Tulisan terkini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ini bakal memanaskan lagi hubungan antara PAS dengan parti pembangkang lain termasuk PKR.
Orang-orang PKR sudah tentu tidak boleh terima selepas secara terbuka mengatakan Islam menolak slogan “suara rakyat adalah suara keramat” yang merupakan slogan PKR sejak ditubuhkan lagi.
Menurut Haji Hadi, slogan tersebut yang bertentangan dengan prinsip tauhid (kesatuan Tuhan) dalam Islam menolak sistem pemerintahan sama ada “bertuhankan individu” seperti diktator mahupun “kelompok atau rakyat”.
“Maka Islam menolak diktator yang bertuhankan individu atau kelompok atau rakyat, termasuk yang bertopengkan demokrasi, kononnya suara rakyat adalah suara keramat seperti Tuhan atau Teokrasi yang bertuhankan agamawan yang bertopengkan agama,” katanya dalam satu penulisan terbaru yang diterbitkan organ PAS Harakah.
Tulisan bertajuk 'Inilah penyelesaiannya' itu antara lain menekankan soal Islam dan pemerintahan negara.
"Islam menolak diktator yang bertuhankan individu atau kelompok atau rakyat, termasuk yang bertopengkan demokrasi, kononnya suara rakyat adalah suara keramat seperti Tuhan atau teokrasi yang bertuhankan agamawan yang bertopengkan agama.
“Semuanya menjadikan dirinya seperti Tuhan, rakyatnya sebagai hamba. Termasuk menjadikan harta dan segala khazanah negara sebagai miliknya yang boleh diambil dengan apa-apa cara dan menggunakannya tanpa batas sempadan halal dan haram.”
“Suara rakyat, suara keramat” merupakan antara slogan yang kerap diucapkan pemimpin pembangkang terutama dari PKR pada ceramah dan perhimpunan aman.
Hadi berkata akidah Islam juga melarang undang-undang yang memberi kekebalan kepada mana-mana individu.
“Akidah Islam menjadikan tidak ada manusia yang mengatasi undang-undang termasuk raja atau ketua negara sehingga mengharamkannya berlagak Tuhan.”
Beliau menegaskan kepentingan mendalami maksud tauhid yang menjadi dasar akidah Islam, dengan berkata ia bukan setakat melarang umat Islam menyembah berhala.
“Akidah Tauhid dengan mengesakan Allah sahaja Tuhan yang diibadatkan kepadanya dengan jasad, roh dan akal. Ini menjadikan manusia itu tidak berlagak menjadi Tuhan apabila berkuasa memerintah negara, atau diberi nikmat kehidupan berpangkat atau berharta.
“Dengan tegas menolak syirik dengan maksud yang menyeluruh, bukan sahaja diharamkan menyembah berhala atau patung, termasuk juga makhluk yang lain, termasuk sesama manusia, dan juga tidak mengadakan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah,” katanya lagi.
Tulisan tersebut berakhir dengan kalimah 'Inilah penyelesaian kita' dan disiarkan oleh Harakah pada 2 September lalu.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/09/panassss-haji-hadi-bidas-slogan-pkr.html
No comments:
Post a Comment