🔴 KISAH PARANG TERBANG SUNGAI MANIK | PERAK
https://www.youtube.com/watch?v=sVfkgldjjko
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Tentera Sabil Geng Parang Terbang Sungai Manik Perak"
(KISAH BENAR PIMPINAN AL-MARHUM TUAN GURU HAJI BAKRI MENENTANG KOMUNIS)
Antara tokoh pejuang dan juga seorang ulama yang memimpin "Orang Banjar Sungai Manik Menentang Komunis" ialah Allahyarham Tuan Guru Haji Bakri yang sentiasa menjadi sebutan sehingga hari ini. Kerana ketinggian ilmu agamanya, tokoh itu sentiasa menjadi rujukan penduduk kampung yang memerlukan bantuan dan pertolongan sewaktu saat genting kampung itu dikuasai pengganas komunis.
Terdapat satu kisah bagaimana sekumpulan penduduk kampung berketurunan Banjar berjaya membunuh beberapa pemimpin komunis yang bermarkas di Sungai Manik masih lagi diceritakan kepada generasi muda di situ sehingga hari ini.
“Ketika itu, setelah kematian seorang anak murid Tuan Haji Bakri dikenali sebagai Utoh Putih yang mempunyai kehandalan melawan musuh kerana dibunuh komunis, penduduk kampung telah berkumpul dan berpakat untuk membalas dendam serta menghapuskan kekejaman pengganas komunis.
“Kebetulan, sebelum itu, pihak pengganas komunis telah meminta agar beberapa wanita di kampung itu diserahkan kepada mereka untuk bekerja di dalam hutan. Jika tidak, penduduk kampung diancam dibunuh komunis,”
Maka, Tuan Guru Haji Bakri dan penduduk kampung berpakat mencari beberapa perempuan sebagai umpan untuk menjerat ketua-ketua komunis.
Kisah Perang Sungai Manik turut diceritakan oleh Hj Asmuni Abdul Rahman, yang pernah berguru dengan Tuan Guru Haji Bakri ketika itu. Menurutnya, setelah penyamaran berjaya, pemuda-pemuda tersebut yang bersenjatakan parang dapat membunuh kesemua ketua komunis tersebut. Malangnya, kejayaan tersebut sebenarnya membuatkan pengganas komunis berterusan menyerang kampung itu tidak lama kemudian.
Maka berkatalah Allahyarham Tuan Guru Haji Bakri,
"Kalau sampai menagih perempuan, itu sudah benar-benar melampau” ujar Tuan Guru yang sudah mula rasa geram. "Tak ada lain melainkan parang bungkol lawannya si haram jadah ni,” bebel Tuan Guru yang sudah merah mukanya kerana marah.
Kemudian Tuan Guru Haji Bakri membuat pakatan sulit dengan warga Banjar Bendang DO yang bersetuju untuk menentang komunis.
Sebagai permulaan, lapan orang perempuan berjaya dikumpulkan, tapi kemudiannya hanya lima orang yang setuju, itu pun setelah jenuh memujuk. Memang benar pun, siapa lah yang sudi dijadikan hamba seks kepada pengganas komunis yang celaka itu.
“Bukan kami bodoh menghulur bulat-bulat warga yang masih sunti melainkan ada helah, untuk dibuat umpan sementara,” kata Tuan guru Haji bakri untuk memberi keyakinan dan jaminan kepada perempuan yang menjadi sukarela sebagai umpan komunis.
Tempoh yang diberikan PKM hanya tinggal tiga hari saja lagi. Warga Banjar masing-masing sibuk mengasah parang bungkol yang beranika gelaran. Tajamnya si Kandal Larap boleh dijadikan pisau cukur untuk membotakkan kepala. Ketika itulah dapat dilihat pelbagai ilmu dan amalan orang Banjar. Ada yang berendam semalaman dalam perigi buruk, ada yang berwirid siang malam tanpa henti, mandi buluh dan bermacam lagi petua. Betapa tidak, perjuangan antara hidup dan mati bukan boleh diambil mudah.
Rumah Tuan Guru Hj Bakri bersebelahan surau Parit 8, boleh tahan juga besarnya. Diperbuat dari kayu baik pada zaman British – kukuh dan padu. Dalam rumah itulah warga Banjar mengatur strategi untuk berdepan dengan pengganas komunis. Berkilau-kilauan mata parang bungkol pusaka warisan dari moyang mereka yang dibawa dari kampung halaman di negeri Banjar, dan kebanyakannya sudah pernah dibasahi darah tentera Belanda di Kalimantan ketika Perang Banjar.
