Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Tuesday, 18 December 2018

ADAKAH ARWAH ADIB DIKIRA MATI SYAHID?

Adakah Arwah Adib Mati Syahid ? Ini Jawapan Mufti KL Yang Ramai Tak Tahu | Ketika ramai menangisi pemergian arwah Muhammad Adib, timbul persoalan, adakah arwah dikira mati syahid ? Ini jawapan Mufti KL terkini yang ramai tak tahu. Tolong jangan abaikan artikel ni.

SOALAN: ADAKAH ARWAH ADIB DIKIRA MATI SYAHID?

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, saya ingin bertanya, apakah kematian Muhammad Adib dikira syahid?
JAWAPAN MUFTI KL
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Pada asasnya, kita tidak boleh menentukan dengan khusus atau mengatakan dengan menta’yin seseorang itu mati syahid kecuali mereka yang telah dipersaksikan oleh Rasulullah SAW atau yang telah disepakati oleh umat atas kesyahidannya.
Hal ini kerana hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid atau sebaliknya. Walaubagaimanapun, kita berdoa agar Muhammad Adib dikurniakan kemuliaan seorang syahid.
Dalam hal ini, kami mendalilkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (653)
Imam al-Tabrizi dalam menjelaskan hadis ini berkata: Sahib al-hadmi (صَاحِبُ الْهَدْمِ) ialah orang yang ditimpa binaan atau dinding kemudian mati kerananya. (Lihat Mishkat al-Mafatih, 11/218)
Maka dalam isu seperti ini, kami qiyaskan dengan sahib al-hadmi (صَاحِبُ الْهَدْمِ) iaitu orang yang mati kerana dihempap atau ditimpa runtuhan. Sahib al-hadmi (صَاحِبُ الْهَدْمِ) di sini juga sama apabila dihentam, dipijak dan sebagainya.
Selain itu, beliau ini mati kerana mempertahankan dirinya sendiri. Oleh itu beliau termasuk dalam hadis sepertimana yang diriwayatkan daripada Sa’id bin Zaid R.A, sabda Rasulullah SAW:
مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ
Maksudnya: “Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya, maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan dirinya, maka dia mati syahid.”
Riwayat Ahmad (1652), Abu Daud (4772), al-Nasa’ie (4095)
dan al-Tirmizi (1421). Tirmizi berkata: Hadis hasan sahih.

Imam al-Munawi dalam menjelaskan hadis di atas berkata: Syahid di sini ialah syahid akhirat, bukanlah syahid dunia (di mana ia tidak perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya). (Lihat Faidh al-Qadir, 6/195)
Syeikh Syams al-Haq al-‘Azhim Abadi: Syahid tersebut bermakna syuhada’ akhirat iaitu baginya pahala syahid. (Lihat ‘Aun Al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud, 9/2063)
Wajh istidlalnya adalah pada “Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan dirinya, maka dia mati syahid” (وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ).
Begitu juga beliau telah mempertahankan harta orang ramai, maka ini termasuk dalam pengertian “Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia mati syahid” (مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ).
Allahyarham bukan sahaja menjalankan tugas dengan penuh keberanian, tetapi beliau cuba memadam api yang sedang marak. Malangnya api kemarahan singgah pada batang tubuhnya. Semoga syahid menjadi miliknya dan semoga Allah mencucuri rahmatnya. Amin.
Kita adalah hamba Allah dan kepada-Nya lah kita kembali. Kami katakan sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW:
إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
(Surah al-Baqarah: 156)
Sesungguhnya hanya kesabaranlah yang menghiasi orang-orang yang beriman. Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar sahabat kita Muhammad Adib Rahimahullah ini ditempatkan dalam syurga-Nya.
Kepada kaum keluarganya, kami ucapkan rakaman takziah dan juga kesabaran menjadi milik keluarga ini. Semoga peristiwa seperti ini tidak akan berlaku lagi di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Kami memohon maaf kerana tidak sempat untuk solat jenazah bersama tetapi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) telah melakukan solat jenazah ghaib selepas Zohor tadi.
Al-Fatihah buat Muhammad Adib. Sekali lagi, takziah buat keluarga.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa untuknya:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
Amin… JANGAN LUPA UNTUK TOLONG SHARE ARTIKEL NI YE. Terima kasih.
Sumber: Blog Mufti KL

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...