Ketua Pengarah Media dan Maklumat Pejabat Presiden Turki, Mehmet Akarca, menyampaikan taklimat sambutan ulang tahun kedua tragedi kudeta Turki di Istanbul, hari ini. - Foto ihsan Unit Media dan Komunikasi Pejabat Presiden Turki
ISTANBUL: Dua tahun berlalu, namun tragedi berdarah kegagalan cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai 2016 terus dikenang dalam sejarah Turki sebagai lambang kebangkitan rakyat negara itu mempertahankan suara demokrasi.
Sempena ulang tahun kedua tragedi yang mengorbankan lebih 250 orang awam dan mencederakan lebih 2,500 yang lain, pelbagai acara peringatan diadakan di seluruh negara dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan dijadual berucap di Istanbul dan Ankara esok.
Upacara peringatan yang dianjurkan pentadbiran Erdogan itu akan bermula di Parlimen Turki di daerah Bestepe, Ankara dan Jambatan Bosphorus, Istanbul yang turut dikenali sebagai Jambatan Syahid 15 Julai.
Erdogan dijadual memulakan upacara peringatan itu di Ankara dengan menziarahi pusara mereka yang terkorban pada malam tragedi terbabit terlebih dulu sebelum menghadiri sesi waris di Parlimen.
Beliau dijadualkan makan bersama dengan waris terdekat korban tragedi itu di kompleks pentadbiran presiden di Bestepe yang dibina pada 2014.
Erdogan kemudian akan ke Istanbul menyertai acara peringatan di jambatan bersejarah itu yang menjadi lokasi penting tragedi 15 Julai 2016.
Ketua pengarah media dan maklumat Pejabat presiden turki, Mehmet Akarca, ketika menyampaikan taklimat berhubung sambutan ulang tahun kedua tragedi kudeta turki di Istanbul, hari ini. - Foto ihsan Unit Media dan Komunikasi Pejabat Presiden Turki
Semua masjid di 81 wilayah di seluruh Turki juga mengadakan solat hajat mendoakan kesejahteraan dan keselamatan negara ini.
Susulan tragedi berdarah itu, Ankara menuduh bekas pemimpin dari negara itu yang kini berlindung di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen, dan organisasi Fethullahist Terrorist Organisation (FETO) sebagai dalang cubaan tragedi berdarah terbabit.
Perintah darurat dikuatkuasakan di seluruh Turki mulai 20 Julai 2016 dan sudah tujuh kali diperbaharui dengan yang terbaru akan tamat 19 Julai ini.
Ketua Pengarah Bahagian Media dan Maklumat merangkap Ketua Penasihat kepada Presiden Turki, Mehmet Alarms, berkata sambutan kali ini amat bermakna buat Turki dalam usaha pentadbiran Erdogan mempertahankan demokrasi.
"Upacara peringatan ini besar ertinya terutama kepada seluruh rakyat Turki kerana mereka adalah watak utama mematahkan cubaan kudeta berkenaan.
"Rakyat Turki membuktikan semangat demokrasi yang ada dalam diri mereka berjaya menumpaskan serangan kudeta itu.
"Sambutan ini boleh dianggap seperti hari kemerdekaan kedua buat Turki selepas kemerdekaan pertama (29 Oktober 1923)," katanya ketika sesi taklimat kepada kira-kira 300 media antarabangsa yang dijemput membuat liputan acara peringatan itu di sini, hari ini.
Mehmet berkata, Turki bersedia bekerjasama dengan mana-mana negara di dunia termasuk berkongsi maklumat risikan mengenai pergerakan FETO yang kini bertapak dengan keanggotaan dan rangkaian di seluruh dunia.
"Kami bernasib baik kerana cubaan rampasan kuasa itu ditumpaskan pada malam tragedi terbabit, jika tidak Turki pasti menjadi tumpuan kemasukan pengganas dari Syria dan beberapa negara lain.
"Negara yang gagal mengambil tindakan terhadap pergerakan FETO yang bertapak di negara masing-masing bakal berdepan masalah pada masa depan, " katanya.
Mengikut rekod, Turki telah mengalami empat kali sejarah hitam ancaman kudeta tentera iaitu pada 1960, 1971, 1980, 1997 manakala 15 Julai 2016 adalah paling buruk.
Dalam perkembangan berkaitan, Mehmet turut menyifatkan ulang tahun kedua kegagalan kudeta itu sebagai titik tolak transformasi sistem pemerintahan di Turki, termasuk kejayaan Erdogan memenangi pilihan raya Presiden pada 25 Jun lalu.
Berbekalkan kemenangan itu, katanya, Erdogan menjadi presiden pertama Turki dengan kuasa eksekutif, sekali gus memudahkan beliau melakukan transformasi.
No comments:
Post a Comment