Memang sudah terbukti kehebatan parang-parang tersebut ketika digunakan memerangi penjajah di Kalimantan dulu. Pada masa itulah terkeluar nama atau gelaran yang tak pernah didengar sebelumnya. Ketika itu, Tuan Guru Haji Bakri tak ada anak lelaki dewasa di Sungai Manik, yang ada hanya seorang cucu lelaki yang masih remaja berusia awal 20an. Acil, nama cucu kesayangannya.
Buasnya boleh tahan juga, tak jauh bezanya dengan anak-anak hari ini. Disebabkan kenakalan itulah, Tuan Guru Haji Bakri segera menurunkan ilmu kepada cucunya. Maka semakin bertambahlah kejaguhan si teruna ini.
“Nah, buat genggaman mu,” Tuan Guru Haji Bakri menghulur parang bungkol si “Mandam Layu” kepada cucunya. Fuh, cantik sungguh; hulunya diukir dari akar haur (buluh) betung, rumbai perca kain merah di hujung menambah keampuhann bila dipandang. Apa lagi, gembira lah si Utoh Acil menerimanya.
Sunyi sepi seluruh Bendang DO kerana setiap buah rumah telah dikosongkan, penghuninya berpindah ke rumah Tuan Guru – markas warga Banjar di Parit 8.
“Mudah-mudahan kita semua dilindungi Allah…Allahuakbar” ujar Tuan Guru Haji Bakri ketika melepaskan warga Banjar memulakan gerak menghampiri markas PKM di muara Bendang DO tengah malam itu.
Mereka bergerak seperti Ninja. Yang masih tinggal bersama Tuan Guru ialah Emoh, Acil, Sukri, Sabran, Ali dan Amat Tuban. Tak ikut serta bukan bererti penakut tapi ada rencana dan perkiraan tersendiri.
Ketika pagi isnin, dengan terbitnya matahari di ufuk timur, maka sampailah sudah saat dan ketikanya warga Banjar di Bendang DO membuat perhitungan dengan gerombolan haram jadah – tentera PKM. Semakin bercahaya wajah 8 orang perempuan Banjar yang sudah disolek dan didandan termasuk la 3 orang lelaki yang menyamar jadi perempuan si emoh, acil dan sabran.
Kira-kira jam 9.00 pagi, berduyun-duyun ‘perempuan’ Banjar tersebut berjalan sebaris meghala ke markas PKM di muara Bendang DO, didahului oleh Ali dan Amat Tuban sebagai wakil penyerahan. Mereka berdua dilarang membawa sebarang senjata. Tapi, orang Banjar takkan sanggup meninggalkan senjata apatah lagi bila menghala ke medan juang.
Pisau belati setajam pisau cukur sudah lama tersisip di pinggang masing-masing. Cuma baju saja yang membuatnya tak dapat dilihat dengan mata kasar. Gerombolan komunis di markas Bendang DO terbahak-bahak ketawa, macam tak sabar lagi menanti lebih-lebih lagi tiga orang kepala komunis bernama Ah Boon, Ah Pau dan Ah Jang “Syok mau mali hooo….”
Tuan Guru Hj Bakri yang tinggal seorang diri tidak bersuara lagi, tasbih di tangan langsung tak dilepaskan, berwirid tanpa hentu di dalam surau. Kanak-kanak yang masih kecil pun tak berani menghampiri. Pada Jam 10, deretan “perempuan” tiba di hadapan markas PKM di muara Bendang DO. Lantas si Amat Tuban dan Ali menyerahkan mereka kepada ketua komunis.
Semakin kuat gelak ketawa mereka, gembira tak terperi ibarat bulan jatuh ke riba. Tak disangka warga Banjar seluruh Bendang DO yang kononnya berani menentang Bintang Tiga hanya omong kosong. Riuh rendah markas dengan dialog Cina, mengumpat orang banjar.
“Hei tepilah…lu sana” salah seorang kepala komunis menengking sambil menolak kasar si Ali dan Amat Tuban. Tiga orang kepala komunis terus memeriksa dari depan ke belakang, menyelak selubung satu persatu. Rambang mata. Yang lainnya turut sama berkerumun tak ubah seperti anjing yang lapar. Akhirnya gian hingga tak terjaga lagi markas taktikal.
Sampai kegiliran diyang (gelaran anak dara Banjar) cantik yang kelima, si Ah Boon kepala komunis…“Ai yaaa…manyak cantik lo ha…” jarinya mula hendak merayap kerana teringin benar menyentuh. baru hendak memeluk untuk mencium…
“Bangsat, seteru babi haram jadahhh…Allahuakbarrr!!!” Tengking si Emoh dengan kuat. “Nah ambil habuan engkau sangkala.”
