Arkib : 13 Mei 2019
50 TAHUN TRAGEDI 13 MEI 1969
1. Sempena 50 tahun berlakunya Tragedi 13 Mei 1969 hari ini, berikut adalah perkongsian semula catatan tragedi tersebut, seperti yang diceritakan kembali secara lisan oleh Dato' Haji Muhamad Bin Haji Yassin, 79 tahun. Pertama kali diceritakan kepada penulis dua tahun lalu, dan dikemaskini semula dengan butiran lebih terperinci berpandukan ingatan beliau.
2. Untuk makluman, Dato' Haji Muhamad adalah merupakan seorang bekas pelajar Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya (kini kampus UIAM) yang memang berada di kampus dan kawasan sekitar Lembah Kelang ketika berlakunya Tragedi 13 Mei, 1969 tersebut. Beliau adalah saksi hidup yang telah menceritakan semula butiran tragedi hitam dalam sejarah negara, sama seperti apa yang beliau sendiri alami dan ingati berlaku ketika itu.
3. Beliau yang merupakan pesara kerajaan yang pernah menjadi pensyarah di Institut Perguruan Raja Melewar, kini menjawat jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Muzium Kebudayaan Negeri Sembilan dan Ahli Lembaga Pengarah Istana Seri Menanti.
4. Bagi tujuan pengkisahan semula, penulis telah menyusun kembali butiran pengkisahan tersebut berdasarkan kronologi dan tarikh sebenar kejadian sekitar 10-13 Mei 1969.
5. Seperti yang diingati oleh Dato' Haji Muhamad, dan kita semua tahu, semasa PRU 3 pada 10 Mei 1969, Parti Perikatan, kini Barisan Nasional disahkan telah memenangi PRU 1969 dan berjaya membentuk kerajaan ketika itu.
6. Sekalipun PRU3 tersebut telah dimenangi oleh parti Perikatan, ia disifatkan sebagai kemenangan tipis kepada parti memerintah kerana banyak kerusi di kawasan bandar-bandar utama jatuh ke tangan pembangkang iaitu gabungan DAP dan Gerakan.
7. Kerusi-kerusi di Selangor dan Lembah Kelang termasuklah Kuala Lumpur, kebanyakannya telah dimenangi oleh gabungan Democratic Action Party (DAP) dan Gerakan, di mana ahlinya memang terdiri dari kaum Cina yang menetap di sekitar Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama seluruh negara yang lain.
8. Penumpuan kelompok bangsa tertentu di Semenanjung Malaysia berdasarkan lokasi dan geografi ketika itu adalah hasil doktrin 'pecah dan perintah' British yang menempatkan Cina di kawasan bandar, India di kawasan perladangan dan estet, manakala Melayu dikekalkan terus tinggal di kawasan kampung. Taburan demografi sebegini sesungguhnya walaupun sudah semakin seimbang, ia secara umumnya masih kekal sebegitu rupa sehingga hari ini.
9. Kembali kepada kronologi bermulanya tragedi hitam tersebut, segalanya telah bermula seawal pagi 11 Mei 1969 lagi. Ia telah mula 'panas' sejak diadakan satu perarakan dan sambutan kemenangan oleh DAP dan Gerakan diadakan bagi menzahirkan kegembiraan mereka menawan kerusi-kerusi DUN Kuala Lumpur yang asalnya dimiliki Perikatan sebelum itu.
10. Sambutan juga melibatkan perarakan di sekeliling bandar KL yang turut melalui Balai Polis Jalan Traverse. Di situ kumpulan Cina berkenaan mencaci maki dan menghina polis, malah ada yang kelihatan membuka seluar menunjukkan punggung dan kemaluan dengan tujuan menghina anggota polis dan kerajaan pada masa itu.
11. Kumpulan perarakan tersebut kemudiannya sampai ke kawasan Kg. Baru dan melalui Jalan Perkins iaitu di hadapan rumah Menteri Besar Selangor ketika itu iaitu Dato' Seri Harun Idris, yang juga ketua pemuda UMNO Malaysia pada masa yang sama. Sekali lagi peserta perarakan ini mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina dengan perlakuan tidak senonoh sepanjang laluan mereka.
