ahli mengikut kaum dan warna kulit jelas merupakan diskriminasi kaum,” kata Yoke Kong.
Pelik juga Yoke Kong yang sebelum ini bergelumang dalam pertubuhan pelajar haram rasis-UMANY-yang terdiri daripada kelompok pelajar Cina anti-establishment menuduh parti Bersatu sebagai rasis.
Kumpulan yang telah dikenal pasti sebagai rasis mengecam kumpulan lain mengamalkan rasis. Pelik kan? Tetapi itulah realiti sikap DAP dan kuncu-kuncunya.
DAPSY pun mengamalkan sikap rasis yang sangat menebal. Daripada 15 ahli DAPSY yang dipilih 13 Cina, 1 Melayu dan 1 India yang dipangkah perwakilan.
Satu Melayu dan satu India yang dipangkah supaya menang 15 DAPSY itu pun sebagai undi simpati untuk tunjuk DAPSY berbilang kaum.
Kalau perwakilan DAPSY nak pilih kesemua 15 Ahli DAPSY terdiri daripada kaum Cina pun boleh sebab pola perwakilan pemuda sosialis itu terdiri daripada 75 peratus pengundi Cina dan pengundi Melayu dan India dalam pemuda sosialis itu sekitar hanya 5 hingga 15 peratus sahaja.
Tetapi, kena juga pilih satu wakil Melayu dan satu wakil India dalam DAPSY supaya tidak nampak sangat rasis. Lepas itu bolehlah lantik wakil-wakil Melayu dan India yang kalah dalam pemilihan sebagai jawatan 'pembantu' untuk 'buktikan' DAPSY bukan rasis.
Sebab itu, walaupun calon Melayu yang popular bertanding dalam DAPSY seperti Dyana Sofya Mohd Daud, dia tetap kalah dalam pemilihan.
Walaupun Dyana Sofya mengaku keturunan keluarganya dari salasilah Cina, dia tetap kalah kerana dia bukan original Cina.
Walaupun Dyana Sofya bekas calon DAP di PRK Teluk Intan, mengaku sebagai Setiausaha Politik Lim Kit Siang (kemudian menukar pengakuan sebagai pegawai khas Kit Siang), dia masih tetap kalah kerana perwakilan DAPSY tahu bahawa wanita Melayu yang dilantik Kit Siang itu bukan berdasarkan merit tetapi faktor strategik politik.
Sebab itu apabila Dyana Sofya kalah dalam pemilihan DAPSY, maka dicari formula taktikal untuk memastikan dia menang dalam 15 DAPSY dipilih.
Kes Dyana Sofya sama seperti kes Zairil Khir Johari yang pada mulanya kalah dalam pemilihan CEC pusat pada tahun 2012 dimenangkan secara taktikal pada pemilihan semula pada 2013.
Ajaib, Zairil yang asalnya di tempat kedudukan ke-39 ditukar secara manual oleh dalang-dalang di sebalik pemilihan CEC itu untuk memastikan Zairil termasuk dalam senarai 20 CEC pusat.
Itulah realiti serigala yang menyamar menjadi kambing, apabila sudah terkantoi sebagai serigala, macam-macam taktik digunakan untuk tunjuk dia sebenarnya kambing.
Kritikan Yoke Kong terhadap parti Tun Mahathir mula dipandang serius apabila Ketua DAPSY, Wong Kah Woh sendiri membawa nada yang sama.
“Struktur ini menghalalkan diskriminasi berdasarkan kaum, agama, jantina atau kawasan dan tidak harus wujud dalam sebuah parti baharu zaman moden Malaysia, khasnya untuk sebuah parti yang berkemungkinan akan menjadi parti pemerintah pada satu hari nanti,” ujarnya.
Rupa-rupanya suara Yoke Kong membawa suara Kah Woh yakni suara DAPSY.
Kah Woh pula membawa suara siapa ? Suara Penasihat parti itu Lim Kit Siang ?
Ketua DAPSY tidak akan berani mengkritik keras parti Mahathir sekiranya tidak mendapat lampu hijau daripada penasihat parti itu terlebih dahulu.
Ketika PAN dan PKR (termasuk Anwar Ibrahim) mengalu-alukan kemunculan parti Mahathir kenapa Kit Siang pula berdiam diri, tetapi dalam masa sama DAPSY pula berbunyi.
Memang itu stail politik Kit Siang, licik, cauvanis dan talam dua muka.
Dia tidak mahu menonjolkan diri secara terang-terangan mengkritik parti Mahathir jadi disuruhnya DAPSY mengkritik secara terbuka.
Kit Siang pula bercakap topik lain untuk mengalih perhatian.
"Kalaulah Anwar jadi Perdana Menteri, Malaysia tidak akan jadi negara gagal," kata Kit Siang.
Mengapa Kit Siang alih perhatian kepada Anwar sedangkan anak buah Mahathir sedang sibuk mendaftarkan sebuah parti baharu ?
Kit Siang bersunguh-sungguh mahu tonjolkan bahawa parti itu masih mahukan Anwar jadi PM dan tidak bersetuju Muhyiddin atau Muhriz menggantikan tempat Anwar ?
Kalau Parti Mahathir dikritik kerana rasis, kenapa Kit Siang boleh bersetuju menerima PAS dalam Pakatan Rakyat sebelum ini sedangkan struktur parti Bersatu dan PAS dalam kerangka sama, Melayu-Islam.
Jadi apa sebenarnya mesej Kit Siang di sebalik suara kritikan DAPSY itu..
Untuk mengetahui sebab musababnya, kita perlu meneliti susur galur sejarah DAP dalam gabungan pembangkang.