Melibas parangnya si "Kandal Larap" hinggap ke sasaran tanda patuh kepada tuannya. Bergolek kepala si haram jadah jatuh ke tanah bercerai dengan badan, membuak darah dalam jantung membasahi bumi Sungai Manik. Acil menerkam si Ah Jang yang sedang tergamam.
Di libas parangnya si Mandam Layu hinggap, layu dan longlai leher si Ah Jang terkena libasan parang bungkol si Mandam Layu. Sebiji lagi kepala ketua komunis gugur ke bumi.
Bukkk…tetakan diayun oleh Sabran. Ternyata benar si "Tungkih Kiwang" (Nama parangnya) tak pernah ingkar kepada tuannya – putus dua badan si Ah Pau. Masih belum puas – memenggal puluhan leher musuh. Putus serta merta bergelimpangan kepala komunis di halaman markas PKM Bintang Tiga.
Warga Banjar Bendang DO yang sudah setengah malam bersembunyi dalam parit tak berair bingkas keluar bak cendawan busut, mengejar anak buah Bintang Tiga yang sedang dalam kebingungan.
“Allahuakbarrr!!!” Sebaik saja menghampiri musuh yang sedang lintang pukang, mereka terus melibaskan parang. Belum sempat mengangkat senapang, tubuh mereka sudah dihinggapi parang bungkol. Fuh, macam menebang batang pisang.
34 orang orang anggota PKM terdampar di tangan Banjar Bendang DO. Darah merah membasahi bumi, mayat-bergelimpangan, senjata musuh bertaburan. Mujurlah tak seorang pun warga Banjar yang terkorban atau tercedera, cuma baju dan seluar mereka saja yang merah terkena percikan darah musuh.
Bangsal komunis diselongkar. Ceh, yang ada cuma seguni beras dan perkakas memasak. Tanpa banyak bicara, Acil memikul guni beras untuk dibawa balik.
Namun, tak sepucuk pun senjata raifel MK5 yang bertaburan diambil. Tak teringin langsung, tak berkenan makanya dibiarkan begitu saja. merah menyala. terbakar. markas kecil PKM di muara Bendang DO dibakar. Dengan itu berbalaslah sudah kematian arwah si Utoh Putih.(Anak murid Haji Bakri)
Azan di surau menandakan masuknya waktu Zohor. Selepas menunaikan solat dan makan tengahari, para pejuang Banjar merebahkan badan kepenatan, memenuhi anjung, pelantar, serambi dan surau kecuali Acil, Emoh dan Sabran. Mereka bertiga menceritakan perlaksanaan rancangan yang serba serbinya berjalan lancar. Tuan Guru Haji Bakri hanya senyum mendengar mereka bercerita.
Markas besar PKM di Sungai Tungko gempar seperti anak ayam kehilangan ibu. Kekalahan yang tidak diduga – tiga orang pegawai mereka terkorban – bak tikaman duri berbisa dalam sejarah perjuangan PKM di Hilir Perak. Sementara menanti ketibaan pegawai lain, tak seorang pun anggota komunis yang berani menunjukkan muka di Bendang DO.
Lain pula kisahnya dengan warga Banjar yang berhimpun di rumah Tuan Guru. Lelaki dan perempuan sibuk menggunting kain bakal dibuat wafak Selindang Merah.
Tuan Guru Hj Bakri sudah mendapat firasat: pertumpahan darah di muara Bendang DO takkan berakhir begitu saja. Warga Banjar seluruh Sungai Manik harus membuat persediaan awal untuk menghadapi peperangan terbuka, dan mungkin berpanjangan. Peperangan seterusnya bukan saja tertumpu kepada penentangan terhadap PKM, tapi melibatkan sengketa kaum dan agama. Kalau sudah begitu kehendaknya, terpaksalah diteruskan juga. Alang-alang bermandi darah biarlah sampai ke titisan terakhir.
Mentang-mentang sudah dapat. Ketua baru yang datang dari pangkalan PKM di Sungai Galah, Tanjung Tualang, pengganas komunis di Sungai Tungko makin mengganas membalas dendam gamaknya. Setiap kampung berhampiran Sungai Tungko habis diganggu, harta benda diambil, anak dara dan isteri orang sudah tak berkira lagi. Siapa yang berani melawan alamat tersungkur jadi sasaran peluru raifel MK5. Anak kecil yang masih dalam buaian pun turut jadi korban, tanpa rasa belas kasihan. Tak cukup dengan perlakuan begitu, surau pula hangus dibakar.
