Isu Rohingya kembali memenuhi media massa kita terutamanya di media sosial seperti Facebook dan lain-lain. Selama ini isu umat Islam yang biasa kita dengar adalah seperti isu di Palestin, Syria, Iraq dan sebagainya. Namun, isu umat Islam Rohingya selalu tenggelam timbul dan jarang mendapat perhatian dari media massa dek keterbatasan maklumat mengenai mereka.
Justeru, tulisan ini berusaha untuk menjelaskan serba ringkas mengenai isu umat Islam Rohingya terutamanya daripada sudut sejarah kerana sejarah merupakan elemen penting untuk memahami sesuatu krisis dengan baik.
Kajian mengenai Rohingya agak terbatas khususnya dalam konteks diaspora di Malaysia. Jika pun ada, ia cenderung kepada mengaitkan Rohingya dan pencabulan hak asasi dan laporan kertas kerja yang bersifat negatif.
Antara naskhah yang membicarakan secara mendalam mengenai sejarah Rohingya dan masyarakatnya di Malaysia ialah tulisan Azlinariah Abdullah, Air Mata Kesengsaraan Rohingya Identiti, Penindasan dan Pelarian di mana ia asalnya hasil tesis penulis di peringkat Sarjana Sejarah Asia Tenggara (Myanmar) dan kemudiannya ditukar menjadi buku. Buku ini menjadi rujukan asas dalam penulisan artikel ini.
Sejarah Umat Islam Rohingya
Perkataan Rohingya bermaksud 'yang dikasihi' atau 'yang penyayang'. Secara umumnya orang Rohingya merupakan kelompok minoriti Islam di Myanmar yang berpegang kepada mazhab Sunni. Sebahagian besar orang Rohingya menetap di Arakan (kini dikenali dengan nama Rakhine), terutamanya di sekitar Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung, Sittwe dan Kyauktaw.
Arakan atau lebih dikenali dengan nama Rakhine hari ini merupakan tumpuan utama orang Islam semenjak sekurang-kurangnya abad ke-8 Masihi lagi. Nama lama bagi Rakhine iaitu Arakan dikatakan berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘Arkan’ yang bermaksud rukun-rukun.
Kedudukannya yang terletak berhampiran dengan laut menjadi tempat persinggahan pedagang-pedagang Islam. Pedagang-pedagang Arab yang singgah di Arakan sebahagiannya berkahwin dengan masyarakat tempatan dan kemudiannya menetap di Arakan. Orang pertama yang dikatakan mengembangkan Islam di Arakan adalah Muhammad Ibn Hanifiya.
Ini menyumbang kepada kepadatan penduduk Islam yang tinggi di Arakan. Berdasarkan perkembangan sejarah, orang Rohingya merupakan kacukan daripada pelbagai bangsa termasuklah Arab, Parsi, Afghanistan mahupun dari Bengal dan Chittagong. Jumlah penduduk Rohingya di Rakhine pula dikatakan berjumlah 1.4 juta orang iaitu mewakili separuh daripada jumlah penduduk Rakhine.
Antara isu utama bagi umat Islam Rohingya adalah status mereka sebagai warganegara Myanmar. Ketika zaman pemerintahan British, mereka diklasifikasikan sebagai Indo-Burman. Ketika Myanmar mencapai kemerdekaan pula mereka dianggap sebagai bukan warganegara, padahal orang Rohingya telah mendiami Rakhine sejak ratusan tahun yang lalu. Pendek kata, status orang Rohingya sebagai minoriti yang terasing adalah merupakan sumbangan penjajahan British di Myanmar.
Di Myanmar, terdapat 134 etnik antaranya Karen, Chin dan Mon. Namun, Rohingya tidak diiktiraf sebagai kumpulan dan etnik tersebut. Kehilangan identiti masyarakat Rohingya berlaku apabila mereka melarikan diri ke Bangladesh pada tahun 1942 ketika berlaku perang etnik. Apabila mereka kembali semula ke Myanmar, dasar negara itu telah berubah. Kesannya, mereka tidak lagi diakui sebagai rakyat negara itu. Mereka menjadi pengemis di negara sendiri.
