Di mana kekuatan MCA? (Sinar Harian 5.9.16)
Bulan kemerdekaan makin dirasai. Lebih seminggu sudah kita menyambut Hari Kemerdekaan ke-59 dan diikuti Hari Malaysia ke 53. Ultra kiasu yang merupakan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata “kita tidak boleh paksa patriotisme ... Jika kamu sayang negara, kamu akan melakukannya (kibar bendera) tanpa paksaan”.
Setelah 59 tahun merdeka di bumi tercinta, apakah masih lagi tidak boleh dipaksa semangat patriotisme ini? Inilah dilema Malaysia. Kita lebih sayangkan bangsa daripada negara.
Jika berlaku sesuatu kepada negara ini, apakah kita rela berkorban jiwa raga? atau tinggalkan raga?
Patriotisme berasal daripada kata akar patriot bermakna pejuang. Semangat perjuangan itu disebut sebagai patriotisme, iaitu sanggup mati untuk negara. Semangat ini mesti ada dalam jiwa setiap rakyat.
Mengibarkan jalur gemilang hanyalah satu cara. Patriotisme bukan setakat kibaran bendera. Ia melibatkan hati. Hati yang cintakan negara lebih daripada dirinya sendiri, bangsa atau parti.
Lihat pula, MCA, belum apa-apa lagi sudah memuktamadkan calonnya bagi PRU14. MCA mendesak Umno memulangkan semula tiga kerusi Parlimen milik mereka yang ‘dipinjamkan’ kepada Umno iaitu Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju. Sejak bila pula kerusi ini menjadi milik bapak MCA?
Apakah MCA mampu untuk merampas kerusi Kuantan (60% Melayu) daripada PKR. Calon MCA kalah dalam PRU 12. Pemimpin MCA berkata, majoriti yang mereka menangi lebih tinggi daripada Umno. Ketawa beruk saya. Masalahnya MCA tidak mengundi Umno ketika Umno bertanding. Sebaliknya, undi Umno solid kepada MCA. Siapa tipu siapa? Masih tidak kenal MCA? Perkara yang sama berlaku di Gelang Patah.
MCA tidak perlu bercakap banyaklah. Buat kerja, kurangkan cakap. Jangan sakiti Umno. Jika Umno tidak mengundi MCA, nanti hilang wang deposit. Ini akibatnya apabila Umno gagal untuk mentarbiah MCA supaya tahu dek untung. Terbaharu, MCA minta tambah kerusi di Sabah.
Apakah MCA tidak sedar bahawa kerusi mereka yang di kawasan majoriti Melayu selama ini semuanya dipinjamkan? Kerusi tetap MCA, termasuk Gerakan dan MIC adalah di kawasan majoriti Cina.
Bila masa pula kerusi majoriti Melayu mahu dikembalikan. Misalnya, Ayer Hitam, Alor Setar, Kapar, Alor Gajah, Simpang Renggam, Lumut, Tanjung Malim, Tebrau dan lain-lain lagi.
Saya tidak boleh terfikir bagaimana Parlimen Grik yang dihuni lebih 70 peratus Melayu boleh diberikan kepada Gerakan PRU 12, dikembalikan kepada Umno PRU 13. Apakah layak Gerakan meminta Umno kembali kerusinya pada PRU 14 nanti?
Sama juga di Kelantan, apakah parti nyamuk PAN layak diberikan kerusi. Memberikan kepada PKR itupun satu tolak ansur yang sudah tidak ada tolok bandingnya oleh PAS. Kasihan, setiap kali parti baru muncul, PAS terpaksa berkorban.
MCA boleh ambil kesemua kerusi di kawasan majoriti Cina. Tetapi jangan kacau kawasan majoriti Melayu. Setakat ini hanya Melayu sahaja terima MCA, Cina sudah lama tolak. Jangan perasan kuat.
Saya menulis sebegini seolah-olah saya talibarut atau dibayar Umno. Tidak. Tetapi sebagai rakyat marhaen dan penganalisis politik, saya mesti berkata benar, walau pahit.
Jika MCA sudah bersedia, lawanlah ultrakiasu di Bagan, Bukit Mertajam, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bukit Gelugor, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Batu Gajah, Seputeh, Kepong, Bukit Bintang, Cheras dan kawasan bandar. Biarlah Umno bergasak dengan Pas kawasan majoriti Melayu.
Jika MCA kacau, sudah tentu undi akan pergi kepada pembangkang. MCA, MIC dan Gerakan tidak perlu bimbang, jika kalah, jawatan senator, kemudian dilantik sebagai menteri dan timbalan pasti menanti.
Formula lapuk menjadi sesuatu kawasan bapak dia yang empunya perlu difikirkan semula, jika Umno mahu menang PRU 14. Biar MCA melalak. Perangai MCA sama seperti DAP, ultra kiasu. Saya cabar Cina DAP bertanding kawasan majoriti Melayu.
MCA, MIC, Gerakan dan termasuk PAN, tahu mereka ini tidak kuat, tetapi pandai daripada segi psywar dan psyop, seolah-olah mereka kuat.
Laman web ultra kiasu membesar-besar ucapan PM Singapura mengenai jaminan kepada etnik minoriti bahawa jawatan Presiden Singapura akan diberikan kepada mereka. Kenapa tidak PM?
Ada apa dengan jawatan Presiden berbanding Perdana Menteri? Singapura sepatutnya menyelesaikan masalah minoriti Melayu di buminya sendiri. Beri kepercayaan minoriti menjadi PM, Panglima tentera, Ketua Imigresen dan Ketua Polis. Selagi sikap sangsi dan sangka buruk ini wujud, selagi itulah masalah kaum tidak dapat diselesaikan. Ingat! Singapura tidak dapat dipisahkan daripada sejarah kenegaraan Melayu.
Sekurang-kurangnya keadaan kita jauh lebih baik. Etnik minoriti diberikan jawatan tinggi walaupun bilangan sedikit. Ramai yang dilantik menjadi Menteri, Duta, KSU, Ketua Polis Negeri dan sebagainya.
Sempena Kemerdekaan ke 59, marilah kita meletakkan kepentingan negara di hadapan, berbanding kepentingan bangsa, parti dan diri. Tangkaplah lagi perasuah dan pengkhianat, meskipun dia Melayu, kerana negara tidak memerlukan mereka yang tidak patriotik.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah,
Profesor, INSPIRE/FUPL, UniSZA
http://ridhuantee.blogspot.my/2016/09/di-mana-kekuatan-mca.html
No comments:
Post a Comment