Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 5 March 2017

Sejarah : Subjek Sejarah 'dibunuh' secara perlahan-lahan



Subjek Sejarah yang dikatakan 'dibunuh' secara perlahan-lahan menjadi punca generasi muda kurang mengetahui sejarah Malaysia sehingga ada yang menganggapnya tidak lagi penting. 

Sejarawan yang juga Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Tan Sri Prof Emeritus Dr Khoo Kay Khim menganggap ia berlaku apabila sistem pengajarannya di sekolah ketika ini tidak lagi menekankan keperluan mempelajari sejarah sehingga ramai yang tidak melihat kepentingannya. 

Kay Khim berkata, contoh jelas termasuklah senario di Jabatan Sejarah UM sendiri yang sebelum ini pernah menampung kemasukan hingga 300 pelajar setiap kali pengambilan baharu dibuat tetapi jumlah itu kini hanya seramai 18 pelajar. 

"Peraturan yang dibuat oleh universiti kadang-kala menyekat minat pelajar untuk memilih bidang itu, manakala di sekolah pula, guru yang mengajar subjek Sejarah tidak datang dari latar belakang pendidikan berkenaan. 

"Mereka juga belajar hanya dari buku teks dan menghafaz untuk lulus periksa,"katanya pada forum When the Three Rivers Meet: A People History of Kuala Lumpur pada Kuala Lumpur Literary Festival (KLLF) 2016 di sini, hari ini. 

Yang turut hadir Pengasas Pusaka, Eddin Khoo. Mengenai sikap masyarakat di negara ini terhadap sejarah, Kay Khim berkata, mereka tidak perlu takut dengan sejarah kerana ia memberitahu tentang kebenaran dan bukan bersifat sentimental. 

"Malaysia bertuah kerana sejarah kita ditulis dalam pelbagai bahasa. Misalnya ketika Perang Dunia Pertama, ekonomi negara dikawal oleh Jerman dan banyak sumber sejarah ditulis dalam bahasa itu sebelum negara ini diperintah Jepun.

"Terdapat juga sumber sejarah Malaysia di Thailand, Lisbon, Portugal; Taipei, Taiwan dan London. Bagaimanapun, apa yang penting kita mempelajari bahasa asing berkenaan dalam usaha untuk mencari sejarah itu," katanya. 

Kay Khim berkata, beliau menyedari beberapa tahun kebelakangan ini pandangan beliau kerap menjadi kontroversi tetapi perkara yang lebih utama adalah pandangan itu datang dari fakta yang diperoleh menerusi penyelidikan yang mengambil masa bertahun-tahun. 

"Oleh itu saya pernah menyebut, negara ini tidak pernah dijajah British sebaliknya untuk memulihara apa yang ada berbanding dengan dasar yang mereka perkenalkan di India. 

"British juga memberi pendidikan Inggeris kepada sebahagian orang Melayu atau Malaya untuk membantu mentadbir negara ini. Ketika Jepun menjajah, mereka menggunakan tenaga kumpulan ini untuk mentadbir pula," katanya. 

- Diterbitkan semula untuk kesedaran, berita asal pada 13 NOVEMBER 2016 @ 6:36 PM


No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...