Pejuang kemerdekaan tahi palat lah kalau begini!
“Sampai sudah waktunya kita berjuang warga banjar demi Allah dan Rasulnya…….Maka aku istiharakan Fisabilullah……Allahuakbarrr!” Guru Hj Bakri menjerit dengan kuat.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!!!” warga Banjar menyahut seruan.
Setelah mendengar berita tentang tertewasnya gerombolan komunis di muara Bendang DO, keluarga Melayu yang menghuni perkampungan di pinggir Sungai Perak pula yang dijadikan mangsa PKM. Puluhan warga Melayu datang menemui Tuan Guru Hj Bakri meminta ilmu peperangan.
Walaupun hanya diberi minum air jampi, itupun sudah cukup untuk meyakinkan orang Melayu yang berjanji untuk sama-sama menyerang PKM di Sungai Tungko. Sementara itu, warga Banjar pula sebulat suara melantik Acil, cucu Tuan Guru sebagai Khalifah Fisabilullah – walaupun masih muda tapi ilmu sudah penuh di dada.
“Dengar, dengar semuanya, esok selepas Subuh kita bergerak menyerang markas si haram jadah di Sungai Tungko…Allahuakbar!!!” ujar si Acil memberi taklimat.
Hari masih lagi kelam selepas solat Subuh dan mereka bersarapan seadanya, warga Banjar yang bakal pergi menyerang markas PKM masing-masing menyarung pakaian serba putih, selendang merah melilit badan, tanjak di kepala juga berwarna merah, parang bungkol bergemerlapan.
Waduh, melihat pakaian begitu pun sudah boleh menimbulkan kegerunan, itu belum lagi berhadapan – meremang bulu roma. Sebaik saja selesai bacaan doa oleh Tuan Guru, mereka terus menuju Sungai Tungko.
Tak siapa dapat menduga, rupanya gerombolan PKM sudah sedia menanti ketibaan warga Banjar – seperti sudah dijanjikan. Laras raifel MK5 sedia tertatang, jari melekat di pemetik senapang, dan sebentar lagi bakal berterbanganlah peluru.
Di surau Parit 8, Tuan Guru Haji Bakri terus berzikir tanpa henti. Hanya Pakcik Sukri yang ulang alik ke rumah mengawasi anak isteri warga Banjar yang ditinggalkan demi Fisabilullah.
“Fisabilullah…Lailahaillallah…Allahuakbar!!!” jerit si Acil sebagai Khalifah perang memberi isyarat bermulanya peperangan.
“Lailahaillallah…” bergema suara warga Banjar berkalimah tanpa henti.
Selepas itu, bunyi peluru berterbangan, macam air hujan rancaknya peluru meninggalkan muncung senapang. Gerombolan PKM tercengang kahairanan kerana tak seorang pun warga Banjar yang dihinggapi peluru. Tanpa disedari, pejuang Banjar hanya sedepa di depan mata. Mata parang bungkol menetak pantas menghayun sekehendak hati. Senjata api yang dimegahkan oleh komunis nyata tidak bermakna lagi. Akhirnya dibuat penangkis tetakan pejuang Banjar.
Si Kandal Larap dan adik beradik parang bungkol lainnya ketawa riang bermandikan darah. Cair. markas besar PKM Sungai Tungko dihancurkan warga Banjar Bendang DO. Baju dan seluar masing-masing basah kuyup, hinggakan boleh diperah kerana dibasahi darah pengganas komunis.
“Allahuakbarrrr…” takbir si Acil khalifah parang bungkol meminta warga Banjar berhenti. Bergelimpangan mayat, merah bumi Sungai Tungko dibasahi darah. Namun, lima orang ketua PKM terlepas lari meninggalkan medan peperanagan.
Lari bukan sebarang lari. PKM yang pendendam dan kental dalam perjuangan tak akan membiarkan begitu saja.
Belum sampai seminggu selepas pertempuran di Sungai Tungko, berduyun-duyun ahli PKM datang dari setiap penjuru pos PKM di daerah Hilir Perak menghala ke Sungai Manik. Pertemuan kali kedua lebih hebat lagi. Bukan setakat rifel MK5 saja yang mereka gunakan, bertimbun Bren Gun dan berpeti-peti banyaknya bom tangan yang seperti buah jambu batu.
Namun, tak sedikit pun dapat melunturkan semangat juang warga Banjar Sungai Manik. Selain parang bungkol, kalimah “Lailahaillallah…Allahuakbar” itulah yang dipegang sebagai senjata utama warga kita.
