DAP nampaknya terkontang konting dalam penentangan mereka terhadap usaha memperkasakan Mahkamah Syariah melalui pindaan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian iaitu cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 selepas PKR dijangka menyokongnya.
Cadangan yang dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Mei lalu itu ditolak sepenuhnya oleh pemimpin DAP namun PKR main tarik tali.
Bagaimanapun, akar umbi PKR melalui Mesyuarat Agung Tahunan PKR cabang (bahagian) Permatang Pauh pada Ahad telah meluluskan usul untuk parti itu memberikan sokongan penuh kepada Akta 355 iaitu usaha memartabatkan bidang kuasa mahkamah syariah di negara ini.
Permatang Pauh bukan sebarang cabang, ia merupakan bahagian paling mustahak kerana merupakan kubu kuat PKR selain political base Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak sekian lama.
Kata mudahnya, jika faham bahasa politik, apa yang datang dari cabang Permatang Pauh itu adalah datang dari pemimpin tertinggi PKR. Macam juga UMNO, usul yang datang dari Bahagian Pekan mesti dikaitkan dengan pendirian Datuk Seri Najib Razak dan kalau PAS usul dari kawasan Marang dikaitkan dengan Datuk Seri Hadi Awang.
Pembawa usul, Mohd Tholib (gambar) pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR Permatang Pauh pada Ahad berkata, sokongan itu juga dibuat setelah mengambil kira pendekatan yang sering dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkasakan mahkamah syariah.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim sering berkata mengenai memperkasakan mahkamah syariah, kebebasan sistem kehakiman, atasi kemiskinan dan membawa masyarakat Islam dan bukan Islam ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di akuan facebook rasmi PKR Permatang pauh (Keadilan Permatang Pauh) Isnin.
Tambahnya, usul yang disokong ini perlu mengambil kira daripada sudut perlaksanaannya, bukan hanya sekadar `melepaskan batuk di tangga`.
"Usul ini perlu mengambil kira dalam pelbagai sudut, bukan untuk mainan politik murahan. Ia harus bersifat syumul (sempurna) sekaligus tasamuh (tolerasi) Islami dapat ditegakkan dengan cara mempunyai sistem kehakiman yang kukuh dan mantap," katanya.
Pada Mei lalu, Presiden PAS, Haji Hadi membentangkan usul RUU Persendirian berhubung Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.
Usul itu dibentang bagi meminda Seksyen 2 akta tersebut untuk menyebut Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.
Haji Hadi berkata, ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah seksyen tersebut, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.
Beliau kemudian mencadangkan usul di bawah peraturan mesyuarat 15(5) dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
“Persediaan usul ini dilakukan sejak 1957 lagi dan banyak hujah kuat telah disediakan. Saya hanya menyambung perjuangan itu. Walaupun perkara dibentangkan itu melibatkan pindaan Akta 355 dan bukannya hudud, namun ia sekali gus memberi ruang kepada mahkamah syariah meningkatkan hukuman berbanding sedia ada.
“Ini hak orang Islam. Kalau masyarakat bukan Islam ada hak untuk menganut agama masing-masing, maka orang Islam ada hak untuk pertahankan agama mereka,” katanya.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/09/dap-kena-main-dengan-pkr-permatang-pauh.html
No comments:
Post a Comment