Arkib : 15 Disember 2016. Maksud Perkataan “Melayu”
Asal-usul atau maksud perkataan ‘Melayu’ telah banyak dibahas dan dibincangkan oleh para sarjana, ilmuwan dan para pembaca sejarah. Namun semuanya tidak mendapat jawapan yang pasti kepada misteri kewujudan perkataan ‘Melayu’ hatta orang Melayu sendiri kebanyakan masih ‘buta huruf’ dengan isu tersebut. Untuk mengeluarkan diri daripada semua misteri ini, seringkali dikatakan kononnya perkataan ‘Melayu’ berasal dari perkataan Sanskrit, ‘Malaya’ yang bermaksud ‘gunung’ atau ‘bukit-bukau’. Namun ini adalah ganjil apabila bertentangan dengan kehidupan purba orang Melayu sebagai pelaut dan pengembara maritim.
Satu isu lain juga tidak mampu dijawab oleh mereka; bagaimana bunyi di hujung -a pada ‘Malaya’ menjadi -u pada ‘Melayu/Malayu’?
Sebenarnya, perkataan ‘Melayu’ berakar umbi dari linguistik bahasa-bahasa Austronesia yang membawa konsep, ‘bebas‘.
=========================================================================
Jabatan Sejarah
The Historian Secret Society
Artikel ini adalah sebahagian dari kempen ATBM V “The Secret Key to Mount Ophir”
AKSES KEPADA ATBM & ARTIKEL PENUH>> http://goo.gl/1QBIQK
=========================================================================
Menurut rekod-rekod asing, antara panggilan orang luar kepada entiti ‘Melayu’ adalah seperti berikut:
China: Mo-lo-yu, Bok-la-yu, Mok-la-yu, Ma-li-yu-er
Khmer: Malayu
Claudius Ptolemy: Maleou (dalam frasa Maleo u-kolon-Geōgraphikḕ Hyphḗgēsis)
Jawa: Malayu (Prasasti Padang Roco, Nagarakratagama)
Perhatikan petunjuk ini: Mereka memanggil dengan perkataan yang bervariasi (mengikut lidah masing-masing) NAMUN di hujungnya tetap mengekalkan -suffix ‘u’. Ini adalah rahsia besar dan sempadan untuk membezakan perkataan ‘Melayu/Malayu’ dengan perkataan-perkataan lain.
Sebenarnya, di sepanjang sejarah, tiada dalam mana-mana rekod orang India purba atau sekalipun orang Arab, Parsi, Sri Lanka atau sekitarnya yang memanggil atau meletakkan perkataan ‘Malaya’ di dalam peta atau rekod-rekod mereka, merujuk kepada orang Melayu dan tempatnya. Perkataan Malayadvipa, Malaya dan seumpamanya yang muncul di dalam kitab-kitab atau kesusasteraan Sanskrit bukanlah bukti konkrit merujuk kepada orang Melayu dan kediamannya. Ini kerana tiada bukti jelas atau secara langsung bahawa ia merujuk begitu. Kunci kepada masalah ini terletak pada -suffix ‘u’ di akhir perkataan.
‘Malaya’ BUKANLAH merujuk kepada ‘Melayu/Malayu’ secara literal.
Ada pengkaji amatur yang mendakwa perkataan Melayu/Malayu adalah loghat penduduk di selatan semenanjung manakala di utara masih mengekalkan keasliannya sebagai ‘Malaya’. Ini adalah merepek kerana tiada rekod dari sebelah negeri-negeri utara semenanjung atau di Segenting Kra yang memakai nama ‘Malaya’. Tambahan pula, jika ingin mengikutkan slang atau loghat penduduk di selatan semenanjung, harus ia akan menjadi ‘Melaye’. Hikayat Merong Mahawangsa sekalipun menyebutkan nama ‘Melayu’ di dalam teksnya dan jika kita memerhatikan orang-orang Thai dan Khmer apabila menuliskan tentang orang Melayu, mereka akan menulisnya sebagai ‘Malayu’ sekalipun dalam frasa ‘Jva Malayu’ atau ‘Khaek Malayu’ bukan ‘Malaya’ walaupun kedua-duanya masih pekat berbudaya Hindu-Buddha.
Ini dikuatkan lagi dengan tiada mana-mana suku-suku Austronesia yang memanggil orang-orang Melayu sebagai ‘Malaya’. Semua suku-suku Nusantara/Austronesia mengenal orang-orang Melayu sebagai ‘Melayu’ dengan -suffix ‘u’ di akhirnya.