Peperangan seterusnya tak dapat ditamatkan dalam sehari seperti sebelumnya. Sudah jadi syarat ilmu Tuan Guru Haji Bakri, walau musuh sedang mengamuk sekalipun, bila sampai masanya untuk berhenti, maka terpaksalah dihentikan…siapa yang berani melanggar syarat akan menerima padah.
Acil, khalifah parang bungkol Sungai Manik baru saja melaungkan kalimah “Allahuakbar” sebagai isyarat menghentikan peperangan untuk hari itu. Seperti biasa, para pejuang Sabilullah berkumpul untuk mengira dan mengenal-pasti setiap orang, manalah tahu kalau-kalau ada yang gugur, atau ada lagi yang masih meneruskan pertempuran.
Pernah terjadi seorang warga Banjar tak ada dalam perhimpunan. Melihat ketiadaan adiknya, si abang melanggar pantang larang dengan berpatah balik mengejar musuh dengan geram. Akhirnya abang dan adik hilang dan tak muncul lagi.
Sudah genap sebulan Perang Sabil di Sungai Manik, tapi masih belum menampakkan tanda akan berakhir. Bertimbun, bergelimpangan mayat komunis namun mereka masih belum serik, malah semakin cekal. Kekuatan mereka bertambah saban hari, entah dari mana datangnya tak pula diketahui.
Dalam pada itu, gerombolan komunis di Seberang Sungai Perak makin mengganas, menyiksa dan membunuh orang Banjar dan Melayu di Kampung Gajah dan Balun Bidai. Orang Cina tidak pula diapa-apakan malah dijaga dengan baik. Begitu agaknya taktik kotor komunis untuk melemahkan semangat pejuang Sabilullah di Sungai Manik.
“Kalau berita baik, bawalah kemari, kalau buruk jauhkanlah” begitulah selalunya kata-kata orang tua Banjar bila mendengar kicau murai diwaktu senja. Betapa ada kebenarannya. Selepas solat Isyak malam itu…
“Assalamualaikum!!!” kedengaran suara memberi salam di depan surau. Serentak jemaah menyambut salam. Setelah diamati.. bergegas Tuan Guru turun ke tanah lalu memeluk sambil menepuk belakang oramg yang memberi salam.
“Selamat datang adikku” kata-kata aluan Tuan Guru membuat warga Banjar lainnya terpinga-pinga kerana tak seorang pun yang kenal. Masmuda (Panglima Kiyai Salleh), adik Tuan Guru Hj Bakri baru saja tiba dari Batu Pahat.
Si Acil terus menerkam datuk saudara yang tidak kurang hebatnya. ialah, kalau sudah sedarah sedaging, ke mana lagi tumpahnya ilmu. Perang Sungai Manik sedang rancak, keadaan di Balun Bidai dan Kampung Gajah semakin genting. Saban hari gerombolan komunis mencari pasal.
“Tak boleh dibiarkan, semakin menjadi-jadi benar keganasan mereka” rungut Tuan Guru Hj Bakri bercampur marah. Para pejuang Sabilullah sepakat melantik Masmuda sebagai Khalifah perang mengganti Acil di Sungai Manik. Tuan Guru Hj Bakri dan Acil pula akan turun ke Balun Bidai secepat mungkin. Wafak Selindang Merah dibuat khusus untuk warga di seberang Sungai Perak. Salah seorang tukang tulis kalimah Allahuakbar Selindang Merah bernama Asmuni.
Hj Asmuni, tukang tulis kalimah Allahuakbar di Selendang Merah sedang memegang tongkat peninggalan arwah Tuan Guru Haji Bakri Pertama kali Masmuda memimpin pejuang Sabilullah di Sungai Manik, ketara benar kehebatannya. Musuh melepaskan tembakan ke atas, peluru berterbangan seperti air hujan menerjah angin kosong.
Pada pandangan mereka, para pejuang Sabilullah semuanya tinggi, setinggi pohon getah maka itulah mereka asyik menghalakan tembakan ke atas. Ketika itulah para pejuang Sabilullah menyerbu, menebas, menetak dan memancung musuh. Baru sekejap, bersih medan pertempuran.
Namun, antara musuh yang gugur di hujung parang bungkol pejuang Banjar, terdapat ramai yang menyebut kalimah Allah. Setelah diamati ternyata mereka adalah orang Melayu dan Banjar yang sudah terpedaya menyertai perjuangan komunis. Dalam pertempuran sukar untuk mengasingkan antara Banjar, Melayu dan Cina kerana mereka semuanya menyarung pakaian seragam Bintang Tiga.
Para pejuang PKM masih lagi berdegil, tak mengerti makna putus asa. Sambil menanti bantuan dari Sungai Karang seberang Teluk Anson, mereka meneruskan perjuangan.
