"Kalau tidak suka saya, lawanlah saya dalam parti, saya pun ada bala tentera saya, boleh lawan tengok siapa yang akan menang, tetapi jangan sesekali khianati Umno kerana inilah parti keramat orang Melayu, berbeza pendapat boleh tetapi ada kaedahnya.”
Itu antara kata Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap merasmikan UMNO Bahagian Pekan yang beliau ketuai Ahad.
Beliau mengingatkan mengingatkan ahli parti agar tidak mengkhianati parti kerana ia merupakan 'produk' terbaik setakat ini yang mampu membela agama Islam dan orang Melayu di negara ini.
"Kalau kita kita ada sesuatu yang baik, kita jagalah...janganlah buat kerenah. Saya tidak ada niat lain melainkan mahu menjadikan Umno dan BN terus berjaya di Pekan dan di tempat lain.
"Kita adalah harapan untuk masa depan negara... jadi kita kena lipat gandakan semangat kebersamaan, perkukuhkan kesetiaan sepanjang hayat kepada perjuangan parti.
"Kita berhimpun ini atas semangat kebersamaan, boleh tegur sesama kita dan boleh beri pandangan, saya sedia terima teguran. Jika ada tidak betul kita betulkan, ini tujuan kita bersidang, untuk tambah baik," katanya sambil disambut tepukan gemuruh daripada perwakilan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan.
Menurut Perdana Menteri semua ahli UMNO dan BN perlu terus memperkukuhkan semangat kebersamaan selain ikhlas dalam perjuangan untuk memastikan parti terus kuat dan berjaya mengharungi arus pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Katanya mereka kini tidak lagi boleh bersikap leka atau syok sendiri, kerana dunia politik bersifat dinamik, tidak statik, dan sentiasa mengalami 'jatuh bangun'.
"Kalau kita amalkan semangat kebersamaan, kita boleh jadi satu negara yang lebih kuat dan berjaya. Jika singkap sejarah negara, kita boleh gunakan pengalaman dan beberapa detik peristiwa di mana kebersamaan antara kita telah membuahkan keberhasilan yang agak luar daripada jangkaan.
"Ia termasuk semasa kita menuntut kemerdekaan, dengan semangat kebersamaan antara pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T Sambanthan, kita telah berjaya mendapat kemerdekaan dengan cara lebih mudah daripada kebanyakan negara lain.
"Malah semasa PRU pertama 1955, hasil semangat kebersamaan, Parti Perikatan ketika itu telah meraih kemenangan cemerlang dengan membolot hampir semua kerusi," katanya.
Menurut Najib, ahli parti juga perlu menjadikan PRU ke-10 di Pekan sebagai pengajaran, apabila UMNO dan BN ketika itu hampir tersungkur kerana meninggalkan prinsip kebersamaan ditambah dengan faktor luaran ketika itu.
"Barangkali sebahagian besar daripada kita masih segar dalam ingatan mimpi ngeri PRU 1999 apabila kita nyaris rebah, walaupun banyak faktor luaran yang mempengaruhi keputusan, namun tidak kurang pentingnya faktor dalaman yang menyumbang kepada keputusan yang saya sebut sebagai mimpi ngeri itu.
"Hari ini saya nak mengingatkan kepada diri sendiri bahawa ini mesti dijadikan sebagai sempadan supaya ia tidak berulang dan sejak PRU itu kita bangkit kembali dengan semangat baru menjadikan keputusan yang diperoleh selepas itu semakin baik," katanya.
Untuk rekod pada PRU ke-10, Najib yang bertanding di Parlimen Pekan hanya menang tipis dengan memperoleh majoriti 241 undi ketika menentang calon PAS Ramli Mohamed.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/09/kalau-tidak-suka-saya-lawanlah-saya.html
No comments:
Post a Comment