KUALA LUMPUR: Berikutan pembunuhan ala perang dingin Kim Jong Nam menggunakan agen saraf VX, Malaysia sekali lagi menjadi perhatian dunia dengan drama, spekulasi dan teori aneh.
Tiga tahun lalu, ia pernah menjadi tumpuan dunia selepas kehilangan pesawat MH370, kes misteri paling lama bertahan dalam industri penerbangan.
Sekarang timbul pula kes pembunuhan Jong Nam yang menyerupai sebuah drama sensasi yang menampilkan jalan cerita yang kompleks dan memberi kesan mendalam kepada rakyatnya.
Februari lalu, abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un terbunuh dipercayai akibat diserang agen saraf VX yang sebenarnya digunakan dalam perang kimia.
Beliau diserang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2), dan Pyongyang dikatakan bertanggungjawab terhadap kes ini.
Tetapi selepas 4 daripada suspek utama melarikan diri ke Korea Utara dan mendapat perlindungan di sebalik kekebalan diplomatik negara itu, polis Malaysia bakal menghadapi masalah menutup kes itu seperti mana yang berlaku ketika insiden MH370.
Rakyat Malaysia semakin letih dengan tumpuan media terhadap negara mereka dan bimbang reputasinya tercalar lagi.
“Dulu jarang kita dengar Malaysia terlibat dengan isu antarabangsa atau diplomatik tapi sekarang ia perkara biasa dan tidak dapat dikawal,” kata pemandu teksi, S. Jaganathan, 68.
“Terlalu banyak berita sensasi di Malaysia jadi saya tidak terkejut mendengar berita pembunuhan ini, ia sering berlaku dan ia seperti isu biasa.”
Dua wanita didakwa dalam siri pembunuhan Jong Nam tetapi dalang di sebalik pembunuhan itu masih belum terjawab.
Ada yang mengatakan Jong Un tidak terlibat dalam pembunuhan itu tetapi dilakukan pihak tertentu dalam kerajaan Korea Utara untuk menggembirakan pemimpin diktator itu sempena ulang tahun kelahiran bapanya, Kim Jong Il yang meninggal dunia pada 2011.
Terdapat juga spekulasi yang mengaitkan Jong Nam terlibat dengan masalah hutang judi di Macau, China.
Amir Zaini, 27, berkata beliau tidak percaya Malaysia sekali lagi terlibat dengan cerita yang pelik.
“Tidak masuk akal apabila semua cerita yang pelik-pelik berlaku di Malaysia,”katanya.
Malaysia mula menjadi perhatian dunia dengan cerita misteri apabila penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada Mac 2014.
Tidak diketahui status penerbangan yang hilang itu sehingga menimbulkan pelbagai teori spekulasi, antaranya rampasan Taliban, kejadian meteor atau lencongan oleh CIA.
Malaysia mengalami perkembangan yang pesat sejak merdeka dengan menjadi ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara.
Pemandangan ibu kota Kuala Lumpur yang menggabungkan seni bina moden yang menarik, infrastruktur lengkap, bangunan kolonial yang dipulihkan, taman negara dan pantai yang bersih menjadi daya tarikan pelancongan yang popular.
Walaupun kemiskinan luar bandar yang sudah berakar umbi, namun rakyat Malaysia masih mempertahankan imej Malaysia sebagai sebuah negara berjaya, walaupun imej itu sedikit demi sedikit terhakis.
Pakar perisian, Nazmi Najib, 31, berkata berita pembunuhan Jong Nam itu seperti mengulangi kisah lama.
“Ini mungkin memberi kesan kepada imej negara dan orang luar menganggap Malaysia bukan lagi sebuah negara yang selamat.
“Diharapkan kes ini dapat diselesaikan tidak lama lagi kerana terdapat banyak spekulasi negatif diperkatakan,” katanya.
Kebimbangan nilai ringgit juga menjadi isu apabila berlaku kejatuhan harga minyak dan pergolakan politik yang berpunca daripada skandal dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Walaupun Malaysia mengalami 2 kisah misteri tapi ada perbezaan ketara bagaimana Malaysia mengatasinya.
Dalam isu kehilangan MH370 pada 2014, Malaysia dikritik seluruh dunia, sebaliknya pihak berkuasa tempatan mendapat pujian atas siasat kes pembunuhan Jong Nam, dan ia jarang berlaku.
Pegawai kanan dan ahli politik bertindak pantas mendedahkan perkembangan terkini kes tersebut, berbeza 3 tahun lalu, apabila pegawai beberapa kementerian sering memberikan maklumat bercanggah dan adakala gagal memberi maklumat lengkap kepada media.
Pegawai tadbir universiti, Hazri Haili, 35, berkata memandangkan “Malaysia masih dalam proses menjadi negara maju … ia masih belajar menangani perkara ini.”
“Saya harap pihak berkuasa dapat belajar daripada insiden MH370,” katanya.
Pemandu teksi, Azhar Hamzah, 47, memberitahu AFP, beliau turut terpegun dengan kecekapan siasatan pihak polis.
“Mereka pantas menahan suspek dan ia mengejutkan,” katanya. - FMT
http://celahgelegar.blogspot.my/2017/03/rakyat-letih-jadi-tumpuan-dunia.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+celahgelegarblogspotcom+(CELAH+GELEGAR)
No comments:
Post a Comment