Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Thursday 20 April 2017

Kecewa layanan kelas kedua, pengasas PPBM umum keluar parti



KUALA LUMPUR: Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarulazman Habibur Rahman hari ini mengumumkan keluar parti selepas kecewa dengan krisis dalaman parti tersebut.

Kamarulazman juga menyelar sikap segolongan pihak di dalam parti itu yang bekerja demi kedudukan, malah berbaik-baik dengan pemimpin tertinggi demi kepentingan peribadi.

"Saya mula kecewa kerana golongan yang benar-benar bekerja dilayan seperti kelas kedua. Di mana letaknya slogan Bersatu Beramanah Bermaruah? Belum pun kita bergerak jauh kita telah mengamalkan sikap pilih kasih dan kronisme yang mendalam.

"Saya mula hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti apabila hari demi hari rakan terdekat pimpinan parti mendapat tempat dan kedudukan.



"Mereka ini tanpa segan silu bergerak ke sana sini dengan mendakwa mereka orang Presiden dan Timbalan Presiden," katanya di sidang media tengah hari tadi.

Lebih kesal, menurut Kamarulazman, pihak yang sentiasa bekerja keras dan berkorban demi parti, terutama ketika awal penubuhannya diketepikan.

Kamarulazman merupakan salah seorang pengasas PPBM dan kemudiannya dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

"Sedikit demi sedikit, elemen negatif mula menyerap masuk dalam PPBM. Ramai ahli mempersoalkan orang yang buat onar dalam Umno lompat masuk PPBM.

"Saya dapati sifat buruk mula dibenarkan masuk melalui pintu utama PPBM.

"Ramai di kalangan mereka yang menghabiskan masa untuk berada bersama pemimpin dan suka memburukkan penggerak yang membuat kerja," dakwanya lagi.

Selari dengan pengumuman keluar parti, Kamarulazman turut meletakkan kesemua jawatan yang disandangnya iaitu Ketua Penaja PPBM Bahagian Teluk Kemang, Setiausaha Kerja PPBM Pusat, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, selain menolak tawaran sebagai Pengerusi Perhubungan PPBM Negeri Sembilan.

Dalam pada itu beliau menegaskan tidak akan menyertai kembali Umno, sebaliknya akan bergerak aktif di dalam Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) yang digerakkannya sebelum ini.

Ujar Kamarulazman, beliau akan bergerak menerusi platform GKCM dengan mengadakan siri penerangan di seluruh negara berkaitan isu-isu semasa.

Beliau ketika ditanya sama ada akan bertanding  pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang menerusi parti bebas, jawabnya, perkara itu belum difikirkan buat masa ini.

Sementara itu satu lagi sidang media akan dilakukan pihaknya bagi mengumumkan ahli-ahli PPBM yang akan keluar parti.

Kamarulazman memaklumkan sehingga malam tadi seramai 821 ahli merancang untuk berbuat demikian, dan kebanyakkannya dari Negeri Sembilan.

http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2017/04/kecewa-layanan-kelas-kedua-pengasas.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...