Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap penyebar fitnah dan berita palsu mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata langkah itu bagi membendung pelbagai tohmahan dan fitnah yang dilontarkan sesetengah pihak terhadap GST sejak kebelakangan ini.
“Saya sedih apabila kadang-kadang dapat WhatsApp daripada kawan-kawan, kita baca dan tahu berita tidak betul. Generasi muda pula mudah percaya. Jadi, memang patutlah ada pihak siasat dan saya rasa janganlah anggap semua rakyat bodoh. Memang ada sebahagian yang percaya tetapi kita boleh mengambil tindakan ‘pembetulan’,” katanya kepada media di Kota Tinggi, Johor hari ini.
Beliau sebelum itu merasmikan Pejabat GST Kota Tinggi bagi memberi kemudahan kepada lebih 4,000 syarikat yang berdaftar dalam sistem cukai terbabit.
Terdahulu, dalam ucapannya, Subromaniam meminta supaya ahli-ahli politik tidak menggunakan isu GST sebagai bahan kempen untuk menjatuhkan kerajaan.
Katanya, GST yang terbukti memberi kesan positif kepada ekonomi terutama dari segi daya saing Malaysia, telah dilaksanakan di beberapa negara.
“Setakat ini, tidak ada mana-mana negara yang kembali kepada sistem percukaian asal selepas melaksanakan GST. Jadi, usahlah rakyat terperdaya dengan cerita-cerita karut kononnya ia boleh diganti dan sebagainya. Ia sangat mustahil dilakukan,” katanya.
https://www.wakeupmalaya.com/2017/09/kastam-akan-ambil-tindakan-terhadap-penyebar-fitnah-berita-palsu-mengenai-gst/
No comments:
Post a Comment