JELAS kelihatan dari gambar yang tertera - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad sibuk pula mengambil gambar ketika barisan kepemimpinan Pakatan Harapan angkat sepanduk ‘Anwar PM ke-7’
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula sekadar bertepuk tangan sahaja. Tidak juga angkat sepanduk berkenaan.
Mengapa? Kalau hati tidak suka, sukar untuk dipaksa-paksa.
Dr. Mahathir pun tidak pernah sesekali sebut siapa akan menjadi Perdana Menteri pertama daripada pakatan pembangkang seandainya diberi peluang berkuasa hasil pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Ini setara dengan motif serangannya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan kerana mahukan anaknya Datuk Seri Mukhriz menjadi Perdana Menteri.
Kalau ketika semua orang melakukan perkara sama serentak dalam sesuatu majlis (angkat sepanduk) menyatakan sokongan, tetapi ada pula kelihatan ‘helah’ beberapa individu tidak mahu berbuat demikian, maka kena tanyalah isi hatinya.
Pada 2 November 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur di atas tuduhan menyalahgunakan kuasa semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Mahkamah memutuskan Anwar bersalah dan dipenjara selama enam tahun pada 14 April 1999.
Anwar, 69, kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan selepas dia didapati bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari.
Jika mengikut perkiraan andaian, Anwar dijangka bakal dibebaskan pada 10 Februari 2019 atau 2020.
Dr. Mahathir dalam sidang akhbar selepas memberi penjelasan mengenai pemecatan Anwar daripada kerajaan dan parti kepada pemimpin-pemimpin UMNO akar umbi di ibu negara pada 8 September 1998 menegaskan:
“Saya menganggap Anwar tidak layak untuk menerajui negara ini bukan disebabkan oleh soal politik, pertentangan pendapat dengan saya atau ekonomi tetapi disebabkan moralnya yang rendah.
“Perbuatan yang dilakukan oleh Anwar tidak dapat diterima oleh saya, tidak dapat diterima oleh parti saya dan tidak dapat diterima oleh negara ini.’’
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2017/05/kenapa-tun-m-tak-angkat-sepanduk-anwar.html
No comments:
Post a Comment