Mujurlah Allah tidak mengizinkan. Tongkang yang sarat membawa gerombolan PKM karam di tengah Sungai Perak, tak jauh dari Pulau Galagak dekat pelabuhan Teluk Anson.
Melambak gerombolan Cina komunis yang tak pandai berenang tenggelam batu dan mati lemas. Manakala gerombolan komunis bangsa Melayu dan Banjar yang rata-ratanya pandai berenang terselamat dan sempat berenang ke Pulau Galagak. Kalau tidak, pastinya sesama Islam bakal bertempur di Sungai Manik. Sesungguhnya Allah lagi maha mengetahui.
Berita yang melemahkan perjuangan PKM – ranapnya pejuang mereka di Sungai Manik di tangan warga Banjar di bawah pimpinan Masmuda, panglima Selendang Merah Batu Pahat, Johor.
Dalam pada itu, ramai orang Melayu dan Banjar di Balun Bidai, Kampung Gajah dan kampung-kampung berhampiran memilih untuk lari ke dalam hutan meninggalkan rumah masing-masing kerana komunis semakin mengganas, menembak rumah membabi buta. Mengamuk kononnya. Untuk apa melepaskan geram terhadap mereka yang tak tahu menahu!
Lain pula ceritanya dengan kaum Cina yang menghuni kawasan sekitar. Hampir semuanya menyokong perjuangan PKM, dan kerana itulah mereka tidak di ganggu.
Tuan Guru Haji Bakri, Acil dan Emoh selamat menyeberang Sungai Kinta dan sampai di Kampung Changkat, Bayas, Balun Bidai. Sungguh tak disangka rupanya warga Banjar di situ tak juga kurang keberanian mereka. Acil pula dilantik sebagai Khalifah surau Changkat Bayas, markas pejuang Sabilullah di Balun Bidai.
Selendang dan tanjak merah yang dibawa dari Sungai Manik diagih-agihkan sehelai seorang. Pun begitu, sekiranya ada yang memiliki ‘wafak’ sendiri, mereka dibenarkan memakainya. Begitulah cara orang Banjar – walau setinggi mana pun ilmu sendiri, namun ilmu orang lain tetap dihormati. Mencerca menghina kebolehan orang lain bukan Banjar namanya.
Siang malam kedengaran bunyi tembakan di pinggir Balun Bidai, entah apa yang mereka tembak tidak pula diketahui. Membunuh dan menyiksa orang, itu sajalah kerja mereka. Setengahnya bertujuan menakutkan – konon komunis masih lagi kuat walaupun sudah tewas di Sungai Manik. Hii, geram betul.
Pada mulanya hampir tujuh puluh orang warga Banjar yang sanggup turut serta sebagai pejuang Sabilullah. Yang penakut dibenarkan tinggal mengawasi anak isteri mereka yang bakal pergi menyerang markas PKM di tebing Balun Bidai. Tuan Guru Haji Bakri tetap seperti biasa – bersendirian berzikir dan membaca ayat-ayat di surau. Sampai saat dan ketikanya, pergilah para pejuang menuju sarang komunis di tebing Balun Bidai.
"Lailahaillallah…Allahuakbar!!!” maka bermulalah Perang Sabil di daerah Kampung Gajah, Perak. Khalifah Acil yang masih muda sudah berbulan menentang musuh di Sungai Manik. Boleh dikatakan setiap kali pergi berjuang, darah musuh sampai kering di badan. Medan pertempuran dibuatnya seperti padang permainan. Degil, menari. menahan tembakan komunis membuat musuh semakin geram. Ditembak tak langsung memberi bekas.
Musuh semakin menghampiri para pejuang Sabilullah.
“Timpasss!!!” (tetak) ujar si Acil berteriak. Apa lagi, parang bungkol terus mandi darah. Peperangan di Balun Bidai melahirkan seorang lagi wira Banjar bernama Mawi, pemilik parang bungkol bergelar si Kajang Rungkup. Kalau berhadapan musuh, dia tidak teragak-agak untuk menerkam dan menyembelih, seperti menyembelih leher lembu.
Yang menghairankan, musuh yang sudah kena terkam langsung jadi lemah tak bermaya untuk melawan. Itulah keajaiban parang bungkol si Kajang Rungkup.
Setelah berakhir perang di Balun Bidai, Acil diberi gelaran “Acil Wani” (Acil Berani). Sebut saja nama Acil, seluruh warga Banjar kenal padanya.