Untuk mengkaji asal-usul perkataan ‘Melayu’, kita mesti memiliki pengetahuan secukupnya dalam linguistik, fonologi, sosio-budaya, antropologi dan kronologi sejarah. Secara ringkas, perkataan ‘Melayu’ berasal dari perkataan induk layaw, layao, layar, layah atau layag. Semua ini berasal dari rumpun bahasa Malayo-Polinesia.
Untuk mengetahui asal-usul perkataan ‘Melayu’ sudah semestinya wajib mengkajinya dari bahasa-bahasa Malayo-Polinesia dan kelompok besar Austronesia.
Variasi Induk Perkataan Melayu
‘Terbang’ (to fly)
Perkataan layaw muncul dalam kelompok bahasa Filipina Tengah yang bermaksud ‘terbang’. Ia juga muncul dalam kelompok bahasa Sunda-Sulawesi atau keluarga bahasa Nuclear Malayo-Polynesia seperti bahasa Chamorro yang mana berubah menjadi ‘layao’.
Perubahan layaw/layau kepada layao dan akhirnya layo ini adalah fonologi biasa dalam sesetengah dialek suku-suku Malayo-Polinesia. Sebagai contoh perkataan risau dalam standard Bahasa Melayu moden akan menjadi riso dalam dialek masyarakat Perak Tengah.
Layang, layap atau layak dan layog adalah istilah yang juga digunakan oleh kelompok bahasa Malayo-Polinesia untuk menggambarkan ‘terbang’. Perkataan layang misalnya memang membawa maksud terbang seperti ‘burung yang melayang-layang’ atau layang-layang, dalam Bahasa Melayu biasa hari ini.
Menariknya, dalam Bahasa Tagalog, layaw-layaw adalah situasi atau aksi yang bergerak-gerak di angkasa seperti pergerakan burung dan layang-layang.
Ini menunjukkan perkataan ‘layang’ dan ‘layaw/layau/layao’ memiliki maksud yang sama iaitu ‘terbang’.
Perhatikan senarai di bawah ini:
Manobo, Dibabawon | ‘layang | |||||
Manobo, Ata (up-river) | layang | |||||
Manobo, Ata (down-river) | layang | |||||
Manobo, Tigwa, Iglogsad Dialect | layang | |||||
Western Bukidnon Manobo | layaŋ | |||||
Manobo, Ilianen (Kibudtungan Dialect) | layap | |||||
Manobo, Western Bukidnon | layang | |||||
Binukid | layang | |||||
Kagayanen | layóg | |||||
Manobo, Kalamansig Cotabato (Paril Dialect) | layaw | |||||
Manobo, Sarangani, Kayaponga Dialect | layang | |||||
Banggi | lampad | |||||
Palawan Batak | layug | |||||
Palawan Batak | mag-layóg | |||||
Batak, Palawan | layug | |||||
Tagbanwa, Aborlan Dialect | layug | |||||
S.W. Palawano | lepad | |||||
S.W. Palawano | lumpad | |||||
Hanunóo | l-um-áyaŋ | |||||
Subanon, Siocon | lumayug | |||||
Subanun, Sindangan | lumayug | |||||
Tagbanwa, Kalamian, Coron Island Dialect | layug |
sumber: Austronesian Basic Vocabulary Database
Dari perkataan layaw atau layap dan layang, yang makna asalnya ‘terbang’ (to fly), ia berkembang menjadi beberapa makna seperti melepaskan diri, melarikan diri (to flee), tidak dikawal ,bermewahan atau hidup selesa dan akhir sekali bebas (free) dan kebebasan (freedom).
Dari perkataan layaw juga dikembangkan menjadi maksud ‘berjalan secara bebas/tidak mengikut arah’ seperti dalam kelompok bahasa Sunda-Sulawesi dan cognate-nya menjadi perkataan merayau dan merayap.
‘Berlayar’ (to sail)
Selain terma ‘terbang’ yang memberikan perkataan-perkataan seperti layang, layaw, layog dan layap, istilah layar atau berlayar juga memiliki sejumlah perkataan yang mirip-mirip sama atau cognate seperti:
Casiguran Dumagat | layág | |
Tagalog | láyag | |
Bikol | láyag | |
para-láyag | ||
Hiligaynon | láyag | |
Aklanon | eayág | |
Masbatenyo | láyag | |
Waray-Waray | láyag | |
Cebuano | láyag | |
Maranao | layag | |
Manobo (Western Bukidnon) | layag | |
Mansaka | layag |
Bintulu | lazəh | |
Melanau (Mukah) | layah | |
Malagasy | lay | |
Iban | layar | |
Malay | layar | |
Acehnese | layeuë | |
meu-layeuë | ||
Simalur | laeal | |
ma-laeal | ||
Toba Batak | rear | |
Nias | loyo | |
mo-loyo | ||
Rejang | layea | |
be-layea | ||
Sundanese | layar | |
pa-layar-an | ||
Balinese | layah | |
Sasak | layar | |
be-layar |
Sumber: Austronesian Comparative Dictionary
Jika kita perhatikan, bahasa Aceh dan Nias memiliki cognate fonologi yang memiliki bentuk hampir sempurna kepada istilah ‘Melayu’ yakni sebutan fonologi Melayu Purba kepada konsep layaw tadi. Di sini kita dapat lihat, terma ‘terbang’ dan ‘berlayar’ memiliki satu pengertian tertentu dalam Weltanschauung atau pandangan hidup suku-suku Malayo-Polinesia. Ia melambangkan satu maksud yang satu; pergi ke luar atau bergerak ke luar untuk mencapai tujuan tertentu.
