Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Wednesday 5 October 2016

Nama George Town dan Butterworth perlu ditukar kepada nama asal Tanjong dan Bagan - Prof Datuk Ahmad Murad


Pengkaji sejarah, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mencadangkan supaya nama George Town dan Butterworth di Pulau Pinang ditukar kepada nama asal iaitu masing-masing Tanjong dan Bagan.
Justeru, beliau meminta Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Jabatan Warisan Negara dan kerajaan negeri Pulau Pinang supaya mengekalkan nama asal dua tempat berkenaan.
Nama Tanjong ditukar kepada George Town oleh pengasas penempatan British di Pulau Pinang, Kapten Francis Light pada 1786 dan nama Bagan ditukar kepada Butterworth oleh gabenor pertama Pulau Pinang, Sir George Alexander William Leith.
"Nama asal itu membuktikan bahawa komuniti Melayu sudah berada di situ sebelum ketibaan Francis Light dan dengan mengiktiraf nama asal, maka sejarah yang lebih tua turut diiktiraf," katanya pada sidang media, hari ini.
Menurutnya, Datuk Nakhoda Intan, atau nama asalnya Raja Nan Intan dari Paya Kumbuh, Sumatera Barat, telah membuka pelabuhan Batu Uban serta mengasaskan penempatan di kawasan itu pada 1734 selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muazzam Shah II.
Selepas ketibaan Datuk Nakhoda Intan, saudaranya Nakhoda Bayan dan Nakhoda Kecil telah datang ke pulau itu bagi membuka kawasan penempatan di Bayan Lepas dan Jelutong, kata Prof Ahmad Murad, yang juga ahli fakulti Pusat Penyelidikan dan Kajian Antarabangsa (Cenpris), Universiti Sains Malaysia (USM).
Selain nama George Town dan Butterworth, beliau berkata kerajaan negeri boleh menamakan nama-nama jalan mengikut pengasas kawasan penempatan Melayu seperti Datuk Nahkoda Intan dan Datuk Nakhoda Kecil.
Prof Ahmad Murad, yang juga presiden Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Pulau Pinang, berkata langkah menukar kepada nama asal perlu bagi menyahjajah kerana pengasas awal sebelum ketibaan Francis Light tidak diiktiraf oleh mana-mana pihak.
"Langkah ini adalah satu penghormatan kerana mereka ini juga menyumbang kepada sejarah negeri ini. Jangan hanya melihat kepada sejarah orang kulit putih...biar lebih daripada itu," katanya.
Dalam pada itu, katanya Cenpris berusaha mengenal pasti kewujudan lebih 660 kampung tradisional di seluruh negara untuk pengumpulan sejarahnya.
"Ini bertujuan bagi mengelak sejarah kampung tradisional itu dipadam sama sekali," katanya.
- Bernama
http://celahgelegar.blogspot.my/2016/10/nama-george-town-dan-butterworth-perlu.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+celahgelegarblogspotcom+(CELAH+GELEGAR)

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...