Tun Dr Mahathir menjadi bahan kritikan sekali lagi. Kali ini tentang jawapan beliau semasa Forum AUKU 1974 baru-baru ini. Forum ini juga disertai oleh Anis Syafiqah mahasiswi yang digantung 1 semester pengajian oleh Universiti Malaya pada 15 Disember yang lepas.
Kita sedia maklum bahawa Dr Mahathir sendiri yang memperkenalkan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran. Dan sekarang, beliau sendiri mahu pihak mahasiswa terlibat dalam bantahan dan demonstrasi.
Beliau mendakwa 'semua saluran untuk bersuara sudah ditutup'.
Padahal, Forum AUKU yang beliau hadir itu telah di adakan secara terbuka. Kita juga boleh menonton rakaman Forum tersebut di dalam Media Sosial. Blog Che Det, web rasmi lidah Pembangkang dan portal-portal pro-pembangkang juga boleh diakses dengan mudah di dalam media sosial tanpa sekatan.
Logiknya, senario hari ini jauh lebih terbuka jika dibandingkan dengan era Dr Mahathir di mana sumber-sumber berita hanya boleh didapati melalui radio, televisyen dan media cetak yang dikawal selia oleh kerajaan ketika itu.
Golongan mahasiswa hari ini juga mempunyai beberapa saluran sah untuk menyuarakan pandangan yang membina seperti Parlimen Mahasiswa, Majlis Perwakilan Pelajar di semua universiti, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan MPMN (Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional).
Kenyataan Dr Mahathir semasa Forum ini juga telah dipertikai oleh aktivis mahasiswa yang hadir di Forum tersebut. Di antara lain, beliau berkata bahawa Dr Mahathir jelas berpendirian masih tetap menyokong AUKU tetapi Mahathir juga mengatakan menyokong kepada mahasiswi Anis Syafiqah.
Dr Mahathir juga ditempelak kerana mungkin boleh meyakinkan ‘gergasi-gergasi’ daripada blok pembangkang untuk bekerjasama dengan beliau, tapi bukan mudah untuk menundukkan mahasiswa.
Tidak mungkin kami mahu bersatu dengan pemimpin politik yang tidak punya pendirian tapi sekadar mahu memperkudakan mahasiswa, kata aktivis itu lagi.
Tambahnya lagi, anggapan Mahathir untuk mendapat sokongan mahasiswa hanya kerana menyokong Anis itu juga tidak akan berlaku selagi Dr Mahathir tidak menyatakan pendirian bahawa AUKU yang selama ini memenjarakan mahasiswa adalah salah satu undang-undang yang meMANDULkan aktivisme mahasiswa.
Inilah pendirian aktivis Mahasiswa yang bukan sahaja menganggap bahawa Mahathir bukan sahaja tidak punya pendirian tetapi juga mahu memperkudakan kelompok mahasiswa. Malah, di era pemerintahannya, Mahathir tidak ada pun sebarang tanda, walau sedikit pun, untuk meminda apatah lagi memansuhkan Akta AUKU ini.
Sekurang-kurangnya, di masa pemerintahan DS Najib Razak, terdapat beberapa pindaan terhadap Akta AUKU ini. Kita sedia maklum bahawa Dewan Negara telah meluluskan 3 pindaan rang undang-undang berkaitan pengajian tinggi. Di antara lain, ianya membenarkan mahasiswa terlibat dalam persatuan, badan atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus.
3 rang undang-undang itu adalah Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012, Rang Undang-Undang Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-Undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2012 menerusi pindaan rang undang-undang berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU yang telah diwartakan pada 29 April 1971.
Pindaan tahun 2012 yang diluluskan secara demokrasi di Dewan Negara ini adalah satu inisiatif yang gagal dilakukan oleh Dr Mahathir semasa pemerintahan beliau selama 22 tahun. Sudah tentu, pindaan ini perlukan sedikit masa untuk melihat keberkesanannya dari segi banyak aspek terutamanya untuk melahirkan mahasiswa yang tinggi tahap akademiknya.
Kita juga berasa amat berat untuk menerima alasan Dr Mahathir yang tidak membenarkan pelajar universiti menyertai sebarang bantahan menentang kerajaan ketika zaman pemerintahannya TETAPI KINI mengalakkan pula mahasiswa terlibat dalam demonstrasi. Alasan beliau ialah 'ramai antara Mahasiswa yang tidak cemerlang dalam pelajaran di zaman beliau'. 'Pelajar Melayu yang melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi zaman beliau juga mendapat tajaan pembelajaran, maka mahasiswa tidak boleh derdemonstrasi', katanya lagi.
Dr Mahathir pernah berkata bahawa beliau telah perkenalkan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) semasa Menteri Pelajaran kerana bagi beliau 'peningkatan kebolehan bangsa Melayu adalah lebih penting dan utama daripada apa kecaman terhadap diri beliau memperkenalkan AUKU'.
