Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Thursday, 3 May 2018

Kisah Masyarakat / Budaya : Gadis Rusia Baca Vocket Setiap Hari Kerana Satu Sebab Ini

gambar Cameron Highlands
Mendapat tahu Vocket juga telah mempunyai pembaca dari kalangan mereka yang bertutur dalam bahasa lain pada hakikatnya merupakan  sesuatu yang mengujakan.
Apatah lagi bila setiap hari beliau membaca kisah yang dipaparkan di Vocket dan menjadikan laman web ini antara rujukan untuk menambahbaik penguasaan Bahasa Melayu.
Secara peribadi saya gembira dengan perkhabaran ini. Maka setelah diberitahu saya berbesar hati untuk menghubungi gadis yang berasal dari Rusia ini.
Menurut gadis ini, beliau telah diperkenalkan kepada Vocket oleh Zalikha yang merupakan pembaca setia Vocket.
Jom ikuti temubual kami di bawah:
alex-6
Vocket: Hi Alexandra, kami di Vocket sangat berbesar hati di atas kesudian Alex berkongsi kisah anda dengan pembaca kami.
Alexandra: Terima kasih Ida dan The Vocket atas peluang ini untuk menceritakan tentang pengalaman saya semasa saya belajar Bahasa Melayu. Maaf jika ada kesalahan bahasa dalam teks saya.
Vocket: Boleh berikan sedikit maklumat latar belakang Alexandra. Nama penuh, berasal dari daerah mana di Rusia, latar belakang pendidikan dan pekerjaan (jika sudah bekerja)?
Alexandra: Nama saya Alexandra Samokhvalova, nama yang panjang sekali dan sukar nak diucapkan bagi orang Malaysia (dan orang Barat juga). Sebab itu boleh dipanggil Alexandra sahaja atau Alex.
Umur saya 26 tahun. Saya lahir di Moscow, ibu negara Rusia. Selepas tamat sekolah, saya masuk Moscow State Universiti (selepas lulus peperiksaan yang susah sekali!).
Universiti ini dianggap universiti terbaik di Rusia, sebab itu saya memang gembira mendapat peluang untuk belajar di sana.
Fakulti saya di Universiti Moscow agak luar biasa, iaitu Institut Negara-negara Asia dan Afrika (Institute of African and Asian Studies). Fakulti itu mengambil alih kajian Timur dan banyak bahasa Timur diajarkan di institut ini, termasuk Bahasa Melayu.
Inilah bahasa yang saya pilih untuk belajar. Di samping itu saya belajar ilmu kesusasteraan dan ilmu linguistik sebagai pengkhususan saya.
Selepas tamat pembelajaran, saya pernah bekerja sebagai Office Managersepanjang satu setengah tahun (tempat kerja yang kurang menarik tetapi membawa duit).
Pada masa itu saya mengambil keputusan untuk meneruskan pembelajaran di Negara Jerman dan masuk Goethe-Universiti di Frankfurt.
Di sini saya mendapat MA dalam program ‘Modern East Asian Studies’. Sepanjang Master, saya fokus pada ilmu politik dan Asia Tenggara, terutamanya Malaysia.
Sebab kenapa saya pindah ke Negara Jerman (dan tidak ke Malaysia) untuk terus belajar, susah nak jelaskan.
alex-10
Negara Rusia, negara asalku, terletak di Barat dan Timur pada masa yang sama, dan saya sendiri selalu merasakan hubungan yang kuat dengan kedua-dua kontinen itu.
Sekarang, saya mahu mendapatkan pengalaman kerja dan hidup di dalam suatu negara Barat. Pada masa yang akan datang, siapa tahu, boleh jadi pindah ke Malaysia.
Sekarang ini, saya bekerja di Goethe-Universiti Frankfurt sebagai research fellowdalam Projek “Africa’s Asian Options” dan membuat penyelidikan dalam sub-project “Migration of African students to Malaysia”.
Selain dari itu, buku saya yang pertama akan diterbitkan oleh University Sains Islam Malaysia Press (hasil kerjasama USIM dan Goethe-Universiti Frankfurt).
Buku itu yang berjudul “Transformation of the higher education system in Malaysia” akan dilancarkan pada Frankfurt Bookfair 2015.
Ini jelas, bahawa saya sangat ingin untuk terus menjadikan negara Malaysia dan Bahasa Melayu sebahagian daripada perkara penting dalam kehidupan saya.
Inilah latar belakang saya secara pendek (boleh ceritakan lebih banyak, tetapi tidak yakin kalau pembaca mahu membaca ‘novel’ panjang tentang saya, bosanlah)
alex-2b
Vocket: Bagaimana Alexandra mula belajar Bahasa Melayu dan apakah yang mendorong Alexandra untuk kuasai Bahasa ini?
Alexandra: Seperti disebut, saya mula belajar Bahasa Melayu di dalam universiti. Sewaktu saya memilih Bahasa Melayu berbanding bahasa-bahasa lain yang ditawarkan (termasuk Bahasa Cina, Hindu, Japan dan lain-lain), saya tidak tahu banyak tentang negara Malaysia.
