"Tetapi semalam saya lihat, dia luar biasa cantik. Sumpah! Dalam jubah hitam, selendang hitam ditaburi bunga emas, segala yang semula jadi tentang dia terbentang di depan mata. Tanpa secalit make-up, dia terlalu cantik. Saya yang perempuan dipanggil Kak Long ini pun boleh tidak berkelip mata memandang.

"Saya letakkan kedua-dua tangan saya pada bahu kiri dan kanannya, saya pandang jauh ke dalam mata dia dan saya cakap.

"Ya Allah, Lofa! Cantiknya Lofa. Cantik sangat-sangat dik." Dia hanya gelak kecil.

"Saya sambung lagi "Aura orang hendak pergi haji ni kan, seri dia lain macam." Dan dia senyum lagi sambil dengan sepantasnya meminta maaf.

"Maaf kak, Lofa tak jawab panggilan semua orang sebelum ni. Lofa terlalu banyak masalah sebelum pergi," kata anak ketiga dalam keluarga, yang sungguh kuat bekerja ini.

Saat itu, matanya mula merah. Ya! Dia mula menahan air mata dari tertumpah.

"Visa hanya dapat saat-saat akhir, sehari sebelum pergi kak, bayangkanlah. Lofa hanya berserah kepada Allah. Lofa doa dan terus berdoa.

"Kak....Lofa tak tidur malam, Lofa doa dan terus doa semoga Allah jemput Lofa. Semoga Allah panggil Lofa ke Tanah Suci bersama Mama dan Daddy tahun ini.

FB Tengku Khalidah Tengku Bidin

"Dan kak, percayalah kak. Bila kita nak buat kerja baik, Allah tolong. Hari ini hati Lofa tenang, semua sudah selesai dengan baik. Doakan Lofa jadi manusia yang lebih baik selepas pulang ya, " katanya dan lagi sekali, matanya memerah.

Semalam, saya luangkan masa. Melihat dia melangkah bagi menuju ke satu perjalanan yang sangat indah itu. Dijemput mengerjakan ibadah rukun Islam kelima di Tanah Suci Mekah, dalam usia 27 tahun, dia bukan biasa-biasa, tetapi istimewa.

Justeru, pemilik nama penuh Neelofa Mohd Nor, 27, ini melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T kerana impiannya untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini bakal tertunai juga.

Neelofa ditemani oleh ibunya, Noor Kartini Noor Mohamed dan ayah tirinya, Abdul Halim Khan, berlepas dengan penerbangan Saudi Arabia pada pukul 6 petang semalam dari KLIA.

Apa juga kontroversi yang muncul sebelum ini tidak pernah mematahkan semangat si pemilik Naelofar Hijab ini untuk menjadi tetamu Allah.

Turut menghantar Neelofa dan keluarga di KLIA ialah ahli keluarganya di Kuala Lumpur dan dari Kelantan, termasuk bakal abang iparnya, pelakon Sharnaz Ahmad.

Tahun lalu, saya hantar 'teman bergaduh' Lofa di set, Nabil Ahmad di KLIA juga. Ketika kenangan saat menghantar Nabil di pintu Perlepasan KLIA itu masih sangat jelas di ingatan, tahun ini, giliran Lofa pula dijemput Allah menjadi tetamunya ke sana.

Kedua-duanya anak seni ini masih terlalu muda sudah pun ber'haji'. Adik-adikku, DIA memandang hati kamu! Alhamdulillah!

Catatan FB, Tengku Khalidah Tengku Bidin, Pengarang Hiburan Utusan Malaysia


http://www.utusan.com.my/hiburan/selebriti/saya-pergi-dengan-tenang-neelofa-1.379270