Bela bukan sebarang bela, bela ada muslihat. Warga Cina yang ramai bermastautin di setiap pelosok Kampung Gajah sudah mula mencebik bila bertemu orang Melayu.
“Wahai kaumku, Perang Sabil saja diolah oleh orang Melayu yang banyak menjurus kepada perkauman. Mereka merancang untuk menghapuskan bangsa Cina seluruh Tanah Melayu, itulah tujuan sebenarnya. Tergamakkah tuan-tuan membiarkan bangsa sendiri hancur lebur dipijak-pijak orang Melayu? Tentunya kalian tak sanggup. Nah apa lagi yang ditunggu, jom kita bersatu, kita tentang sampai ketitisan darah terakhir!” begitulah bunyinya kempen PKM setiap kali bertemu orang Cina di Kampung Gajah. Mereka yang sudah rasa terhutang budi kerana selama ini dilindungi, dijaga sebaiknya oleh PKM akhirnya bersetuju berjuang demi bangsa dan agama mereka.
Orang Cina tak dapat melihat muslihat di sebalik kemanisan kata-kata PKM – memperbodoh orang Cina untuk kepentingan sendiri dengan melagakan Cina dan Melayu. Betapa tidak, sudah banyak pengganas komunis kecundang di tangan pejuang Banjar.
Orang Cina mula menghimpunkan serba serbi keperluan – parang besar, parang bengkok, kayu pengandar tempinis seadanya dengan tujuan untuk berperang. Sekiranya terserempak dengan orang Melayu, tak kira kecil atau besar bakal habislah mereka kerjakan.
Pertemuan secara berdepan antara pejuang Sabilullah dengan orang Cina dan pengganas komunis di pinggir Kampung Sungai Galah tak kurang jua sengitnya dibandingkan dengan yang sebelumnya. Lenguh tangan warga Banjar kerana terlalu pantas mengayun parang bungkol. Baju dan seluar basah kuyup dengan darah. Mayat musuh bergelimpangan di sana sini, namun jumlah mereka masih belum berkurangan, malah semakin ramai.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!!!” jerit si Acil tiga kali sebagai isyarat supaya berundur seketika untuk menghilangkan penat dan membuat strategi lain. Melihat pejuang Sabilullah mula berundur, warga Cina riuh mangajuk zikir Lailahailallah.
“Lailahailalit…Malayu kasi habit!!!” mereka merasakan sudah beroleh kemenangan.
Mendengar zikir dipermainkan, Mawi si Kajang Rungkup hilang sabar. Serta merta dia berpatah balik mengejar musuh. Sayang, hajatnya untuk menerkam tak kesampaian. Bertalu-talu peluru Bren Gun komunis hinggap ke badan. Huyung hayang Mawi lalu rebah.
“Habislah Mawi!!!” semua warga Banjar yang melihat terasa sedih.
Tak sampai 10 minit berselang, Mawi yang bergolek kesakitan di atas tanah bingkas bangun.
“Mati aku, mati aku, mati aku!” ujar Mawi yang berlari anak balik ke kumpulan, sambil mengibas membuang peluru yang sudah leper yang melekat penuh seluruh badan. Mawi yang disangka sudah mati rupanya masih hidup.
"Rasa berbahang Cil ai…hampir terbakar aku abang Emoh ai!” ujar Mawi mengadu. Khalifah Acil ketawa terbahak-bahak, tak dapat menahan kelucuan teringat karenah Mawi.
Senyum meleret si Emoh sambil mengipas Mawi yang sedang kepanasan, tapi masih lagi boleh bergurau. Begitulah karenah orang Banjar. Mawi, kalau belum sampai ajal sememangnya kebal. Bukan sekali dua dia kena begini.
Masa bertugas sebagai Home Guard mengiringi tuan lombong orang Inggeris Changkat Tin, dia pernah diserang hendap oleh Bintang Tiga ketika sedang menaiki keretapi kecil pengangkut bijih timah. Terpandang tuan orang Inggeris yang sudah mati terkena tembakan, Mawi melepaskan raifel di tangan lalu mengejar komunis dengan parang bungkol. 5 orang pengganas maut ditetak dengan Kajang Rungkup. Entahlah, adakah anak-anaknya yang mewarisi ilmu si bapa!
Hari semakin lewat, para pejuang Sabilullah terpaksa meninggalkan medan perjuangan kerana masa dan ketika untuk berhenti sudah pun tiba. Musuh masih riuh berteriak mengajak berlawan tanda tak puas hati, tapi setelah tak dilayan, mereka pun senyap. Mawi yang masih sakit seluruh badan dibawa balik.
