Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Monday, 20 February 2017

BAGAIMANA DAP BOLEH BERKUASA DI NEGARA KITA

Oleh: AZMAN HUSSIN
DAP (Democratic Action Party) sebuah parti politik berbilang kaum, tetapi dikuasai (dipimpin) oleh orang-orang Cina Kristian, adalah contoh sebuah parti yang pragmatik dalam mencapai matlamat politik mereka.
Ketika Pakatan Rakyat wujud, di dalamnya termasuk PKR dan PAS, anda tentu tersentak apabila DAP berkeras dalam isu hudud (misalnya) yang ditimbulkan oleh PAS. Anda yang menyokong Pakatan Rakyat ketika itu, paling tidak pun, terpaksa memilih menghentam MCA, yang juga menentang hudud, untuk mengambus isu penolakan hudud oleh DAP ini.
PAS pun terpaksa bersetuju untuk tidak bersetuju dalam hal ini. Maka mereka menangguhkan perkara ini dan menumpukan kepada usaha-usaha menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.
Ini sebenarnya adalah kemenangan moral DAP jika anda mahu berfikir.
Mengapa DAP sebegitu berani?
Jika anda orang yang cetek fikirannya, anda tentu berfikir DAP bertindak bodoh dan tidak pandai berpolitik dalam isu hukum hudud ini, kerana ia jelas akan mengurangkan sokongan orang-orang Melayu kepada mereka. Ya, tindakan DAP ini memang akan mengurangkan jumlah undi orang-orang Melayu kepada parti mereka.
Tetapi perkiraan politik mereka tidak sedangkal apa yang anda fikir.
Prinsip mereka jelas. Mereka rasional dan praktikal dalam mengatur strategi politik mereka.
Mereka berpijak di bumi nyata. Mereka tidak tamakkan undi, tetapi mereka mahu menyatukan undi orang-orang Cina, India, kaum lain dan sebahagian orang Melayu yang sudah menjalani kehidupan sekular dan berfikiran liberal.
Seumpama anda melawan orang yang berada di atas, anda tidak akan rugi apa-apa, anda tidak akan terjatuh ke bawah kerana memang anda sudah berada di bawah. Jika anda bernasib baik, anda akan dapat naik ke atas. Begitulah kedudukan DAP di negara ini dalam memperjuangkan hak-hak mereka. Maka mereka akan terus cuba berlawan kerana mereka tahu mereka tidak akan kalah selagi orang-orang Cina dan bukan Islam bersatu di bawah naungan mereka.
Sekiranya mereka berlembut dengan PAS dalam isu dasar ini, mereka akan kehilangan sokongan orang-orang Cina, walaupun mereka mungkin berjaya mendapatkan sedikit undi orang-orang Melayu. Tetapi, ini akan menyebabkan undi orang-orang Cina akan terbelah dua.
Sebaliknya apabila DAP bertegas, keyakinan orang-orang Cina dan bukan Islam lain kepada mereka semakin mengukuh. Dan semakin keras mereka kepada orang-orang Melayu, semakin mereka mendapat sokongan orang-orang bukan Islam. Menyatukan undi ini adalah perkara utama mereka sebelum mencatur perkara yang lain.
Inilah yang dahulunya tidak disedari oleh PAS apabila mereka berlembut dengan DAP dalam isu-isu sensitif agama. Mereka mengejar undi orang-orang bukan Islam, mahu mengambil hati orang-orang bukan Islam, tetapi mereka sendiri menghadapi risiko kehilangan undi orang-orang Islam. Bak kata pepatah Melayu, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.
Dalam PRU13, PAS boleh mendakwa mereka berjaya menewaskan UMNO di kawasan yang terdapat ramai pengundi orang Cina, misalnya di Selangor. Kononnya ini, dalam imaginasi mereka, adalah kerana PAS berjaya memenangi hati pengundi Cina. Berkumandanglah retorik bahawa pengundi Cina mulai menyokong PAS. PAS dikaburi dengan persepsi bahawa orang-orang Cina dan bukan Islam lain mulai menerima perjuangan mereka.
Hakikat di sebaliknya, mereka pasti tidak akan menyokong PAS jika PAS yang mengetuai atau menguasai pembangkang.
Secara seimbas lalu keadaan ini nampak benar. Hakikat sebenarnya orang-orang Cina memang sengaja memenangkan calon-calon PAS untuk menguatkan Pakatan Rakyat yang dikuasai oleh DAP. Dan ini bukanlah kerana mereka benar-benar menyokong PAS. Mereka memenangkan PAS untuk membolehkan Pakatan Rakyat menerajui Selangor. Begitu jugalah dalam konteks negara, PAS akan disokong untuk membolehkan Pakatan Rakyat menumbangkan Barisan Nasional.
