Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Thursday, 8 October 2020

11 November 1946

11 November 1946 : Perang Senapang dan Parang

Perang Batu Kikir adalah satu peperangan yang agak aneh jika dibandingkan dengan peperangan yang pernah berlaku di tempat lain. Dalam peperangan ini kedua-dua pihak telah menggunakan senjata yang berlainan. Satu pihak menggunakan senjata api manakala yang satu lagi menggunakan peralatan tradisional iaitu parang. Tetapi yang anehnya pihak yang menggunakan peralatan tradisional telah berjaya, dengan jumlah korban yang minima, menewaskan pihak yang satu lagi. Peperangan ini juga dikenali sebagai Perang Senapang dan Parang. 

Pertempuran tersebut dikatakan berlaku pada hari Ahad bersamaan 11 November 1946, selepas waktu Asar iaitu sejurus berlakunya rusuhan kaum/peristiwa amuk di Pekan Padang Lebar pada 6 November 1946. Selepas peristiwa di pekan Padang Lebar, pihak berkuasa melarang keras senjata tajam untuk dibawa ke mana-mana. Dengan itu, pihak Bintang Tiga telah menggunakan kesempatan ini untuk menangkap dan membunuh orang-orang yang mereka fikirkan boleh mengancam kedudukan dan kekuatan mereka.

Penduduk yang bergelar “Tuan Haji” merupakan sasaran utama mereka. Ini kerana orang yang mempunyai gelaran tersebut mempunyai pengaruh kuat di kalangan orang Melayu. Ini kerana mereka berpendapat, dengan menangkap atau membunuh mereka, kekuatan orang Melayu memjadi lemah. Dalam masa yang sama, pihak Bintang Tiga turut menangkap dan membunuh orang-orang yang mereka dendami ketika tentera Jepun memerintah Tanah Melayu sebelum itu. Ini kerana ramai orang cina dibunuh dengan kejam waktu itu. Antara kampung yang menjadi sasaran pihak Bintang Tiga ialah Kampung Kelulut. Kebanyakan mereka ditahan di rumah sendiri. Agen-agen Bintang Tiga akan ke rumah-rumah mangsa dan memanggil mereka keluar. Apabila keluar, leher mereka terus ditanjul dan direntap ke tanah.

Pada masa yang sama, seorang penduduk yang dihormati, Tuan Haji Husin dari Kampung Serting telah dibunuh. Tindakan Bintang Tiga ini menyebabkan orang-orang kampung mula hilang kesabaran. Kemarahan orang kampung di sekitar pekan Batu Kikir tiba kemuncaknya apabila Tuan Haji Yahya ditangkap oleh sekumpulan pasukan Bintang Tiga. Beliau ditangkap kerana didapati membawa sebilah parang dalam perjalanan pulang dari pekan Kuala Pilah. Penangkapan beliau telah disaksikan oleh anak buahnya, Jamin. Jamin terus menyampaikan berita tersebut ke kampungnya iaitu Kampung Lonek.

Orang-orang kampung dari jauh dan dekat, termasuk dari Kampung Terusan dan Kampung Padang Lalang mula berkumpul di Kampung Lonek. Masing-masing bersenjatakan parang. Jumlah mereka hampir tiga ratus semuanya. Mereka berunding dengan Kiai Selamat (seorang yang alim dan arif dalam ilmu persilatan) mencari jalan terbaik untuk menyelamatkan Tuan Haji Yahya daripada tahanan Bintang Tiga. Pada sesiapa yang berani tampil ke hadapan untuk menentang ahli Bintang Tiga dianugerahkan ‘ijazah” oleh Kiai Selamat. Setiap seorang dikenakan ‘pengeras’ sebanyak seringgit. Imam masjid Kampung Lonek ketika itu diamanahkan mengutip wang tersebut. Selesai sahaja sembahyang asar dan membaca surah Yasin dan berdoa kepada Allah S. W.T., mereka pun bersiap sedia untuk ke pekan Batu Kikir.

Dalam pada itu, ada berita menyatakan bahawa Tuan Haji Yahya akan dibawa ke pekan Kuala Pilah oleh pihak Bintang Tiga menyebabkan perarakan tadi berpecah mengikut taktik yang telah dirancang. Mereka memakai Selendang Merah menandakan ada mangsa yang akan menjadi korban. Dari Kampung Lonek mereka menuju ke Bukit Gombang, kemudian belok ke kanan menyeberang Sungai Jempol ke Kampung Bukit Gombang – dan terus ke Kampung Bukit Kerdas. Dari Kampung Bukit Kerdas, mereka menghala pula ke simpang Bahau dan terus menuju ke pekan Batu Kikir. Dalam perjalanan, mereka melaungkan zikir Allah. Ada antara penduduk yang berada jauh dari tempat kejadian mendengar seolah-olah zikir itu datangnya dari langit.

Bagi peniaga-peniaga Cina di pekan Batu Kikir pula, mereka mengatakan telah melihat seorang penunggang kuda berpakaian serba hitam melalui jambatan Batu Kikir menuju ke arah Kuala Pilah kemudiannya terus ghaib. Bagi mereka yang menyaksikannya terus berkemas dan meninggalkan pekan tersebut. Cuma tentera Bintang Tiga yang berdegil sahaja yang tinggal di situ. Ketika orang-orang Melayu melalui jambatan Batu Kikir, tiba-tiba pihak Bintang Tiga melepaskan tembakan ke arah mereka. Tembakan itu telah mengenai 4 orang yang berada di barisan hadapan. Namun, rakan-rakannya yang lain terus mara dan berjaya membunuh 3 orang Bintang Tiga. Mayat-mayat mereka telah ditetak hingga hancur. Setelah itu mereka bergerak ke hadapan tetapi dihalang oleh lebih kurang 30 orang musuh. Apabila diselidiki didapati ramai lagi musuh di bawah jambatan dan di seberang sungai hingga ke masjid lama pekan Batu Kikir.

