Dunia politik negara gegak-gempita beberapa hari ini dek ‘ketakutan’ pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan diketuai DAP terhadap Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan baru-baru ini.
Undang-undang tersebut digubal untuk menangani masalah penyebaran berita tidak benar yang semakin serius seiring dengan perkembangan teknologi moden.
Seperti kata pepatah siapa sakit siapa menyiuk, begitulah sikap mereka sekiranya takutkan undang-undang ini kerana hanya yang melakukan kesalahan perlu berasa takut dan bimbang.
Mengulas perkara tersebut, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, undang-undang tersebut perlu diterima baik oleh setiap anggota masyarakat memandangkan penggubalannya dibuat tepat pada masanya.
“Bagi saya, yang tidak senang dengan penggubalan undang-undang ini mungkin merupakan pihak yang gemar menyebarkan berita tidak benar. Kalau tidak salah, mengapa perlu takut?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Musa lagi, beliau optimis dengan potensi undang-undang itu untuk mengekang masalah penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa di negara ini.
“Kerajaan pastinya sudah menjalankan kajian yang mendalam terhadap pelaksanaan undang-undang ini dan ia turut mendapat sokongan majoriti ahli di Dewan Rakyat.
“Undang-undang ini turut melengkapi kelompongan yang ada pada undang-undang sedia ada kerana semua jenis berita palsu boleh dikenakan tindakan, bukan sekadar berita palsu yang bersifat fitnah dan menghasut sahaja,” katanya.
No comments:
Post a Comment