Bahkan, dari segi dasar, permusuhan sebenar adalah antara DAP dengan PAS. Tetapi kerana kebijaksanaan dan sifat pragmatik DAP, mereka boleh mengeksploitasi PAS untuk menguatkan parti mereka. Apa yang penting bagi mereka, tumbangkan kerajaan Barisan Nasional terlebih dahulu. Apabila anda dapat menumbangkan lembu tentu adalah lebih mudah menumbangkang kambing. Maksudnya, apabila kerajaan Barisan Nasional yang kuat berjaya ditumbangkan, adalah perkara mudah untuk menghadapi PAS yang lebih kecil.
Tetapi, PAS lupa perkara ini, iaitu mereka hanya dieksploitasi.
Ya, DAP ingin mencapai matlamat mereka, tetapi mereka tidak akan mengorbankan prinsip mereka.
Ini tidak sama seperti parti-parti lain, seperti PAS contohnya. Hanya kerana mereka mahukan kemenangan (matlamat), mereka sanggup berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan prinsip agama (kalimah Allah misalnya).
Jika kita berfikir, kemenangan dengan mengorbankan prinsip-prinsip asas parti, ia bukanlah kemenangan sebenar. Ia adalah kemenangan seperti dalam kisah Pak Kaduk berlaga ayam dengan raja. Kita berjuang, tetapi orang lain yang menikmati hasilnya.
DAP bukanlah parti yang sebegini. Mereka mempunyai prinsip yang tidak mengenal kompromi. Mereka boleh mengubah cara, tetapi tidak prinsipnya.
Sebagai sebuah parti yang dilihat sebagai parti orang Cina di mata orang Melayu, ia tidak akan kekal begitu. Mereka telah cuba mengubah persepsi umum ini. Misalnya dengan meletakkan calon-calon Melayu dalam PRU dan PRK. Dayana Sofya sebagai contoh di PRK Teluk Intan.
Mungkin mereka gagal kali pertama, tetapi seperti kata pepatah China, perjalanan beribu batu dimulai dengan satu langkah pertama.
Dap bukan sahaja bermatlamat mahu menggantikan MCA sebagai parti orang-orang Cina, tetapi DAP sendiri mahu menjadi Barisan Nasional kerana mereka, pada dasarnya, bukanlah parti yang berciri kebangsaan seperti UMNO (Melayu-Islam) atau PAS (Islam). ini tidak mustahil berlaku apabila ramai orang Melayu sendiri yang sudah berfikiran sekular dan liberal.
DAP juga bijak sekiranya orang-orang Melayu mahu berfikir. Mereka berjaya menyembunyikan realiti bahawa Pulau Pinang sudah ditakluki oleh mereka. Orang-orang Melayu mungkin tahu Pulau Pinang sudah jatuh ke tangan mereka, tetapi fahamkah mereka keadaan ini?
Anda mungkin akan mempersoalkan kemungkinan DAP menguasai negara ini adalah tidak berasas kerana mereka tidaklah bertanding banyak kerusi parlimen. Jika sekalipun mereka menang semua kerusi itu, mereka bukanlah pihak majoriti.
Mari saya tunjukkan kepada anda. Apabila DAP berjaya menyatukan undi orang-orang Cina dan bukan Islam bagi memperjuangkan tuntutan mereka, sementara orang-orang Melayu pula berpecah-belah, mahu tidak mahu kelompok Melayu di sebelah kerajaan ataupun pembangkang terpaksa tunduk kepada DAP kerana kedua-dua pihak ini tidak dapat berkuasa tanpa penyertaan DAP.
Pada masa hadapan, apabila parti mereka disokong kuat majoriti bukan Islam, mereka akan lebih berkuasa di negara ini, sama ada sebagai pembangkang ataupun kerajaan. Keadaan akan lebih menyebelahi mereka lagi jika orang-orang Melayu terus berpecah-belah.
Tidak mustahil suatu masa nanti mereka akan bergabung dengan kerajaan Barisan Nasional. Apa yang anda akan katakan ketika itu?
Ketika itu peranan mereka bukanlah seperti MCA atau MIC ketika ini dalam UMNO. Mereka akan lebih berkuasa dan akan mencatur negara ini.
Semua ini tidak mustahil kerana ada yang lebih pelik lagi telah berlaku sebelum ini, bagaimana sebuah parti sekular (DAP) boleh berpakat dengan sebuah parti yang berasaskan agama (PAS).
Apa yang perlu dilakukan oleh DAP hari ini adalah terus melemparkan dakwaan-dakwaan negatif ke atas kerajaan agar kebencian rakyat terus hidup, sementara dalam keadaan tidak stabil itu, mereka terus mencatur politik negara. Sentimen kebencian kepada pemerintah ini akan diteruskan sehingga PRU akan datang dengan pertolongan orang-orang Melayu sendiri yang tertipu, gilakan kuasa ataupun sudah dibeli jiwanya dengan wang.
Ihsan : MySuara
http://www.tv14.my/2017/02/07/bagaimana-dap-boleh-berkuasa-di-negara-kita/

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...