Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Tuesday, 17 January 2017

SELEPAS PEGAWAI PTD, PENGARAH KESIHATAN NEGERI PULA KUTUK PM DI FACEBOOK?

​SELEPAS kes seorang pegawai kerajaan dalam skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dikesan menghina pemimpin, kini pengarah kesihatan pula dipercayai cuba berbuat demikian.
Sekurang-kurangnya terdapat dua status Facebook atas nama Zainal Omar telah memuatnaik status yang agak menjengkelkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor.
Status tersebut dikesan dimuatnaik pada 1 Januari 2017 jam 2.37 petang, dan 11 Januari 2017 jam 7.11 pagi sambil merujuk kepada ucapan terakhir ‘First Lady’ Amerika Syarikat, Michelle Obama.
Jika sebelum ini pada kes PTD yang menghina Perdana Menteri berkenaan, sebuah laman Facebook pro kerajaan bertindak membongkarkan tindakan jelek Nazrul Imran Mohd Nor itu kepada umum, begitulah juga didedahkan bahawa akaun Facebook Zainal Omar ini dipercayai dimiliki Pengarah Kesihatan Negeri Pahang.
Dato’ Dr Zainal Arifin Omar merupakan bekas pentadbir utama di Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan pernah menerima Tokoh Kesihatan Awam tahun 2016. Beliau dilaporkan telah bersara pada Disember 2016 ini dengan digantikan oleh Dr Sha’ari Ngadiman.
Bagaimanapun, dalam status facebook yang dipercayai miliknya itu, Zainal telah cuba menyindir Najib kerana bertindak menaikkan harga minyak di awal tahun baharu 2017.
Katanya dengan sinis, – “Jgn risau DS, kami akan terus mengundi kerajaan DS pada PRU akan datang supaya DS., keluarga, sahabat2 termasuk rakan2 dari Malaysia spt J Lho dan teman2 dari Negara China dan rakan2 spt Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh dari Indonesia dapat terus menikmati rezeki dari Malaysia. Bagi kami cukuplah dgn BR1M dan GST dan lain2 subsidi yg melimpahruah.”.
 
Status di facebook itu dipercayai dimuatnaik sejurus sahaja beliau melepaskan jawatan selaku penjawat awam kerana bersara wajib.
Malah, bagi status menjelekkan kedua pula dilakukan 11 hari selepas itu oleh akaun facebook yang sama.
Dengan mengongsikan video ucapan terakhir Michelle, Zainal turut menyenaraikan empat nasihat buat anak muda yang pada tulisannya itu seakan-akan merujuk kepada kepimpinan Najib serta isterinya, Rosmah.
Ujarnya, empat nasihat buat anak muda itu adalah – “Menyimpan wang dari sejak lahir hingga boleh berbelanja berjuta-juta di hari tua, berjimat-jimat sampai boleh keliling dunia dengan jet dan kapal mewah percuma, buat koleksi batu permata, buat program tadika dengan bajet berjuta-juta dan didik-didik anak-anak sampai menjadi “film producer” dengan dana berjuta sumber dari derma.”.
 
Kesemuanya itu dipercayai merujuk kepada Najib, Rosmah, isu jet rasmi kerajaan, isu cincin isteri Perdana Menteri dan isu pembikinan filem oleh anak tiri Perdana Menteri (Riza Aziz).
Ini merupakan suatu tindakan yang amat menjengkelkan dan tidak sewajarnya dilakukan oleh mereka yang bergelar penjawat awam, mahupun baru 11 hari bergelar pesara kerajaan.
Ia bukan sahaja seolah-olah cuba ‘menikam belakang’ perkhidmatan lama sebagai seorang penjawat awam, malah kenyataan Zainal di laman Facebook ini adalah bercanggah dengan apa yang pernah disuarakan oleh beliau dahulu semasa diberikan oleh kerajaan jawatan dan pangkat selaku pengarah kesihatan negeri.
“Di dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi, agensi kerajaan perlu menyediakan suatu pendekatan sistem penyampaian yang setaraf dengan tahap pendidikan dan profesionalisme masyarakat yang semakin meningkat,” katanya dalam laman portal Jabatan Kesihatan Pahang semasa beliau memimpin jabatan tersebut.
Bagaimana mampu sesebuah jabatan kerajaan hendak memberi penyampaian berkesan mengikut tahap pendidikan dan profesionalisme rakyat sekiranya pengarahnya (dahulu) juga hanya menyebar cerita yang jelek di laman facebook?
Jika pengarah (dahulu) pun boleh terpedaya dengan maklumat-maklumat tidak tepat dan menafsirnya dengan cara propaganda pihak pembangkang, maka tidak mustahillah sesebuah jabatan yang dipimpinnya itu tidak mampu melangkah maju ke hadapan.
Adalah wajar tindakan diambil kepada mereka yang dengan niat sengaja menggunakan kedudukan yang ada seperti sebagai seorang penjawat awam ataupun pesara kerajaan untuk menyebarkan dakyah pembangkang yang tidak tepat.
Selaku pegawai kerajaan atau bekas, sudah tentu mereka ketahui akan cara kerja dan selok belok urusan pentadbiran kerajaan yang berlandaskan kualiti, integriti, bersih dan beramanah. Namun, kenapa pula mereka sanggup memperbodohkan diri dengan menafikan semuanya itu demi untuk mempercayai propaganda pihak pembangkang?
Bertabayyunlah, sebagai tanda anda bersyukur atas rezeki yang diterima daripada perkhidmatan kerajaan selama hampir berabad dalam hidup anda. –Tv14

http://www.tv14.my/2017/01/17/selepas-pegawai-ptd-pengarah-kesihatan-negeri-pula-kutuk-pm-di-facebook/

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...