Persoalannya sekarang, apakah Mahathir sudah tidak pedulikan prinsip beliau bahawa adalah lebih penting dan utama untuk meningkatkan kebolehan bangsa Melayu? Sampai begitu sekali?
Di sini MiM siarkan kembali artikel Dr Mahathir tentang alasan beliau mewujudkan AUKU. Di antaranya:
7. Harus diingat bahawa pembiayaan bagi tiap-tiap penuntut samada yang dapat biasiswa atau tidak datang daripada duit rakyat. Duit itu disalur dengan rela hati oleh mereka kerana kepentingan penuntut dan ilmu yang dituntut oleh mereka, yang akan menjamin masa depan yang cerah bagi mereka. Rakyat yang sanggup wang ini dibelanjakan untuk penuntut sedia berkorban jika korban mereka mendatangkan hasil yang dikehendaki. Tentulah mereka akan kecewa jika wang mereka disalahguna, dihabiskan untuk kegiatan yang lain. Negara juga akan rugi kerana tidak dapat warga yang berilmu. Dan penuntut itu sendiri akan rugi kerana masa depan mungkin tidak cerah seperti yang diharapkan.
8. Pengorbanan yang kita pohon daripada penuntut kita hanya sedikit sahaja. Masa untuk menuntut tidak begitu lama – hanya tiga atau empat tahun sahaja. Setelah lulus tumpukanlah sepenuh masa untuk kegiatan politik atau lain-lain jika ini menjadi minat utama. Pada masa itu kita tidak habiskan wang orang lain. Kita habiskan duit dari titik peluh kita sendiri.
9. Saya percaya orang yang bertanggungjawab dan tahu kenang budi seperti ini akan menjadi manusia dan pemimpin politik yang lebih baik.
10. Tetapi jika kita sanggup habiskan duit orang, kita hampakan harapan orang, sebaliknya kita tidak rela mengguna duit dan masa kita sendiri untuk sesuatu yang kita gemar, maka tidaklah kita dapat berkata yang kita begitu prihatin dan rasa bertanggungjawab terhadap masalah negara kita.
Kemana perginya segala nasihat dan prinsip Mahathir ini?
Realitinya, di zaman ini pun pembiayaan bagi tiap-tiap penuntut samada yang dapat biasiswa atau tidak, juga datang daripada duit rakyat. Rakyat hari ini juga akan kecewa jika wang mereka disalahguna, dihabiskan untuk kegiatan yang lain dan negara era ini juga akan rugi kerana tidak dapat warga yang berilmu. Malah, masih ramai pelajar-pelajar terutamanya pelajar Melayu yang mendapat tajaan pembelajaran.
Masih ramai lagi pelajar Melayu yang tidak cemerlang dalam pelajaran dan setiap mereka ini menjadi harapan ibu bapa dan seluruh keluarga untuk cemerlang di dalam kampus supaya mereka akan dapat kerja yang lumayan gajinya kelak.
Ibu bapa terutamanya dari kampung juga sentiasa mendoakan agar anak-anak mereka dipermudahkan segala urusan pelajarannya, sihat selalu dan tidak diganggu dengan sebarang anasir yang boleh menganggu gugat fokus anak-anak mereka.
MiM tertarik kepada nasihat DS Zahid Hamidi kepada golongan mahasiswa. Beliau berkata,
"Kita mungkin boleh berbeza pendapat dan mengkritik, tetapi kita harus ada ketatasusilaan dan adab serta nilai intelektual dalam melontarkan pandangan itu iaitu apabila menyuarakan pandangan mesti konstruktif bukan distruktif.
Sebab kita akui era di mana kerajaan tahu semua perkara sudah berlalu, ini adalah zaman terbuka. Tapi jangan kita gunakan keterbukaan kerajaan ini hanya untuk mengkritik saja,"
Nasihat Zahid Hamidi ini benar dan perlu digunapakai oleh golongan mahasiswa secara berhemah, bukannya melanggar undang-undang yang sedia ada.
Seperkara lagi, sekarang timbul satu desakan dalam media sosial agar cucu-cucu Dr Mahathir yang sedang menuntut di IPTS/IPTA (jika ada) supaya mengepalai demonstrasi atau sekurang-kurangnya hadir dalam sebarang demonstrasi.
Mereka mungkin berseloroh tetapi moto Dr Mahathir iaitu Kepimpinan melalui Tauladan. Maka beliau buat dahulu sebelum menyuruh mahasiswa-mahasiswa lain memperjudikan masa hadapan dan harapan keluarga mereka.
Anda baca juga artikel ini : Calon PM Pilihan : Bapa Pembohong Nombor Satu.
No comments:
Post a Comment