DAP mula bergabung dengan parti-parti pembangkang lain (khususnya parti Melayu-Islam) bermula tahun 1990.
Ketika itu gabungan pembangkang diketuai oleh Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.atau Ku Li yang menjadi Presiden Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46)
Ketika itu Ku Li merupakan bekas Naib Presiden UMNO dan calon Presiden UMNO yang tewas kepada Tun Mahathir dengan 43 undi pada pemilihan Agung parti itu pada tahun 1987.
Menyedari sensitiviti PAS dan DAP, Ku Li membentuk dua gabungan yang berasingan yang diketuainya iaitu Gagasan Rakyat dan APU (Angkatan Perpaduan Ummah).
Gagasan Rakyat terdiri daripada Parti Semangat 46, DAP, PBS, dan PRM.
Manakala APU pula terdiri daripada Parti Semangat 46, PAS, BERJASA, HAMIM, dan KIMMA.
DAP bukan ketua gabungan pada masa itu (sama ada ketua rasmi atau ketua di sebalik tabir), ketua rasminya adalah Ku Li dari Parti Melayu Semangat 46.
Namun, gabungan itu terbubar apabila Ku Li membubarkan Parti Semangat 46 pada tahun 1996 (selepas tewas pada PRU 1995) dan beliau kembali menyertai UMNO
DAP menyertai gabungan dengan parti Melayu lagi pada tahun 1999, ketika itu dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA) gabungan di antara Parti Keadilan, PAS, DAP dan PRM.
Ketika itu DAP bukan ketua BA, ketuanya adalah Dr Wan Azizah, Presiden Parti Keadilan yang baharu ditubuhkan. DAP tidak boleh mendakwa parti mereka sebagai 'ketua' kerana ada saingan sama, iaitu PAS.
BA ditubuhkan setelah Anwar Ibrahim disingkirkan dari kerajaan pada September 1998 kerana kerana salah guna kuasa dan liwat.
Anwar ketika itu merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Kerana BA, Kit Siang buat kali pertamanya kalah pada PRU 1999. kepada Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye di Parlimen Bukit Bendera dan di DUN Kebun Bunga kepada Dr. Teng Hock Nan.
Ketika itu, Kit Siang menuduh punca dia kalah disebabkan muslihat BN yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamed menggunakan taktik ‘ketakutan dan menakutkan’pengundi dengan melabelkan pembangkang, khususnya DAP sebagai ppenyemai kebencian, penyokong keganasan dan anarki.
Bukan sahaja Kit Siang yang ketika itu Setiausaha Agung DAP tewas di Parlimen Bukit Bendera dan DUN Kebun Bunga, malah dua orang kuat DAP lain, iaitu Karpal Singh dan Dr Chen turut tewas di Parlimen masing-masing.
Karpal Singh yang ketika itu merupakan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan tewas di Parlimen Jelutong dan DUN Datuk Keramat, manakala Dr Chen man Hin selaku Pengerusi DAP tewas di Parlimen Rasah dan DUN Temiang.
Akhirnya, Kit Siang mengakui punca sebenar kekalahannya bersama dua orang kuat DAP di kawasan kubu parti mereka sendiri bukan disebabkan faktor ‘ketakutan dan menakutkan’yang dimainkan parti pemerintah tetapi berpunca daripada faktor kerjasama parti itu dengan PAS dalam BA.
Kit Siang mengakui kekalahan teruk DAP pada PRU itu berikutan kerjasamanya dengan BA, terutama isu Negara Islam yang dibawa PAS.
Pada PRU 1999, DAP merosot teruk, manakala saingannya PAS mendapat kemenangan besar menyebabkan Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzir Noor dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.
Akhirnya, pada 21 September 2001, DAP mengumumkan keluar daripada BA dan DAP berdepan PRU 2004 tanpa gabungan sedangkan, BA masih hidup dengan hanya dianggotai dua parti iaitu PAS dan PKR (PRM bergabung dengan Parti Keadilan)
Pada 2008, DAP kembali menyertai gabungan yang kemudiannya dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) gabungan tiga parti PKR, DAP dan PAS.
Walaupun ketua rasminya adalah Anwar Ibrahim, namun sudah ada gerakan mewujudkan ketua tidak rasmi (ketua sebenar di belakang tabir) Kit Siang daripada DAP.
Kemaraan Kit Siang dan DAP yang cuba mendominasi PR tidak disenangi oleh Presiden PAS, Ustaz Hadi Awang.
Walaupun PR mengekalkan hubungan untuk menghadapi PRU 13, namun PR dibubarkan DAP pada pertengahan tahun 2015, apabila Kit Siang tidak senang dengan kemaraan Ustaz Hadi yang memberi saingan kepada autoriti kepimpinan de factornya.
Kit Siang membubarkan PR dan diganti dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menyingkirkan pengaruh Ustaz Hadi, namun dalam masa sama mengambil bekas Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu (yang membentuk PAN) kekal berada dalam PH.
Ketika Kit Siang berada di puncak kuasa mengawal PH, timbul pula parti baharu Mahathir.
Parti baharu Tun Mahathir yang dipimpin bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menunjukkan minat untuk menyertai PH.
Dalam keadaan itu, maka DAPSY pun mula menyerang Parti Mahathir sebagai rasis, moga-moga parti baharu itu menjadi lemah setaraf dengan PAN walaupun pada akhirnya DAP membenarkan Parti Bersatu menyertai PH.
Sebab itu DAPSY kata Parti Mahathir tidak relevan pada zaman kini sebab parti itu rasis yang relevan sepanjang zaman adalah DAP, sebuah parti musang berbulu ayam yang tidak rasis.
No comments:
Post a Comment