Sebenarnya, saya pernah melihat gambar di Internet saja (seperti Menara Berkembar KLCC, laut biru, pasir tanpa kesudahan dan baju traditional orang Melayu yang berwarna-warni).
Gambar ini begitu mempesonakan saya! Saya memutuskan untuk memilih Bahasa Melayu dan berharap dapat melawat negara Malaysia satu hari nanti untuk melihat semuanya dengan mata sendiri (impian itu menjadi kenyataan beberapa tahun lepas, lihat gambar saya dari Malaysia).
Sepanjang pembelajaran saya, saya jatuh cinta dengan negara dan Bahasa Melayu yang banyak perbezaannya dari Bahasa Rusia dan bahasa-bahasa Barat lain.
Tetapi semakin saya belajar, semakin besar hasrat saya untuk bertutur dalam Bahasa Melayu secara fasih. Pada masa itu, saya teringin untuk baca karya pengarang Malaysia terkenal (terutamanya Sasterawan Negara) dan tengok TV dan filem Malaysia.
alex-8
Menjadi model pakaian tradisional yang cantik dan mahal!
Vocket: Berapa lama masa yang diambil oleh Alexandra untuk belajar Bahasa Melayu sehingga fasih?
Alexandra: Pada keseluruhannya, saya belajar Bahasa Melayu sepanjang 4 tahun di Moscow. Selepas itu, saya belajar Bahasa Indonesia selama 1 tahun di Universiti Frankfurt (sebab di sana tidak mempunyai kursus Bahasa Melayu, hanya Bahasa Indonesia).
Sebenarnya, saya tidak tahu jika Bahasa Melayu saya begitu fasih, tetapi saya cuba memperbaikinya setiap hari (antara lain dengan membaca TheVocket!)
Vocket: Apakah cabaran utama yang Alexandra hadapi untuk menguasai Bahasa Melayu?
Alexandra: Ramai orang perpendapat bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa yang mudah sekali untuk dipelajari. Saya tidak setuju!
Pertama sekali, Bahasa Melayu adalah sangat luar biasa bagi orang Barat. Bahasa itu berbeza daripada bahasa lain yang saya kuasai di sekolah (iatu Bahasa Inggeris dan Perancis); tidak ada golongan genis jantina atau masa dalam tatabahasa; kata kerja tidak berubah dan sebagainya.
Sebagai satu contoh yang pendek: kalau dalam Bahasa Inggris, kata kerja menunjukkan masa “work-is working-worked-have been working” dll. Kalau dalam Bahasa Melayu “kerja” sahaja.
Pada mulanya, susahlah nak faham! Namun jika ada keinginan, pasti boleh menguasai juga!
Lebih dari itu, kalau sudah fasih dan boleh tulis dan baca, berbual dengan orang Melayu tidak begitu mudah, kerana orang menggunakan bahasa harian (bahasa pasar, bahasa rojak, slang orang muda) yang berbeza dari bahasa rasmi.
Sms pun tidak senang! Semua singkatan membuat saya gila!  Apakah ini ‘camne, ‘gi, ‘meh dan seterusnya. Hari ini belum faham semuanya, tetapi saya terus cuba!
alex-5
Vocket: Bagaimana penerimaan keluarga dan rakan-rakan Alexandra apabila dapat tahu keinginan Alexandra untuk kuasai Bahasa Melayu?
Alexdandra: Saya yakin, bahawa pembaca tidak boleh bayangkan reaksi keluarga, kawan dan kenalan saya. Mereka sangat terperanjat, sesetengah daripada mereka tanya sekali lagi kalau saya betul-betul mahu belajar Bahasa Melayu, mereka tidak percaya (luculah!).
Semua kenalan berpendapat bahawa saya membuat suatu minat yang exotik, saya setuju! Tetapi sekarang ini Bahasa Melayu sudah merupakan sebahagian hidup saya.
gambar pidato PABM
Ini adalah gambar sewaktu saya sertai Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu pada tahun 2009.
Vocket: Dengarnya Alexandra pernah mewakili Rusia dalam pertandingan pidato Bahasa Melayu. Boleh kongsikan pengalaman tersebut dan apakah kesudahannya? Adakah Alexandra berjaya memenangi pertandingan tersebut?
Alexandra: Saya pernah ikut serta dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu pada tahun 2009. Itulah pengalaman keemasan dan kenangan yang tidak akan dilupakan.
Pada masa itu saya belajar Bahasa Melayu selama 2 setengah tahun saja dan takut saya tidak setaraf dengan peserta yang lain. Sebab itu saya berlatih banyak kali dalam menyampaikan pidato saya (boleh jadi 20 kali setiap hari atau lebih banyak).
Saya berjaya masuk akhir, tetapi (malangnya) tidak menang. Walaubagaimana pun, saya bertemu dengan orang dari seluruh dunia yang juga berbahasa Melayu, wow!
alex-3
Siti Nurhaliza adalah icon wanita Malaysia! Ya…tentu!!
Selain dari itu, saya pernah berasa seperti selebriti sepanjang PABM, kerana ditemu bual oleh wartawan, ramai orang mahu mengambil gambar dengan saya dan (yang lebih mempesonakan bagi saya) siaran langsung PABM apabila saya perpidato!
Pengalaman itu betul-betul membantu saya membina keyakinan diriku.
Vocket: Bagaimana penguasaan Bahasa Melayu Alexandra kini?
Vocket: Kini saya membaca banyak dalam Bahasa Melayu. Saya baca teks-teks akademik untuk kerja dan buku-buku sebagai hobi. Malangnya, tidak mempunyai banyak peluang untuk bercakap Bahasa Melayu, saya rasa tidak begitu fasih berbanding dengan masa PABM.
Namun bahasa ini adalah bahasa yang sering saya gunakan saya. Sebenarnya, sekarang ini saya menggunakan 3 bahasa (semuanya bukan bahasa ibundaku) dalam kehidupan seharian iaitu Bahasa Jerman, Bahasa Inggris dan Bahasa Melayu (apabila bekerja). Gila, kan?! Tapi saya suka!
gambar fashion show
Saya menjadi model pada beberapa fashion shows dan memakai baju Melayu yang indah (dan mahal) sekali di atas pentas.
Vocket: Ada kisah menarik atau lucu yang Alexandra alami semenjak dari belajar kuasai Bahasa Melayu sehingga kini?
Alexandra: Ada banyak kisah menarik yang saya alami. Contohnya, apabila belajar di Moscow, pernah belajar tarian Melayu tradisional seperti Zapin, Joget dan Tarian Sarwak juga, seronok sekali!
Pernah beberapa kali juga saya mempersembahkan tarian tersebut dengan penari dari Malaysia pada pelbagai acara di Moscow.
Selain dari itu, saya menjadi model pada beberapa fashion shows dan memakai baju Melayu yang indah (dan mahal) sekali di atas pentas.
Seronoklah! Pengalaman itu menunjukkan juga betapa unik dan berseni budaya Malaysia.
alex-9
Gambar ini adalah sewaktu lawatan saya ke Cameron Highland
Vocket: Ada kenangan manis yang ingin Alexandra kongsikan semenjak berjaya kuasai Bahasa Melayu?
Alexandra: Kenangan manis saya adalah berkaitan dengan orang Malaysia yang saya berjumpa semasa belajar Bahasa Melayu dan masih berjumpa sekarang.
Semuanya berbesar hati, ramah dan menghargai usaha saya dalam pembelajaran bahasanya. Selain dari itu, Malaysia (bagi saya) dikaitkan dengan makanan yang sedap, cuaca yang baik dan pemandangan yang indah sekali (seperti Cameron Highlands atau Pulau Perhentian).
Vocket: Semenjak berjaya kuasai Bahasa Melayu apakah tajuk buku atau bahan bacaan yang paling Alexandra gemari ?
Alexandra: Saya pernah sebut, bahawa saya berminat dengan karya Sasterawan Negara Malaysia. Sebenarnya, saya berpendapat bahawa karyanya mesti dibaca supaya boleh memahami jiwa, kepercayaan dan “ciri-ciri” orang Melayu / Malaysia.
Pengarang kegemaran saya adalah Noordin Hassan. Di antara novel yang saya sudah baca adalah “Pintu”, “Bukan lalang ditiup angin” dan novel lain. Karya Noordin adalah memang menarik dan membawa tema yang menyentuh manusia sejagat.
Tambahan pula, watak di dalam novelnya bukanlah yang tidak realistik yang selalu luar biasa dan penuh dengan watak-watak pelik. Sekarang saya membaca cerpen Kemala dari bukunya “Laut Takjub”.
gambar Pulau Langkawi
Sewaktu kunjungan saya ke Pulau Langkawi
Vocket: Apakah kesan atau perubahan dalam hidup yang dirasai oleh Alexandra selepas berjaya kuasai Bahasa Melayu?
Alexandra: Bahasa Melayu memang mengubah hidup saya. Sebab belajar Bahasa Melayu saya berjumpa kawan sejati yang belajar dengan saya di universiti;  saya pindah ke Negara Jerman (kerana teringin untuk terus belajar); menjadi penulis buku dan belajar untuk percaya pada diri saya (membina self-confidence!)
Vocket: Ada pesanan istimewa yang ingin Alexandra sampaikan kepada pembaca Vocket?
Alexandra: Inilah pesanan yang saya ingin sampaikan: percaya pada kebolehan diri, teruskan usaha dan buat jika berminat dengan sesuatu, tidak berhenti apabila keluarga/kawan/kenalan fikir kamu membuat sesuatu yang pelik atau dirasakan tidak bermakna!
Pesanan saya yang lain yang berkaitan dengan Bahasa Melayu: Jangan lupa membaca buku-buku dalam bahasa ibunda anda, bahasa yang begitu indah dan kaya!
alex-11
Anda boleh ikuti atau mungkin juga berkenalan dengan Alex di Instagram beliau – krivet4ka .
Kepada Alex, Vocket ucapkan selamat maju jaya dan semoga anda akan berjaya kuasai Bahasa Melayu dengan lebih baik.

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...