Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Saturday, 8 April 2017

Politik : RUU 355 bukan undang-undang baru atau 'pintu belakang' hudud


Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa pindaan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 bukanlah 'pintu belakang' untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia.


Abdul Hadi berkata, pindaan RUU355 bertujuan untuk memperkasakan sistem Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman sedia tanpa melibatkan mana-mana masyarakat bukan Islam.

"Janganlah dengar pindaan 355 pintu belakang untuk hudud di Malaysia. Hudud sukar untuk dilakukan. Kenapa RUU355 perlu dipinda? Ia adalah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

"Mahkamah Syariah sekarang sangat terbatas. Batas hukuman jauh ketinggalan berbanding mahkamah sivil dan sebagai contoh dalam Akta Hidupan Liar, denda RM150 ribu jika membela burung sedangkan mengajar ajaran sesat atau memurtadkan begitu ramai masyarakat Islam, hanya disabit denda tak lebih RM5 ribu.

"Tergamakkah kita biarkan agama Allah diperendahkan?," katanya ketika membentangkan usul RUU355 pada sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Abdul Hadi turut akur dengan undang-undang Persekutuan di negara ini yang jelas bertentangan dengan sistem hudud, namun RUU355 lebih kepada pindaan Mahkamah Syariah berkaitan batas hukuman sedia ada.

"Tujuan saya, bukan untuk wujudkan undang-undang baru tetapi lebih bertujuan untuk pinda undang-undang Mahkamah Syariah berkaitan batas hukuman sedia ada.

"Sesungguhnya, apa yang dicadangkan hanya meningkatkan kadar maksimum. Kita nak ingatkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan tapi agama lain boleh diamalkan.

"Kita ingin bertanya kepada semua, bagaimana hukuman untuk meningkatkan hukuman ini bertentangan dengan persekutuan?

"Pindaan RUU hanya melibatkan kesalahan sedia ada. Mahkamah Syariah hanya terhad kepada kesalahan dalam Islam.

"Hanya Islam sahaja yang boleh dituduh dalam Mahkamah Syariah," ujarnya.

Abdul Hadi sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimun 100 sebatan berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Abdul Hadi buat pertama kali membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016, selepas kerajaan membenarkan ia mendahului RUU kerajaan.

Abdul Hadi bagaimanapun menangguhkan perbahasan RUU 355 dan membentangkan versi disemak semula pada November 2016 selepas ia sekali lagi dinaikkan dalam aturan urusan mesyuarat.

Abdul Hadi turut mengingatkan kepada ahli politik agar tidak mempolitikkan usul yang dibawa oleh beliau kerana ia telah diputar belitkan sebagai usaha untuk melaksanakan hudud di negara ini.

"Sikap sesetengah yang menentang amat dikesali. Ini petanda buruk kepada politik kematangan.

"Tujuan RUU355 adalah untuk mendidik bukan menyeksa. Kita anggap bukan Islam sebagai sahabat bukan musuh.

"Hanya ahli politik yang kemaruk undi yang hilang kewarasan. Kita ingin ingatkan, jangan permainkan undang islam," katanya.

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...