Sementara itu, orang Melayu dari Kampung Gajah berduyun-duyun datang menemui Tuan Guru Haji Bakri di surau Changkat Bayas. Tak sampai sepuluh orang yang sempat memperoleh selendang merah kerana itu sajalah baki yang ada. Walau bagaimana pun, semuanya diberi minum air perangsang dan diberi amanat – kalau boleh, hapuskan saki baki dan zuriat komunis di Kampung Gajah.
Memang menjadi, tak sia-sia pemberian Tuan Guru. Tak sempat menunggu esok sudah riuh dan gempar orang Melayu menyerang orang Cina di Kampung Gajah. Di mana saja terdapat kediaman mereka, habis dimusnahkan.
Orang Melayu di Kampung Gajah sudah jadi berani setelah menuntut ilmu orang Banjar – angkara Ali Amin yang memperdagangkan ilmu kepada orang Melayu.
Ali Amin…..kerana tak mahu bekerja seperti orang lain, bila tak berduit, ilmu dijualnya. Hampir tercetus pergaduhan dimarahi Acil dan Emoh.
Oleh kerana malu, akhirnya dia meninggalkan Balun Bidai, dan terus hilang tanpa berita. Sudah tiga hari para pejuang Sabilullah merehatkan badan. Esok pagi bakal bermula perjuangan baru – menyerang musuh di pinggir Kampung Sungai Galah. Menurut firasat Tuan Guru Hj Bakri, peperangan esok mungkin yang terakhir. Para pejuang memujuk Mawi supaya jangan turut serta kerana masih belum sihat sepenuhnya. Tapi orang yang keras hati sepertinya tak makan pujuk.
“Kenapa gerangan, penakut benarkah aku ni?” ujarnya dengan nada marah.
Sepetang suntuk Mawi bersilat memantapkan langkah 12 (seni silat orang Banjar), dengan tujuan untuk menerkam bersungguh-sungguh agaknya. Serba salah, kalau di tinggal, mau saja menonong mengikuti dari belakang seorang diri. Selepas dibenarkan barulah dia senyap.
Zikir Lailahaillallah tak berhenti-henti, musuh yang sudah bersedia menanti begitu ramai.
“Fisabilullah Allahuakbar!!!” laung Khalifah Acil sambil berlari di hadapan menghampiri musuh. Kelentungan senjata berlaga. Orang Cina pun apa kurangnya – bermacam kebolehan dan kemahiran dipamer dalam perjuangan penentuan antara hidup dan mati.
Sedang rancak bertarung, orang Cina terpinga-pinga kerana dengan tiba-tiba kelibat orang Banjar sudah tidak kelihatan. Pengganas komunis yang bijak bersembunyi di merata penjuru mula keluar dari tempat persembunyian untuk mengejar dan mencari pejuang-pejuang Banjar. Hilai ketawa mereka membayangkan seperti sudah mencapai kemenangan.
Namun, kegembiraan mereka cuma sementara. Sungguh tak disangka, tiba-tiba parang bungkol berterbangan sendirian macam air hujan menetak, melibas dan menikam hingga tak dapat dielak. Banjir Kampung Sungai Galah dengan darah. Lintang pukang pengganas komunis lari menghala ke hutan ketakutan.
Bagaimana parang boleh terbang sendiri kalau tak ada kudrat dan iradat yang mengarahkan. Sebenarnya orang Banjar jua yang bersungguh-sungguh menetak, cumanya mereka tidak kelihatan dengan mata kasar musuh. (Ilmu Pelimunan)
Keberanian orang Banjar turut menaikkan semangat orang Melayu di merata tempat. Perkampungan Cina di sepanjang Sungai Perak dan Chenderong Balai ranap dibakar dik dendam orang Melayu yang sudah lama menderita ditindas komunis. Selepas itu barulah tentera upahan British bangsa Punjab tiba untuk mengamankan Sungai Manik dan Kampung Gajah.
Sejak itu, tidak ada lagi orang Cina di Kampung Gajah. Saki baki pengganas komunis yang masih hidup lari ke dalam hutan.
Bissirril Al-Fatihah
Semoga Ruh Mereka Semua Dirahmati Allah.
Aamiin Ya Mujib
Kredit: Tengku Daeng Mawelle
https://www.facebook.com/1629604380625326/posts/2611123295806758/
Pautan laman sesawang lain yang berkaitan :-
- Gerakan Parang Panjang dan Kekejaman Komunis https://normanhafizi.blogspot.com/2020/12/gerakan-parang-panjang-dan.html
- Ilmu Tempur Parang Terbang https://normanhafizi.blogspot.com/2020/06/ilmu-tempur.html
No comments:
Post a Comment