Akhir-akhir ini kita sering dikelirukan perbezaan dakwah dan tabligh. Dakwah maksud ringkasnya adalah mengajak. Dakwah bermaksud kita menyebut kebesaran Allah kepada ummat berulang-ulang kali. Kesan daripada dakwah ialah kita sudah sanggup korbankan diri dan harta kita untuk agama Allah pada bila-bila masa takaza dibentangkan.
Apa yang dimaksudkan hakikat dakwah? Apabila kita sudah terbiasa menyebut kebesaran Allah, lagi dan lagi, iman akan meningkat. Segala apa yang kita sebut akan masuk ke dalam hati. Lalu kebesaran Allah yang kita cakap-cakapkan selalu terpahat dalam hati, kesannya iman yakin terhadap perkara ghaib dan janji-janji Allah akan meningkat. Yang kedua adalah kita sudah mampu untuk buat pengorbanan keluar di jalan Allah jauh-jauh. Tinggalkan harta, kerja, anak dan isteri semata-mata atas maksud kerja dakwah ikut takaza bila-bila masa. Itulah dakwah. Semua wajib buat dakwah. Tetapi tidak semua wajib buat tabligh.
Apakah maksud tabligh? Tabligh membawa maksud taklim wal taklum, atau belajar dan mengajar atau maksud ringkas mengajar ilmu agama. Tabligh biasanya dilakukan oleh ustaz-ustaz, alim, dan ulamak. Tabligh bermaksud menyampaikan ilmu kepada ummat. Sangat berbeza dengan dakwah. Dakwah wajib untuk semua tetapi tabligh wajib disampaikan oleh golongan berilmu.
Hari ini telah berlaku salah faham dalam masyarakat, kebanyakan para alim berkata mereka sudah berdakwah kepada manusia tetapi hakikatnya mereka hanya bertabligh. Dakwah adalah untuk iman manakala tabligh adalah untuk ilmu. Hari ini mana-mana surau ada majlis ilmu tetapi tidak ada usaha dakwah secara berjamaah. Maka umat hari ini yang datang ke surau adalah mereka yang mahukan kepada agama sahaja, tiada siapa yang mahu dakwah mereka yang tidak mahu kepada agama untuk ke surau. Maka agama akan mati hari ini.
Dakwah pula mesti ikut tertib yang ditunjukkan Rasulullah. Bagaimana tertib Rasulullah dan sahabat? Itulah tertib yang ditunjukkan oleh jamaah tabligh di seluruh dunia. Jamaah ini orang yang gelarkan tabligh, bukan jamaah ini menggelarkan diri mereka sebagai tabligh kerana jamaah ini melakukan sebenarnya dakwah bukannya tabligh. Orang yang menggelarkan jamaah ini sebagai jamaah tabligh. Maulana Ilyas yang menghidupkan kembali tertib dakwah cara baginda Muhammad S.A.W. menggelarkan jamaah ini sebagai jamaah yang usaha atas iman. Dakwah untuk diri sendiri untuk tingkatkan iman sendiri. Bukan untuk orang lain. Tertib dakwah cara nabi ini sudah lama mati sejak zaman kerajaan Uthmaniah lagi. Mereka hanya pentingkan ilmu semata-mata maka dakwah mereka tinggalkan, lalu Allah hantar golongan Mongolia dan Nasrani musnahkan kerajaan Islam gah tersebut.
Muhammad Didi Hendra Shah
No comments:
Post a Comment