Ketika ramai yang masih mengkritik Datuk Seri Najib Razak berhubung derma berjumlah AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang dimasukkan keluarga diraja Arab Saudi ke dalam akaun Perdana Menteri itu, bekas pegawai khas kepada Menteri Kewangan II mendedahkan Tun Dr Mahathir juga pernah ‘memiliki’ wang berjumlah £65 juta (RM357 juta).
Saiful Bahari Baharom menerusi kemaskini di laman Facebook beliau pada Selasa ‘membongkar’ semula cerita lama itu selepas berasa hairan mengenai sikap bekas Perdana Menteri itu yang dilihat lantang mengkritik Najib berhubung wang derma berkenaan.
Saiful yang juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi) berkata, arwah bapanya telah diminta oleh Dr Mahathir untuk ‘menyimpan’ wang tersebut di dalam sebuah akaun bank di London.
“Pada tahun 1987, arwah menjalani heart by-pass operation di Singapura. Pada malam sebelum prosedur tersebut, arwah panggil saya dan memberitahu saya satu nombor akaun di atas namanya di sebuah bank di London. Jumlah wang di dalam akaun tersebut adalah £65 juta.
“Arwah pesan kepada saya bahawa duit tersebut bukanlah miliknya tetapi milik Dr Mahathir.
“Maka, saya hairan dan kecil hati kerana Dr Mahathir membidas DS (Datuk Seri) Najib seteruk-teruknya kerana akaun RM2.6 bilion itu,” demikian tulisnya dalam catatan tersebut, memaklumkan arwah bapanya selamat dalam pembedahan itu.
Tahun lalu media melaporkan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir berkata wang tersebut merupakan sumbangan ikhlas tanpa mengharapkan balasan, menyifatkannya untuk pelaburan di Malaysia.
Bagaimanapun Dr Mahathir mempertikaikan kenyataan tersebut meskipun Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengumumkan tiada kesalahan dilakukan Najib.
Beliau menambah sebelum arwah bapanya yang mesra dengan panggilan Yeop dalam kalangan anak-anak meninggal dunia, bapanya ada memberitahunya pada dekad 1990-an bahawa duit yang berada di London itu telah dikembalikan kepada Dr Mahathir melalui Setiausaha UMNO, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.
“Sama ada wang tersebut di gunakan untuk tujuan politik atau peribadi, arwah tidak tahu dan tidak ambil tanya. Tetapi itu semua adalah cerita lama,” katanya dalam kemaskini tersebut yang kini sudah dikongsi lebih 400 pengguna Facebook.
Saiful juga menggambarkan bagaimana keakraban hubungan persabahatan antara keluarganya dengan keluarga Dr Mahathir, yang terjalin sejak awal penglibatan Dr Mahathir dalam bidang politik.
Ketika itu, cerita Saiful, beliau bersama-sama anak-anak Dr Mahathir iaitu Mirzan, Datin Paduka Marina dan Datuk Seri Mukhriz juga mempunyai hubungan yang baik.
“Saya masih ingat semasa kami tinggal di Ipoh, ibu bapa saya balik dari Alor Setar menceritakan bagaimana anak-anak Tun mencium pipi ibubapa mereka dan mengucapkan “good night” setiap malam. We did the same, well, at least said good night before we went to bed.
“Saya tidak fikir keluarga saya adalah sahabat karib keluarga Tun, jauh sekali tetapi pada suatu masa saya berani mengatakan persahabatan saya dengan Mirzan, Marina dan Mukhriz boleh dikatakan baik,” ujarnya.
Katanya, arwah bapanya dan bapa saudaranya juga pernah menceritakan bagaimana arwah menaiki keretapi di Tanjung Malim, Perak untuk menarik Dr Mahathir turun dan membawanya ke Ipoh kerana arwah mendapat berita bahawa jika Dr Mahathir sampai ke Kuala Lumpur, polis sedang menunggu untuk menahannya atas arahan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri ketika itu.
“Arwah dan Almarhum Tunku Abdullah (adinda kepada Almarhum Tuanku Jaafar Negeri Sembilan) menjual saham mereka di dalam Merpati Air (sebuah syarikat penerbangan domestik Indonesia) dan mendermakan hasil jualan tersebut kepada Dr Mahathir untuk meneruskan perjuangan politik beliau.
“Saya juga masih ingat arwah ayah saya balik dari pejabat Dr Mahathir. Arwah dipanggil oleh Dr Mahathir beberapa bulan setelah Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri,” ceritanya.
Saiful menambah mereka sekeluarga tidak melupakan budi Dr Mahathir dan beliau sendiri pernah menulis surat kepada politik veteran itu untuk mengucapkan terima kasih kepadanya, dan surat itu dikirimkan melalui anak perempuannya, Marina.
“Sesungguhnya, kami sekeluarga banyak terhutang budi kepada Dr Mahathir dan kami tidak mungkin dapat merasai kehidupan yang kami kecapi tanpa pertolongan Dr Mahathir – apartment dua tingkat di London, percutian di Eropah, berderet kereta BMW di Kuala Lumpur dan lain-lain,” katanya yang kini sudah menyatakan sokongan kepada pentadbiran Najib.
“Sokongan saya berteraskan dua perkara utama: untuk membanteras peluang parti DAP berjawatan di dalam Kerajaan Pusat; dan keyakinan saya atas dasar-dasar kewangan dan ekonomi DS Najib.”
Sumber: Malaysian Digest
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment