PRU14 |
Ibu Nik Omar Nik Abdul Aziz, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak menceritakan kembali detik-detik awal ketika mengetahui anaknya itu menjadi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya ini.
Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Youtube, Tuan Sabariah berkata didatangani kenalannya ketika sedang berehat selepas penamaan calon 28 April lalu.
"Dia cakap 'datin jangan terkejut' dan tunjukkan gambar Nik Omar berarak (ketika penamaan calon).
"Nak kata terkejut taklah sebab sudah sudah rasa semalam (sebelum penamaan calon) dia dilarikan (HARAPAN). Malam itu saya telefon dia tak angkat.
"Saya pun hantar mesej dan kata 'tarik dirilah, kalau tak jadi anak derhaka'," katanya dalam video itu.
Video itu bagaimanapun telah disunting, diselang-seli dengan gambar dan muzik, menyebabkan Tuan Sabariah tidak dilihat berkata-kata secara langsung.
Pada 30 April lalu, dua hari selepas penamaan calon, adiknya yang juga calon PAS Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz turut berkata beliau belum pulang ke rumah.
Namun keesokannya Nik Omar menyangkal kenyataan itu dan berkata beliau sudah pulang untuk bertemu Tuan Sabariah.
Pada 2 Mei pula, beliau mengadakan pertemuan dengan guru dan pelajar Maahad Darul Anuar - di mana beliau memegang jawatan sebagai pengetua - yang tidak jauh daripada rumah keluarga.
Nik Omar kemudian dilihat menuju ke rumahnya dan menghabiskan kira-kira 15 minit di sana.
"Apa yang kita minta daripada bonda tidak banyak, yang penting minta bonda doa kepada semua anak-anaknya, apa yang berlaku ini hanya silap faham sahaja," katanya ketika itu.
Sudah lama pesan
Anak kedua bekas mursyidul am PAS itu memang sekian lama dilihat cenderung kepada HARAPAN terutama AMANAH dan tanggal 28 Mei beliau secara rasmi mengisytiharkan pendiriannya.
Daripada sebagai individu yang kurang dikenali dalam pentas politik, beliau kemudian menjadi antara perhatian utama kempen PRU kali ini.
Dalam video itu, Tuan Sabariah juga berkata beliau memang sudah berpesan kepada anaknya itu agar tidak meninggalkan PAS.
"Saya kata kepada dia, kalau ada orang tanya (untuk masuk HARAPAN), beritahu mereka 'saya nak berada di pihak ayah saya, ayah saya mati dalam PAS'. Mereka pasti akan faham.
"(Tapi dia cuma kata) 'tidak', tak mengaku (tetapi) jawapan itu pun dah tak kemas (meyakinkan)," kata Tuan Sabariah.
Nik Abduh juga berkata ibunya akan berkempen bagi pihak PAS di DUN Chempaka dan pada 3 Mei lalu Tuan Sabariah mula menyertai kempen parti itu.
Namun Nik Omar tidak menganggapnya sebagai tindakan menentang beliau tetapi sebagai 'tindakan demokrasi' dan yakin ibunya tetap mendoakan kebaikan untuknya dan anak-anak yang lain.
No comments:
Post a Comment