Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Friday, 22 May 2020

IBADAH YANG PALING AFDHAL

Arkib : 08 Mei 2020

IBADAH YANG PALING AFDHAL

1. Ibadah peribadi yang paling afdhal dilakukan ialah solat. Solat lebih afdhal dari tilawah al-Quran, zikir, tasbih, takbir, doa’, tahlil dan sebagainya. Sebabnya di dalam solat itu sedia terkandung tilawah al-Quran, bahkan rukunnya ialah ayat yang terafdhal iaitu surah al-Fatihah. Demikian juga di dalam rukun dan sunat solat terkandung takbir, tahmid, tasbih, tasyahhud, selawat  dan doa’.  Selawat dalam sembahyang ialah selawat Ibrahimiah yang merupakan bentuk selawat yang terafdhal. Malah kelebihan doa’ sahaja pun sudah dianggap sebagai otak ibadah, apatah lagi doa yang dipinta di dalam solat. Anas bin Malik r.a. meriwayatkan dari Nabi s.a.w

الدُّعَاءُ مُخُّ الْعِبَادَة

"Doa’ itu otak ibadat".  (Riwayat imam Tirmizi).

2. Pahala membaca al-Quran yang paling minimum ialah sepuluh pahala bagi setiap satu huruf yang dibaca. Imam al-Ghazali menyatakan; pahala akan bertambah menjadi dua puluh lima jika membaca al Quran dalam keadaan berwuduk. Lebih afdhal dari itu ialah membaca al-Quran di dalam solat. Ganjaran membaca al-Quran di dalam solat secara duduk ialah lima puluh manakala membaca al-Quran dalam solat berdiri pula ialah seratus kali ganda bagi setiap huruf yang dibaca. Oleh itu panjangkanlah bacaan al-Quran sewaktu mengerjakan solat secara bersendirian dan solat-solat sunat.

3. Membaca al-Quran di dalam solat lebih afdhal dengan cara hafazan bukannya dengan melihat mushaf di hadapan, terutamanya bagi solat fardu. Sebab itulah afdhal memilih imam yang alim, qari dan banyak menghafaz al-Quran. Janganlah melihat al-Quran sewaktu solat fardu kecuali dalam keadaan darurat. Adapun bagi solat sunat harus melihat mushaf. Bagi solat fardu, lebih afdhal membaca al-Quran dari ayat-ayat yang mudah dan sudah dihafaz berbanding membaca yang ayat yang panjang dengan melihat mushaf. Firman Allah dalam surah Muzammil ayat 20;

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ
"Maka bacalah yang mudah dari al-Quran"

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ ۚ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
"Maka bacalah yang mudah darinya dan dirikanlan solat."

4. Solat sunat yang paling afdhal dipanjangkan bacaan al-Quran ialah solat sunat waktu malam. Contohnya ialah solat Tahajjud dan solat Teraweh. Firman Allah dalam surah al-Muzammil ayat 6: 

إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا
"Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan."

Khuzaifah al-Yaman menyatakan bahawa beliau pernah mengikut Nabi s.a.w. menunaikan sembahyang malam. Selepas membaca al-Fatihah baginda membaca surah al-Baqarah sehingga akhir. Khuzaifah menyangka Baginda akan ruku’, rupanya Baginda menyambung dengan surah Ali Imran sehingga akhir. Khuzaifah sekali lagi menyangka Baginda akan ruku’, rupanya Baginda menyambung dengan surah an-Nisa’ hingga akhir barulah Baginda ruku’ bagi rakaat yang pertama.  Maksud hadis riwayat Muslim.

5. Imam an-Nawawi menyatakan dalam kitab al Azkar bahawa, ramai orang-orang Salaf mengkhatamkan bacaan al-Quran setiap minggu. Ramai juga yang mengkhatamkan al-Quran tiga hari sekali. Ada yang mengkhatamkan sehari sekali. Ada yang mengkhatamkan tiga kali sehari. Bahkan ada yang mengkhatamkan al-Quran lapan kali sehari, empat kali siang dan empat kali malam terutamanya bulan Ramadhan. Uthman bin Affan, Tamim ad-Dari dan dan Said bin Jubair dikatakan mengkhatamkan al-Quran dalam satu rakaat solat sahaja.

6. Sempena dengan bulan Ramadhan al Mubarak, bulan al-Quran dan bulan Kesabaran ini, marilah kita sama-sama menumpukan akal minda dan usaha kita kepada menghayati ajaran al-Quran, menjauhi prasangka buruk sesama Islam, mengusahakan kesatuan umat agar rahmat Allah benar-benar melimpah kepada kita. Ramadhan, tilawah dan puasa menjadi tidak bermakna jika kita terus dengan dendam mendendam, fitnah memfitnah, menghantar mesej mengadu domba menghina dan membenci sesama Islam. Awas janganlah kita jadikan puasa kita hanya menghasilkan lapar dan dahaga sahaja.

7. Pahala membaca al-Quran dalam solat boleh dimaksimumkan lagi jika solat itu di dirikan di dalam masjid sewaktu beriktikaf pada malam-malam 10 terakhir bulan Ramadhan. Marilah kita sama-sama membanyakkan doa’ agar Allah Taala menghapuskan Covid-19 dari Negara kita dan Negara umat Islam lain sempena ketibaan 10 terakhir bulan Ramadhan ini. Dengan itu dapatlah kita beribadah dan beriktikaf di masjid ketika itu.

8. Pahala membaca al-Quran juga akan terus meningkat jika pembaca al-Quran itu membaca dengan tajwid, memahami pengertian ayat yang dibaca, menghayati dan mempraktikkannya

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: "Apabila masuk bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan."

Salam Ramadhan dari saya.
Dato’ Ust. Hj. Asad bin Awang.

Semua penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis. Sila beri teguran jika terdapat kesilapan.

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...