Setelah orang-orang Melayu lain tiba, maka berlakulah pertempuran. Seramai 16 orang musuh telah dapat dibunuh ketika itu. Kesemuanya dicampakkan ke dalam sungai. Mereka yang menyaksikan pertempuran itu mengatakan peristiwa itu berlaku lebih kurang 15 minit. Mengikut cerita anggota-anggota tentera Bintang Tiga yang terselamat, banyak perkara pelik telah berlaku sewaktu pertempuran itu antaranya ada yang mengatakan orang Melayu yang ditembak tingginya lebih kurang 15 kaki. Ada pula yang ditembak berkali-kali tidak cedera ataupun mati. Keadaan itu memaksa pihak Bintang Tiga berundur ke Balai Polis Batu Kikir untuk bertahan. 

Ada juga kanak-kanak turut serta dalam pertempuran ini, Antaranya, Latif, yang baru berusia dua belas tahun ketika itu. Mengikut cerita Latif, dua orang tentera Bintang Tiga telah berlutut meminta ampun daripadanya. Oleh sebab beliau masih kecil, beliau tidak tergamak untuk membunuh. Namun, kedua-dua pengganas itu telah dipenggal lehernya oleh seorang penduduk keturunan Jawa, Wak Sekam.  Di Balai polis itu pula dikawal oleh sepasukan Polis Punjab. 

Antara mereka ada yang beragama Islam. Dikatakan ada di antara mereka juga bersubahat dengan orang Melayu dengan menunjukkan tempat persembunyian anggota-anggota tentera Bintang Tiga. Ada juga yang memberi kata semangat dan ada juga yang membantu mereka yang tercedera. Beberapa orang peniaga Cina juga turut terbunuh kerana orang-orang Melayu tidak dapat membezakan mereka dengan anggota tentera Bintang Tiga. Walau bagaimanapun, barang-barang perniagaan kepunyaan orang-orang Cina di pekan itu tidak disentuh langsung oleh orang-orang Melayu. Penduduk-penduduk kampung yang semakin ramai tiba di pekan Batu Kikir. Mereka cuba mencari Tuan Haji Yahya. Tetapi beliau sudah pun dibawa dengan kenderaan Bintang Tiga menuju ke Kuala Pilah.

Walaubagaimanapun, kenderaan tersebut mengalami kerosakan di atas Bukit Engku Sulaiman (Di hadapan SRJK(C) Batu Kikir sekarang). Tuan Haji Yahya berjaya melepaskan ikatan pada badannya dan bertindak membunuh 6 musuh yang mengawalnya.

Peperangan tamat setelah tujuan sebenar untuk menyelamatkan Tuan Haji Yahya berjaya. Saki baki anggota Bintang Tiga melarikan diri ke dalam hutan. Setelah selesai sembahyang Maghrib, para penduduk mula mengumpul mayat-mayat dan senjata yang ditinggalkan musuh. Penduduk Melayu ramai juga yang terkorban dalam pertempuran itu sungguh pun ada yang mengatakan mereka adalah kebal, kebanyakannya kecundang juga dalam pertempuran itu.

Orang-orang kuat Bintang Tiga seperti Ah Pong dan Ujang dapat melarikan diri. Ujang dikatakan telah bertaubat setelah berjumpa dengan Tuan Haji Majid, seorang ulama pada ketika itu. Ah Pong pula telah mati dibunuh pada 13hb. Mei 1969 semasa dalam perjalanan ke Bahau. Dia dikatakan cuba memberi wang yang banyak kepada pembunuhnya supaya tidak diapa-apakan.

Keesokannya, pekan Batu Kikir di datangi Pegawai Daerah Kuala Pilah ketika itu, Gordon Hall. Beliau hairan melihatkan cuma seorang awam sahaja yang mati. Ini tidak seperti yang berlaku di pekan Padang Lebar. Kebanyakan yang mati di pekan Batu Kikir ialah tentera Bintang Tiga. Oleh sebab cuma seorang sahaja orang awam yang mati, tiada tangkapan dibuat. Beberapa orang penduduk telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk Tuan Haji Yahya. 

Ekoran daripada peristiwa berdarah ini, satu majlis berdamai telah diadakan antara orang Melayu dan Cina di Sekolah Kebangsaan Serting Hilir. Majlis ini bertujuan untuk memujuk kedua-dua belah pihak supaya berdamai dan menghilangkan perasan takut dan dendam. Antara yang hadir ialah Lim Chee Hwa (kini bergelar Dato’) dari Bahau. Peristiwa yang telah berlaku harus dijadikan tauladan dan ikhtibar oleh seluruh masyarakat. Untuk hidup aman dan damai, kita harus bertolak ansur dan jangan leka dengan kemewahan yang ada. Sejarah telah membuktikan bahawa kaum yang tidak berwaspada akan hancur kerana musuh sentiasa mencari kesempatan apabila kita khayal dan leka.

https://www.facebook.com/571735269/posts/10158666261995270/

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...