12. Dato' Haji Muhamad menceritakan juga bahawa semasa perarakan itu tiba di hadapan Kg. Baru, peserta perarakan itu mengeluarkan gambar Sultan Ismail Nasiruddin Shah selaku SPBYDPA ketika itu, kemudiannya memijak dan melanyak gambar baginda tuanku di hadapan Kg. Baru.
13. Selain bertujuan menghina orang Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu, adalah dipercayai bahawa perbuatan tersebut turut bertujuan untuk memprovokasi sekaligus menghalau orang Melayu untuk keluar dari Kg. Baru dan seterusnya keluar dari Kuala Lumpur.
14. Namun walau diperlakukan sedemikian rupa, tiada apa yang berlaku sehinggalah perarakan tamat pada malamnya dengan tenang dan tenteram.
15. Jangkaan bahawa ia selesai di situ meleset sama sekali apabila tiba tengah malam sebaik masuknya 12 Mei, 1969, rupanya di sebalik ketenangan tersebut, kemarahan Melayu semakin meluap-luap dibakar peristiwa siangnya.
16. Provokasi yang dilakukan oleh gabungan ahli DAP dan Gerakan yang terdiri dari orang Cina di Kuala Lumpur itu telah berjaya membuahkan hasil dan mengundang bakal bala yang akan menimpa.
17. Melayu dari Kg. Baru sendiri rupanya sedang mempersiapkan diri, bagi menyahut cabaran Cina yang dikatakan menghina orang Melayu semasa perarakan tersebut.
18. Malam itu juga, sekumpulan orang Melayu dari Kg. Baru telah bergerak keluar melalui Jalan Raja Abdullah ke persimpangan Jalan Campbell.
19. Di persimpangan tersebut, kumpulan orang Melayu tersebut telah menahan semua kereta dan lori yang dipandu oleh Cina. Pemandu dipaksa turun, dipukul dan dibunuh di situ.
20. Pertempuran seumpamanya merebak ke Bandar Tun Razak, membawa ke Jalan Cochcrane dan Jalan Pudu.
21. Dalam masa yang sama, kumpulan Cina yang mula menyedari kejadian tersebut telah membina kekuatan, kemudian bergerak dari Jalan Ampang menuju ke Kg. Baru.
22. Dalam perjalanan, banyak kediaman orang Melayu dibakar. Namun mujur Melayu yang tinggal di situ telah keluar menyelamatkan diri keluar dari kediaman masing-masing. Ada cerita yang menyatakan bahawa terdapat orang Melayu mati terbakar akibat terperangkap dalam kediaman bersama harta benda mereka, tetapi Dato' Haji Muhamad menyatakan ia tidak dapat dipastikan.
23. Dato' Haji Muhamad menceritakan bahawa salah seorang abang saudaranya bernama En. Razak atau nama penuhnya Razak Mohd Amin, berasal dari Serting Hilir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan merupakan juruteknik JKR, dan menetap di Kg. Pandan adalah orang Melayu pertama yang menjadi mangsa tragedi tersebut.
24. En. Razak yang ketika kejadian sedang menunggang Lambretta miliknya tidak berjaya mengelak dari ditahan oleh sekumpulan Cina di Jalan Kg. Pandan. Beliau ditahan berhampiran Sekolah Menengah Dato' Lokman dan terus dipukul hingga mati serta merta di situ. En. Razak dikatakan dibunuh ketika kemuncak tragedi tersebut, lebih kurang pukul 10.00 pagi, 12 Mei, 1969.
25. Pertempuran di sekitar Kuala Lumpur terus berlanjutan dengan jumlah kematian sebenar yang tidak dapat dipastikan pada hari itu. Sehingga lewat 12 tengah malam masuk 13 Mei, separuh Kg. Baru telah musnah dibakar oleh orang Cina. Orang Melayu ramai yang selamat kebanyakannya berlindung di rumah Menteri Besar Selangor.
26. Tindakan perusuh Cina membakar kediaman orang Melayu juga menyebabkan dalam masa yang sama, kedai-kedai dan rumah Cina di Jalan Campbell dan Jalan Raja Abdullah pula habis dibakar oleh orang Melayu dan ramai orang yang tidak sempat melarikan diri turut dipukul sehingga mati dan dibunuh di kawasan tersebut.
27. Kuala Lumpur menangis bermandi darah dan berada dalam kacau bilau, dengan ramai sebenarnya dari kalangan orang Melayu dan Cina terbunuh, manakala sepanjang tempoh tersebut tiada apa yang dapat keluar atau masuk ke dalam Kuala Lumpur.
28. Dato' Haji Muhamad menyatakan bahawa sepanjang ingatan dan pengetahuan beliau, tiada berlakunya pertempuran besar-besaran antara perusuh Melayu dan Cina, namun kebanyakan mangsa yang mati adalah akibat terperangkap dan dipukul oleh kumpulan-kumpulan berasingan, diserang hendap dan dipukul curi sama ada oleh kumpulan Melayu atau Cina.
29. Akhirnya pada 13 Mei 1969, 2 petang darurat diisytiharkan setelah keadaan semakin meruncing. Parlimen digantung dan MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) yang dipengerusikan oleh Tun Razak dengan naib pengerusi Tun Dr Ismail ditubuhkan. Luka negara akibat Tragedi 13 Mei dirawat sejak dari itu.
30. Seterusnya, Dato' Haji Muhamad kemudiannya menceritakan pengalamannya sendiri semasa berada di kampus Kolej Islam Malaya sepanjang peristiwa berdarah tersebut.
31. Beliau berkata bahawa semua pelajar tidak dibenarkan keluar, dan jalan di bahagian hadapan Kolej Islam Malaya sibuk dengan kenderaan polis dan tentera yang lalu lalang.
32. Sepanjang berlakunya tragedi, pelajar-pelajar menghadapi kekurangan bekalan makanan selama hingga tiga hari kerana bekalan makanan tidak dapat masuk ke dalam kolej. Berbekalkan baki biskut dan ikan bilis dari Dewan Makan, mereka mengalas perut sehingga bantuan datang hanya selepas tiga hari tragedi tersebut berlaku.
33. Beliau juga menceritakan bagaimana ada Melayu yang tidak dikenali merapati pagar kolej dan menghulurkan hingga hampir 20 bilah parang untuk tujuan keselamatan jika keadaan menjadi bertambah buruk. Tidak seperti orang Melayu, orang Cina ketika itu dilihat memiliki kelebihan kerana ramai dari kalangan mereka memiliki laras senjata api mereka sendiri.
34. Pada masa yang sama, ada terdapat lebih dari 10 keluarga Melayu dari Pantai Dalam datang berlindung dan menumpang di Asrama Puteri Kolej Islam. Beliau turut menceritakan bagaimana ada seorang bayi yang baru berumur 16 hari turut datang berlindung di Kolej Islam.
35. Diceritakan kepada penulis bahawa suara bayi tersebut hanya dapat didengari setelah datang ke Kolej Islam kerana tangisannya tidak pernah didengari sejak dari lahir malah dipercayai bisu oleh kedua ibu bapanya.
36. Keluarga-keluarga Cina di sekitar Seksyen 17, berhampiran Kolej Islam Malaya ketika itu semuanya telah tergesa-gesa mengosongkan rumah masing-masing apabila keadaan makin meruncing kerana risau dengan keberadaan pelajar-pelajar Melayu di Kolej Islam Malaya yang sangat hampir dengan kediaman mereka.
37. Selepas keadaan reda, pada 15 Mei 1969, semua pelajar diarahkan pulang ke kampung halaman dan dibawa keluar dengan iringan tentera sambil menaiki trak askar ke stesen bas. Proses membersihkan dan pemulihan Kuala Lumpur bermula selepas itu.