‘Bebas’ (Free)
Kita telah melihat bahawa perkataan-perkataan dalam pelbagai bahasa suku-suku Malayo-Polinesia khasnya sekitar Malayo-Polinesia Induk (Nuclear Malayo-Polynesian) dan Kelompok Bahasa Filipina yang membawa maksud ‘terbang/melayang’ dan ‘berlayar’ memiliki perkaitan atau hubungan antara satu sama lain. Jika kita melihat kepada maksud secara literal, kedua-duanya adalah perbuatan yang berbeza secara fizikal; terbang dan melayang adalah pergerakan di angkasa manakala berlayar adalah pergerakan di lautan. Namun persoalannya, mengapa mereka yakni suku-suku Malayo-Polinesia ini secara majoritinya memilih perkataan-perkataan yang mirip-mirip atau hampir sama antara satu sama lain dalam mengungkapkan kedua-dua pergerakan?
Dalam Bahasa Tagalog, perkataan ‘laya’ dan ‘layaw’ memiliki perkaitan maksud di antara satu sama lain. Laya bermaksud bebas. Maksud dari laya juga boleh berkembang kepada maksud-maksud berkaitan seperti anak-anak yang tidak dikawal perbuatannya atau dimanja-manjakan. Layaw juga digunakan untuk menyatakan situasi begini. Perkataan ‘laya’ harus cognate kepada perkataan layar, layah atau layag di mana secara fonologinya, bunyi -r di hujung perkataan tidak disebut untuk memudahkan sebutan. Ini terjadi jika kita mengkaji bentuk-bentuk perubahan linguistik Proto Malayo-Polinesia ke bahasa-bahasa cabang yang mana perkataan-perkataan terkemudian biasanya akan memudahkan sebutan, secara teknikalnya konsonan di akhir perkataan-perkataan itu tadi akan hilang. Contohnya niur (nyiur/kelapa) akan menjadi niu dalam bahasa-bahasa Polinesia dan buah nyo dalam dialek Perak Tengah, yang mana konsonan -r telah hilang.
Malaya pula bermaksud bebas manakala kalayaan bermaksud kebebasan.
Dari sini kita boleh melihat mengapa kedua-dua pergerakan di angkasa dan di lautan itu memiliki konotasi yang mirip di antara satu sama lain dan mengembangkannya dalam beberapa bahasa kepada maksud-maksud seperti merayau-rayau, melepaskan diri atau lepas bebas.
Ia membawa satu erti- KEBEBASAN.
Bagaimana -suffix ‘u’ Boleh Muncul Dalam Perkataan ‘Melayu/Malayu’?
Ini adalah sebab mengapa semua hipotesis yang menyatakan bahawa perkataan ‘Melayu’ itu berasal dari perkataan ‘Malaya’ yang berasal dari Bahasa Sanskrit yang bererti ‘gunung’ adalah salah sama sekali. Ia tidak ada kena mengena dengan kehidupan Orang Melayu pada zaman purba dan bercanggah dengan perspektif hidup Orang Melayu yang terkenal sebagai seafarersatau pelaut dan pengembara maritim yang terkemuka. Jika ‘Malaya’ di dalam kitab-kitab kesusasteraan Sanskrit merujuk kepada homeland orang-orang Melayu, adalah lebih sesuai penulis kitab-kitab itu tadi merujukkan ‘Malaya’ ini kepada Banjaran Himalaya atau Banjaran Karakoram yang berdekatan dengan Benua Kecil India. Kedua-duanya memiliki gunung-gunung yang paling tertinggi di dunia seperti K2 dan Everest.
Faktanya, tiada rekod-rekod dari para pengembara, pedagang atau sesiapa sahaja dari India yang merujuk bahawa semenanjung, Sumatera atau mana-mana sahaja di Asia Tenggara sebagai ‘Malaya’. Yang ada cuma hipotesis para sarjana terkemudian yang mati akal untuk mencari dari mana datangnya dan maksud perkataan ‘Melayu’.