Malah ketika kerajaan Ne Win berkuasa, pihak tentera yang sedang berhadapan dengan pemberontakan komunis dan etnik, menjadikan isu Rohingya sebagai isu yang tidak begitu penting. Nasib malang terus menimpa mereka apabila Undang-Undang Kewarganegaraan Burma (Citizenship Act of Burma) diperkenalkan pada tahun 1982.
Akta ini diluluskan oleh Ne Win yang bertujuan mahu menghapuskan terus etnik Rohingya dari peta Myanmar. Ini menyebabkan Kementerian Luar Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai sebahagian daripada kumpulan etnik di Myanmar.
Berdasarkan fakta-fakta ini, ia jelas menunjukkan masyarakat Rohingya sedang menghadapi krisis identiti yang hebat.
Penindasan dan Kekejaman terhadap umat Islam Rohingya
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Rohingya sebagai golongan masyarakat yang menerima penindasan paling buruk di dunia. Penduduk Muslim Arakan dibunuh dan dihapuskan secara besar-besaran sejak Burma menceroboh Arakan pada tahun 1784.
Mereka mahu menukar Arakan menjadi wilayah Buddha yang berpengaruh di Myanmar. Bahkan, lebih kurang seramai 1.5 juta Muslim Rohingya dipaksa keluar dari tanah air mereka apabila junta tentera berkuasa sejak tahun 1962. Junta tentera menetapkan peraturan yang ketat kepada perjalanan agama-agama selain Buddha di Myanmar.
Antara operasi yang dianggap paling kejam ke atas masyarakat Rohingya adalah Operasi Naga Min (King Dragon Operation) yang merupakan sebahagian daripada Pelan 20 Tahun Pembasmian Rohingya (The 20-year Rohingya Extermination Plan).
Operasi ini secara umumnya bertujuan menangkap pendatang haram di Myanmar terutamanya dari China, Bangladesh, India dan Nepal. Namun tujuan yang terselindung di sebalik operasi ini adalah ke atas orang Rohingya yang sememangnya tiada pengenalan diri.
Tanggal 6 Februari 1978, operasi ini dimulakan. Orang Rohingya yang menyedari mereka menjadi sasaran bertindak menentang balas. Penentangan balas ini kemudiannya dijadikan alasan oleh pihak kerajaan untuk bertindak lebih kejam ke atas mereka.
Ketika operasi ini berkembang ke Buthidaung dan Maungdaw, beratus-ratus Muslim lelaki dan wanita dihumban ke dalam penjara. Ada yang diseksa dan dibunuh. Kaum wanita pula dirogol. Kekejaman ini menyebabkan sebahagian besar muslim Rohingya lari meninggalkan kediaman masing-masing dan menjadi pelarian.
Tahun 1991 pula menyaksikan kempen pembasmian etnik termasuk orang Rohingya dengan kod nama “Pyi Thaya”. Dalam operasi ini, penyeksaan dan kezaliman ke atas orang Rohingya terus berlanjutan. Mereka ditangkap, dibunuh malah kaum wanitanya dirogol. Tempat tinggal mereka dan masjid-masjid turut dimusnahkan. Malah pada tahun 2001, ratusan masjid dimusnahkan.
Konflik membabitkan orang Rohingya dan Rakhine kembali meletus pada tahun 2012. Khabar yang menyatakan kononnya seorang gadis Rakhine menjadi mangsa rogol dan bunuh oleh pemuda Rohingya menyebabkan penganut Buddha segera membalas dengan membunuh 10 orang penduduk Islam.
Harian Metro bertarikh 28 Julai 2012 menyebut bahawa lebih 1,000 orang terkorban dibunuh oleh puak Rakhine, 3,000 hingga 4,000 cedera, 10,000 hilang dan 115,000 hidup melarat di khemah-khemah penempatan sementara.
Malahan, ratusan sami Buddha telah berkumpul pada awal September 2012 dalam perarakan menyokong tindakan presiden agar orang Rohingya dihantar ke negara lain. Ini menunjukkan betapa dalamnya kebencian masyarakat tempatan terhadap golongan Rohingya termasuk golongan sami. Padahal, sepatutnya merekalah yang seharusnya menunjukkan ‘compassion’ yang tinggi terhadap penganut agama lain.
