Ahli UMNO diingatkan supaya tidak luntur semangat untuk terus mempertahankan hak-hak Melayu sepanjang masa kerana apabila terbitnya perasaan sangsi dalam perjuangan parti, maka bermulalah bibit-bibit perpecahan orang Melayu.
Tokoh pembangunan ekonomi negara, Dr. Rais Saniman berkata, UMNO selaku parti memerintah perlu terus menjayakan dasar-dasar kerajaan yang telah diperkenalkan kerana kesemuanya dilihat menerapkan pembelaan ke atas nasib orang Melayu dalam pelbagai segi secara tidak langsung.
Rais yang merupakan antara individu penting dalam mengadun dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) menjelaskan, bukti kejayaan hasil perjuangan UMNO sejak dahulu adalah lahirnya ramai tokoh Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang hasil dasar-dasar serta titik peluh parti keramat itu.
“Namakan sesiapa sekali pun, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, syarikat-syarikat minyak dan gas serta perbankan yang menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada orang Melayu, semuanya terhasil daripada UMNO yang sejak dari dulu tidak henti-henti memperjuangkan ekonomi orang Melayu, meskipun dicaci oleh pelbagai pihak.
“Apabila matinya UMNO, maka matilah orang Melayu. Lihat sahaja contoh di Pulau Pinang, apa yang terjadi kepada nasib Melayu?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau menambah, walaupun kadang-kala wujud perasaan kurang senang terhadap UMNO, orang Melayu tidak sepatutnya beremosi sehingga sanggup memusnahkan parti tunjang orang Melayu itu.
Menurutnya, orang Melayu yang sudah berjaya pula seharusnya kembali kepada parti kerana kejayaan dan kebahagiaan yang dikecapi mereka adalah berpunca daripada perjuangan UMNO yang mempertahankan hak Melayu dalam bidang pendidikan, pekerjaan serta sosial.
“Parti ini perlu disayangi dan dilindungi. Jangan peduli orang mengata UMNO kerana niat sebenar parti ini adalah untuk memperjuangkan nasib Melayu,” ujarnya.
Rais menjelaskan, beliau kini dapat melihat transformasi yang dialami oleh UMNO sendiri apabila ahli-ahlinya kini dianggotai oleh golongan-golongan profesional, seiring kehendak semasa.
“Sejak tamatnya DEB pada 1990, UMNO tidak pernah berdiam diri untuk sekadar menikmati kejayaan-kejayaan yang dicapai, sebaliknya terus memperkenalkan pelbagai dasar baharu yang secara tidak langsung membela nasib orang Melayu,” katanya.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2017/04/melayu-akan-rebah-jika-umno.html
No comments:
Post a Comment