Masalah ini hanya boleh ditemui penyelesaiannya dalam bahasa-bahasa yang serumpun dengan Bahasa Melayu yakni induk Malayo-Polinesia dari keluarga besar Austronesia secara linguistiknya.
Perubahan -suffix ‘ao’ dan ‘aw’ kepada ‘o’ atau kepada ‘u’ adalah lumrah dalam beberapa bahasa dan dialek suku-suku Malayo-Polinesia. Perhatikan beberapa contoh di bawah:
(hoarse)
Ilocano= paraw
Acehnese= paro
Malay= parau
(I, me)
Bintulu= akəw
Tagalog= ako
Malay= aku
(buffalo)
Proto-Chamic= kabaw
Tagalog= carabao
Malay= kerbau
Kinta Perakian= korbu
(small ship)
Ilocano= paraw
Toba Batak= parau
Sundanese= parahu
Malay= perahu
Berdasarkan contoh ini, perkataan malayaw (to fly, to sail, free) adalah serumpun dengan malayu/melayu
(to fly, to sail, free)
Philippine languages= malayaw
Nias= moloyo
Acehnese= meu-layeuë
Old Javanese= malayu
Malay= melayu
(perlu diingatkan susunan ini bukanlah bermakna ‘melayu’ berasal dari perkataan-perkataan di atasnya, ini hanya untuk menunjukkan kemiripan mengikut dialek masing-masing)
Perhatikan bentuk yang sering muncul dalam fonologi Bahasa Melayu. Bila kita bandingkan dengan bahasa-bahasa lain, perhatikan bagaimana -suffix ‘u’ mengambil tempat dalam istilah Bahasa Melayu. Ciri-ciri ini juga biasa dikesan dalam keluarga bahasa Malayo-Polinesia Barat yang lain, seperti bahasa Aceh, Jawa dan Sunda.
KESIMPULAN
Untuk mengkaji bahasa, budaya dan apa jua yang berkaitan dengan asal-usul Orang Melayu mestilah dirujuk terlebih dahulu kepada induknya yakni rumpun Malayo-Polinesia dan kelompok bahasa Austronesia. Dalam ertikata lain, mestilah diperhatikan perkaitan dan hubungannya dengan suku-suku Nusantara lain, bagaimana budayanya, bahasanya, sejarahnya dan lain-lain.
Adalah kesilapan besar sama sekali, apabila mengkaji tentang asal-usul sesuatu, terus dikaitkan dengan entiti yang di luar rumpun bahasa atau budayanya. Jika tiada bukti dari mana-mana bahasa atau budaya serumpunnya, barulah boleh diperhatikan sumber-sumber luar dan jika ada, barulah boleh didakwa ia pinjaman atau saduran dari luar.
Perkataan Melayu sebagai contoh adalah berasal dari Bahasa Melayu sendiri dalam bentuk proto yang mengalami perubahan dialek, dalam kes ini dialek Melayu itu sendiri dan bukan dari mana-mana bahasa luar.
Kehilangan maksud Melayu dalam memori orang-orang Melayu pada hari ini bukanlah eksklusif, sementelah banyak perbendaharaan kata dalam bahasa mereka telah hilang atau tidak dipakai setelah menyadur atau digantikan dengan banyak perkataan dari Sanskrit, Arab dan bahasa-bahasa Eropah ketika era emas perdagangan maritim yang lalu. Bertuahnya, banyak di antara perbendaharaan kata ini masih terakam dalam kosakata bahasa-bahasa serumpun yang lain.
Tidak ada bangsa yang menamakan bangsanya dengan makna yang tidak baik. Ironinya, nenek moyang memilih perkataan ‘Melayu’ sebagai orang yang melayar, melayang dan bebas, tanpa dikongkong sesiapa.
Mungkin perkataan yang paling dekat dan masih dipakai dalam Bahasa Melayu Moden ialah layang, sementara Bahasa Tagalog menggunakan perkataan laya dan layaw dengan maksud lebih jujur yakni bebas dan kebebasan. Sejujur mengatakan bahawa jika kata Malaya ingin dipaksakan juga bermati-matian kepada ‘Melayu’, bukanlah Malaya yang bermaksud ‘gunung’ tetapi Malaya yang sebenarnya yakni yang bermaksud ‘bebas’.
~Srikandi
“luhur sejarahku abadi”
p/s: versi penuh artikel ini akan diterbitkan dalam buku terbaru saya yang akan keluar kelak dengan izinNya.
Pautan artikel-artikel lain yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment