APPLIED SCIENCE - BAGAIMANA QURAN MENJEMPUT MALAIKAT DAN MENGHALAU SYAITAN
.
Ramai yang terikut-ikut dengan menggantung tulisan ayat quran di pintu dan dinding rumah dengan harapan agar rumah tidak dimasuki syaitan. Namun ‘syaitan’ masih juga keluar masuk. Perbuatan mungkar, gejala histeria dan santau puaka masih juga merasuk.
APA ITU SYAITAN SEBENARNYA?
Sesuatu yang dijadikan oleh ‘al-kholiq’ itu adalah ‘makhluk’, samada yang nyata mahupun yang ghaib. Syaitan adalah makhluk halus yang tidak nampak. Bahkan nafsu itu sendiri digelar makhluk.
Musyhaf Quran ditutup dengan surah 114 An-Nas, yang menerangkan ciri SYAITAN DARI KALANGAN JIN DAN MANUSIA, iaitu melalui hasutan jahatnya.
Pada ayat 208 Surah Lembu Betina (Al-Baqarah) pula Allah jelaskan syaitan itu sebagai MUSUH YANG NYATA. Kerjanya menghasut kita agar jangan ikut perintah Allah secara keseluruhannya (Kaffah).
Para ayat 112 surah 6 (al-An’am) juga diterangkan SYAITAN DARI JENIS JIN DAN MANUSIA yang menjadi musuh para nabi. Kerjanya membisikan kata-kata indah yang direka-reka untuk menghasut manusia.
Oleh itu, Syaitan dikaitkan dengan rejim, iaitu fahaman jahat. Fahaman inilah yang mendorong kita melakukan banyak kejahatan untuk memenuhi nafsu. Ia mengambil tempat apabila hati kita kosong, tidak di isi dengan hidayah atau fahaman yang baik dari petunjuk Allah.
Perbuatan jahat yang jelas seperti minum arak, zina, tidak menutup aurat, mencuri, membunuh, rasuah dan sebagainya itu boleh dikesan dan ditangkap.
Ada pula kejahatan yang tidak kita sedari seperti menfitnah, syak wasangka, tamak, kedekut, adu domba, mencari nama, membangga diri dan banyak lagi adalah dalam katagori nafsu syaitan. Yang ini sukar ditangkap kerana ia berbentuk dakyah dan bersifat ghaib, namun kesannya masyaAllah, boleh membunuh generasi.
BAGAIMANA MENGHALAU SYAITAN?
ALLAH telah mengajar kita cara menghalau syaitan. Kerana itulah apabila kita ingin membaca alquran, Allah perintahkan kita berTAKWUZ, iaitu berlindung dengan ALLAH dari fahaman jahat atau REJIM SYAITAN ini.
Caranya ialah dengan mengenalpasti apa sahaja fahaman jahat yang berdetik di hati kita dan tolaklah hasutan jahat itu menggunakan hujjah dan pedoman berupa nasihat, aturan dan perintah yang telah Allah hidayahkan dalam alquran yang ingin kita baca. Namun itu tidak mungkin berlaku jika kita hanya membaca alquran untuk mencari pahala sahaja tanpa memahami mesejnya.
Sebenarnya syaitan pertama adalah diri kita sendiri. Ia berupa cetusan buah fikir penuh bernafsu jahat yang kita sendiri ada-adakan. Kadangkala kita buat sendiri-sendiri. Adakalanya kita ajak rakan taulan bersama melakukannya. Ringkasnya kita sendiri adalah syaitannya yang menghasut manusia termasuk menghasut diri kita sendiri.
Syaitan yang kedua ialah dari kalangan JIN dan MANUSIA. Itulah makhluk yang sering hadir menghasut kita. Itulah sebenarnya Syaitan yang ‘bertopengkan manusia’.
Jika kita sendiri mendekatkan diri dengan sungguh-sungguh kepada Allah dengan menghayati ayat ayatnya dengan kefahaman yang teguh, maka minat kita terhadap fahaman jahat akan tertutup.
Jika kita sampaikan ayat-ayat Allah dan memahamkan seorang rakan yang dahulunya pernah kita layan hasutan jahat mereka, pasti mereka tidak berminat menghasut lagi. Lama kelamaan, mereka tidak minat datang ke rumah kita. Jika kita bernasib baik, maka rakan yang sama akan terus datang namun kali ini sebagai jemaah yang ingin bersama-sama mencari hidayah Allah.
BAGAIMANA MALAIKAT HADIR KE RUMAH YANG DIBACAKAN ALQURAN?
Nafsu syaitan itu bersifat pribadi dan penuh kepentingan. Ia berasaskan API yang membakar serta merosakkan diri dan masyarakat. Malaikat pula berasal dari CAHAYA yang analoginya adalah ilmu yang menerangkan kegelapan. Sebab itu bila maghrib mula GELAP, suruh cepat anak masuk rumah kerana gelap adalah suasana kondusif untuk syaitan.
Apabila kita seluruh keluarga sentiasa mengadakan majlis ilmu, perbincangan yang sentiasa mengaitkan hidayah Allah, maka ahli keluarga kita akan jernih dan terang hatinya. Segala kerjabuat akan dirujuk TEPAT kepada alquran dan sunnah. Dengan ilmu itu, masing-masing faham akan fungsi diri dan akan memainkan peranan dalam keluarga dengan petunjuk dan aturan yang jelas.
Kepatuhan tanpa berbelah bagi itu juga adalah ‘SIFAT MALAIKAT’ yang sentiasa mengabdi dengan mematuhi petunjuk atau cahaya yang bersifat lurus dan menerangkan. Sesiapa saja akan menjadi cermin ajaib dalam keluarga, nasihat menasihati, lapur melapur tanpa disertai rasa dengki, dendam dan irihati. Itu juga ciri malaikat.
Semua ini menampakkan bagaimana ciri serta fungsi malaikat dan syaitan itu silih berganti dalam diri kita.
Inilah sistem pengaturan alam yang melibatkan malaikat yang ghaib, namun kaedahnya boleh kita tajalikan di dalam keluarga kita di alam nyata. Bayangkan apa jadi jika anak kita membacakan firman Allah kepada boyfriend yang datang ke rumah untuk mengajaknya mengulangi perbuatan keji. Ditolaknya ajakan itu dengan ilmu yang padu. Mungkinkah syaitan itu mahu datang lagi? Tentu sekali tidak.
KESIMPULANNYA
Itulah cara yang zahir bagaimana kita mampu menjemput malaikat rahmat agar sentiasa berlegar dan menjaga isi rumah kita. Itu juga cara zahir bagaimana kita menghalau syaitan dari dalam rumah dan menolak kehadiran syaitan yang di luar ke rumah kita.
InsyaAllah tiadalah lagi anak yang dirasuk histeria kerana nafsu seks bebasnya disekat, ajakan boyfriend mereka kita nafikan, gajet kesukaannya kita ambil dan sebagainya. Jika adapun gajet yang sama, mereka akan gunakannya dengan amanah untuk mendekati Allah, usrah di alam maya, mencari ilmu di google dan laman sosial tanpa kepentingan nafsu syaitan seperti menayangkan tubuh melalui webcam, menonton porno dalam bilik dan sebagainya.
Syaitan dan malaikat itu dibezakan melalui ciri, sifat dan tabiatnya. Bila kita tidak kenal syaitan maka berkawanlah kita dengannya dan menyuburkan pula tabiat syaitan itu dalam diri kita.
Kita juga tidak kenal apa itu hakikat malaikat. Kerana itu kita tidak suka bertembung dengannya. Itulah pepatah melayu yang berbunyi,“Huh.. selisih malaikan 44”. Padahal MALAIKAT adalah pembawa rahmat. Alangkah malangnya kita..!!!
Cara inilah juga RPWP menghalau syaitan dalam diri warganya. Bagaimana? Kami baca quran dan meneliti sunnah. Kami cuba fahami dan berusaha melaksanakan bersungguh-sungguh tanpa kepentingan diri. Itulah ciri malaikat yang cuba ditanamkan ke dalam diri masing masing.
Kami teliti juga segala ciri atau tabiat syaitan dan berusaha membuang tabiat itu dari diri kami. Inilah juga cara kami menghalau syaitan yang bertandang ke RPWP atau ke Page kami. Mereka yang tidak ikhlas, datang atau berhujah dengan niat serong akan dengan sendirinya terusir kerana direjam fahaman jahat (rejim)nya dengan amalan wahyu dan sunnah yang difahami dengan jelas.
Kami berdoa agar anda dapat cerap mesej yang ringkas tapi amat berat ini.
Kudap Parenting
Warga Rpwp
No comments:
Post a Comment