Umat Islam Rohingya juga berhadapan dengan penindasan daripada sudut keagamaan. Masjid-masjid dan madrasah ditutup secara paksa. Malah ada masjid, madrasah dan sekolah agama yang diarahkan supaya dimusnahkan. Mereka juga dihalang daripada membina masjid baru mahupun membaik pulih masjid sedia ada. Ini menyebabkan banyak masjid seperti ‘hidup segan mati tidak mahu’.
Kanak-kanak Rohingya turut terjejas. Mereka berdepan dengan diskriminasi berhubung pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkerjaan. Kanak-kanak yang lahir mesti didaftarkan dengan bayaran yang bertambah mahal sejak tahun 2002. Ini memberi kesan yang besar kepada orang Rohingya lebih-lebih lagi yang tidak mempunyai wang.
Mereka juga menghadapi masalah kebuluran. 60 peratus kanak-kanak Rohingya menderita kurang zat makanan sekaligus mendedahkan mereka kepada wabak penyakit dan menjejaskan pertumbuhan fizikal dan mental mereka.
Diskriminasi ke atas pendidikan kanak-kanak Rohingya menyebabkan ramai kanak-kanak buta huruf terutamanya di kawasan Rakhine Utara. Bahkan, mereka juga dipaksa menjadi buruh untuk melakukan kerja-kerja keras dan berat.
Resolusi dan Tindakan
Antara tragedi terbaru yang melanda umat Islam Rohingya adalah pembunuhan 400 orang awam sejak 9 Oktober lalu. Lebih 430 buah kediaman di tiga buah kampung dibakar oleh tentera. Dalam tempoh sama, sebanyak 150 orang wanita termasuk kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dirogol tentera dan polis sempadan yang setakat ini telah membakar sebanyak 3,500 buah rumah. Sekumpulan wanita dan kanak-kanak juga dilaporkan dikurung dan dibakar hidup-hidup di Yay Khae Chaung Kwa Sone. 30,000 orang menjadi pelarian di Rakhine.
Tentera Myanmar juga dilaporkan menggunakan pelancar roket serta melepaskan tembakan daripada helikopter untuk membunuh penduduk Rohingya. Beberapa orang penduduk ditembak ketika cuba melarikan diri. Bahkan ada antara penduduk yang dibakar hidup-hidup atas timbunan rumput kering. Ini jelas menunjukkan pihak tentera memang mahu melakukan genosid iaitu pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Rohingya.
Oleh itu, krisis ini perlu diambil tindakan segera, antaranya:
1. Kerajaan Myanmar harus didesak supaya menamatkan dasarnya yang melaksanakan pengusiran dan diskriminasi ke atas masyarakat Rohingya dengan meminda semula Burma Citizenship Law yang diluluskan pada 1982. Kerajaan Myanmar juga perlu didesak agar mengiktiraf masyarakat Rohingya sebagai warganegara Myanmar berdasarkan bukti-bukti yang ada termasuk faktor sejarah.
2. Rohingya juga wajar diberi perhatian lebih adil oleh masyarakat Islam dunia, khususnya Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Pertubuhan ini tidak harus sekadar “mengutuk” kezaliman yang berlaku malah harus bertindak dengan lebih efektif dan proaktif dalam menangani isu ini. Negara-negara di Asia Tenggara (ASEAN) juga harus membantu menyelesaikan konflik yang berlaku di Myanmar sebagai salah satu anggota ASEAN.
3. Masyarakat antarabangsa juga harus terus memberi sokongan berterusan kepada golongan minoriti ini dan menggesa Myanmar untuk melakukan perubahan dasarnya terhadap golongan Rohingya yang tertindas. Gesaan dan sokongan ini pula harus konsisten dan tidak bermusim agar impaknya lebih besar dan berkesan.
4. Kerajaan Malaysia juga harus memprotes tindakan kekejaman ini dengan cara menggantung sementara urusan dagangan Malaysia-Myanmar dan menutup kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur. Kerajaan Malaysia juga harus menghantar pasukan bantuan kemanusiaan dengan mendesak kerajaan Myanmar untuk bekerjasama.
Hadiah Keamanan Nobel yang dianugerahkan kepada Aung San Su Kyii juga harus ditarik balik kerana berdiam diri atas kekejaman dan pembantaian kerajaan Myanmar terhadap umat Islam di Rohingya.
Sama-sama kita doakan krisis ini berakhir segera.
Usaid Subki
Penolong Penyelidik
Pioneer Research Centre
No comments:
Post a Comment