38. Demikianlah catatan pengkisahan lisan tentang Tragedi 13 Mei 1969 seperti yang diceritakan oleh Dato' Haji Muhamad kepada penulis dua tahun lalu, berlaku di sekitar Kuala Lumpur dan di kampus Kolej Islam Malaya.
39. Tragedi 13 Mei 1969 ini seringkali dianggap sebagai sesuatu yang taboo yang sangat kita takut untuk bicarakan apatah lagi begitu pantang sekali dikenang-kenang. Sedangkan ia sebenarnya penting dan merupakan antara peristiwa yang membentuk DNA negara kita hari ini. Perlu diingat bahawa kronologi dan rentetan peristiwa yang bermula beberapa hari sebelum itu malah build up hasil percaturan kerajaan ketika itulah yang membawa pada rusuhan kaum 50 tahun yang lalu.
40. Mahu atau tidak, ia tetap merupakan satu kisah lampau dalam lipatan sejarah negara. Ia satu sejarah dan pengajaran kepada kita semua. Sejarah selain mendidik kita mengenai masa lampau, ia juga sebenarnya mengajar kita bagaimana untuk membentuk acuan yang demi kesinambungan masa hadapan.
41. Sejarah mengajar tentang kegemilangan masa lampau, tetapi ia juga memiliki kesedihan dan parut-parut akibat luka semalam. Padanya, kita belajar untuk menghadapi masa akan datang. Jika baik sejarah lampaunya, jadikan ia lebih baik dalam kehidupan mendatang. Jika buruk sejarah lampaunya, perbetulkan supaya kesilapan lampau tidak akan berulang.
42. Baik atau buruk sesuatu sejarah itu ia memiliki kepentingannya sendiri. Ia bergantung kepada bagaimana kita mengakui ia pernah berlaku dan memastikan ia kekal sebagai suatu bentuk pengajaran,sama ada sebagai sempadan atau bentuk tauladan.
43. Seperti firman Allah; "Maka kisahkanlah kisah-kisah agar mereka berfikir." (Al-A’raf : 176). Sesungguhnya, kebenaran adalah sesuatu yang amat pahit untuk ditelan, tetapi yang pahit itulah selalunya Allah jadikan amat mujarab untuk mengubat dan memberikan kesembuhan.
44. Sejarah yang dilupakan, dan pelajaran yang tidak diambil iktibar, tidak mustahil ia akan berulang. Jadi ingat dan belajarlah bahawa sesungguhnya pada hari ini, 50 tahun lalu, sejarah hitam pernah berlaku.
45. Salam 13 Mei, Malaysia!.
*Penulis menulis semula catatan temubual dengan menyemak dan membuat rujukan silang pada sumber berikut;
RUJUKAN;
1. Majlis Gerakan Negara. (1969). The May 13 Tragedy: A Report. Kuala Lumpur: MAGERAN
2. Al Haj, Tunku Abdul Rahman Putra. (2007). 13 Mei Sebelum Dan Selepas. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions.
3. Kia Soong, Kua. (2007) May 13: Declassified Documents On The Malaysian Riots Of 1969. Kuala Lumpur: SUARAM.
4. Betty, M (2015). 13 Mei 1969: Sejarah Hitam Cina-Melayu di Malaysia. Dimuat turun daripada https://www.academia.edu/33270995/_13_MEI_1969_SEJARAH_HITAM_CINA-MELAYU_DI_MALAYSIA_
*KETERANGAN GAMBAR: Kecuali gambar muka hadapan Utusan Malaysia dan barisan anggota MAGERAN yang diambil dari Google Image, semua muka hadapan Berita Harian dan The Straits Times dimuat turun daripada NewspaperSG: http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/
Klik gambar untuk butiran setiap satunya.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10157370802678104&id=823803103
Rakaman video arkib selepas peristiwa tersebut berlaku
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10217940262633784&id=1101123111
Rakaman video arkib selepas peristiwa tersebut berlaku
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10217940262633784&id=1101123111
No comments:
Post a Comment