KUALA LUMPUR: Seorang pegawai tadbir diplomatik (PTD) di Kedutaan Malaysia di Filipina, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur menghina kematian bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, digantung tugas dan diarah pulang.
Sumber berkata, pegawai itu digantung tugas serta-merta dan diarah pulang untuk siasatan lanjut susulan kenyataan dikeluarkan dalam laman Facebook 'Wa Sengat Lu' malam kelmarin.
Katanya, pegawai berkenaan dijadual pulang ke tanah air pada Isnin ini.
"Tindakan tatatertib belum boleh diambil terhadap pegawai itu sehingga siasatan dan punca dia berbuat demikian dikenal pasti.
"Ada dua faktor perlu dikenal pasti iaitu sama ada pegawai berkenaan yang mengeluarkan kenyataan itu atau kemungkinan Facebook milik beliau digodam pihak tidak bertanggungjawab," katanya kepada BH, sebentar tadi.
Sumber berkata, pegawai berkenaan bukan bertugas bersama Kementerian Luar, sebaliknya PTD kementerian lain yang mengikuti kursus dan ditempatkan di Filipina sejak November 2015.
"Isteri dan anak kepada pegawai berkenaan dijangka pulang ke tanah air Ahad ini, sehari sebelum pegawai terbabit," katanya.
Kementerian Luar dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung kes berkenaan selepas siasatan dilakukan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, mengesahkan tindakan sudah diambil ke atas pegawai terbabit.
"Tindakan telah diambil. Pegawai diarah balik segera ke KL untuk tindakan tatatertib," katanya dalam entri menerusi akaun Twitter miliknya @DrAliHamsa.
- bharian.com.my
http://celahgelegar.blogspot.my/2017/01/digantung-tugas-pgw-ptd-perli-najib.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+celahgelegarblogspotcom+(CELAH+GELEGAR)
No comments:
Post a Comment