Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Saturday, 27 February 2021

...Socks dah tak ada dah...

Arkib : 08 Februari 2021 - 2021年2月8日 -

BAGAIMANA SEEKOR KUCING MENGAJAR SAYA TENTANG KEMATIAN - SEBUAH EULOGI BUAT SOCKS

Minggu ini saya dan isteri Nuha dikejutkan oleh penjaga kucing-kucing kami, Hairil dan Farha tentang kesihatan Socks yang semakin membimbangkan. Libang-libu kami di rumah International House berlokasi di Higashihiroshima. 

Tak senang duduk. 

Tapi lama dulu sebelum isteri saya ke sini, kami cuba berlapang dada. Dua-dua kucing kami memang sudah lanjut usianya, berbelas tahun. Jadi kalau mereka meninggal sewaktu berada di Jepun, memang hal yang tak boleh dielakkan. Ia adalah proses alam yang tak dapat dihentikan. Socks adalah seekor kucing yang baik. Selalunya kami akan benarkan dia masuk ke bilik tidur dan bersama dengan kami sampai ke pagi, itupun kalau dia tak bangun awal pagi sebab nak terberak atau terkencing. Pun begitu dia akan kejutkan kami dengan berlari-lari di kaki atau melompat-lompat di atas katil sampai kami terjaga. Kalau tak bangun juga alamatnya memang mendapatlah bau tahinya yang boleh kasi bilik berpekung seharian.

Socks suka bangun awal pagi dan berkejaran ke dapur kalau saya bangun tidur selepas solat subuh. Dia tahu saya ke sana untuk meletakkan makanan ke dalam pinggan plastik bercorak bunga. Kalau saya cuma bagi biskut Royal Canin, pasti dia buat muka dan memandang saya dengan sayu, macam cakap,

Tak cukup la...

Lalu saya pun membuka tin sheba berkandungan tuna dengan sos pekat buatan syarikat Jepun. Socks tak suka makan ayam, jadi sheba berkandungan ayam tidak saya beli, bimbang rugi tak dimakannya nanti.

Saya juga harus pastikan Sophie juga makan waktu tu. Sebab Socks suka makan, dan mukanya yang lebar tu akan menghimpit pinggan Sophie kalau makanannya habis lebih awal. Pasti Sophie pun menyampah dan mengetuk kepalanya kadang-kadang. Nak gigit tapi orang tua, malaslah dia. Jadi dia mengalah saja. Untuk berlaku adil, saya pastikan Sophie dan Socks makan serentak.

Saya lebih rajin bagi Sheba kepada Socks dan Sophie. Isteri saya cuma geleng kepala saja bila saya bagi Socks makan lebih dua kali sehari. Tak apa, kata saya. Sebab Socks jarang makan biskut Royal Canin dengan banyak. Mungkin gigi taringnya yang dah tinggal sebatang menyebabkan dia susah nak gigit biskut keras.

Biasalah. Orang tua.

Jadi suka makanan lembut saja. Bila fikirkan balik, bagus juga kalau saya sediakan makanan Socks sendiri. Masak untuk dia juga seperti saya masakkan makanan untuk keluarga. Sebab Socks adalah sebahagian dari keluarga kami.

Waktu Hairil dan Farha membawanya pulang dari klinik, dia cuma terbaring lemah dalam kereta. Bimbang takut-takut tak sempat berbual dengannya untuk kali terakhir, mereka bikin Video Call melalui aplikasi WhatsApp dan benarkan kami bercakap dengan Socks. Lama kami cuba memanggilnya. Kepalanya memandang ke arah bertentangan. Dia terlalu lemah waktu itu untuk menoleh. Doktor cakap hatinya dah tak mengeluarkan darah, sebab tu badan Socks sejuk kerana kurang darah. Oleh kerana faktor umur, doktor cuma cakap standby saja. Memang tak boleh buat apa.

Cokicok cokicok!

Saya panggil dia dari seberang talian. Isteri saya, temannya sejak 12 tahun lepas juga memanggil dia dari jauh. Selepas PKP tahun 2020 kami tak pernah berjumpa lagi dengan dia oleh sebab faktor jarak dan penguatkuasaan PKP tak membenarkan rentas negeri. Kami cuma harap dia tak rasa diabaikan, ditinggalkan. Hati orang tua begitulah, mudah tersinggung. Tapi dengan penjagaan teliti oleh Hairil dan Farha saya yakin mereka menjaganya dengan sangat baik. Malah lebih baik dari kami berdua.

Sewaktu di hujung video call, kami perhatikan dia perlahan-lahan mengangkat kepala. Farha kemudian menganduh kepalanya takut terkehel otot. Socks menoleh dan memandang kami tepat ke dalam kamera.

Socks seolah faham dan masih lagi kenal suara kami. Cuma badannya terlalu lemah, dia cuma mengiau dengan kuat dan kembali baring. Saya dan isteri telah lama berderai sayu, menangisi sahabat baik kami dalam keadaan tenat.

Keesokannya keadaan Socks masih kekal lemah. Tapi dia masih mahu makan seperti selalu. Cuma bukan lagi makanan yang berat-berat macam Royal Canin selalu tu. Cuma susu dan ubat untuk menampung kesihatannya yang merosot. Tiba waktu malam dia sudah sangat lemah. Hairil dan Farha membuat video call sekali lagi. Tak ada apa yang boleh dilakukan cuma melihat perlahan-lahan wajah cerahnya hilang seperti cahaya terkatup oleh gelapnya gua. 

Meowwww.

Socks memberikan satu ngiau terakhir. Kami mengucapkan terima kasih dan mohon maaf jika beliau tersinggung. Entahlah kenapa kami berkata begitu. Bukannya dia faham bahasa manusia. Tapi jauh di sudut hati, sifat manusia dalam dada yang berempati dan meng-antromofi-kan komunikasi, kami buat begitu, dengan harapan beliau faham.

Ok, Sefa dan Nuha... Socks dah tak ada dah...

Kata Hairil. 

Kami berpelukan menahan kesedihan. Tapi kami sedikit lega kerana dapat bersama Socks sampai saat terakhir. Ngiauan terakhirnya seperti mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir. Socks yang berumur 16 tahun dikebumikan malam itu juga oleh Hairil. 

Kematian Socks mengajar saya banyak hal dan buat saya memandang kematian dengan perspektif berbeza. 

Manusia menerusi jalur tradisi dan budaya membayangkan dunia kematian seperti satu perpisahan yang panjang, tanpa diketahui bilakah perjumpaan seterusnya. Maka dengan itu konstruk budaya membina imej-imej alam barzakh dengan pelbagai cara untuk membayangkan kehidupan selepas kematian. Sebab kita tak boleh nak bayangkannya selain menggunakan imej dan objek yang dilihat sewaktu hidup.

Saya fikir, jika sebelum lahir saya tak ingat apa-apa, barangkali selepas mati juga begitu, saya tak rasa apa-apa, atau tahu apa-apa.

Kesedaran cuma sebuah konstruk sosial dan imejan melalui rangsangan deria biologi. Manusia tak dapat membayangkan sebuah hal ‘hampa’; tak ada apa-apa. Mesti ada sesuatu selepas kematian. Sebuah ruang hampa, kosong, tak ada rasa apa-apa sebelum kita lahir adalah ‘nil’ dalam kepala kita. Tak boleh nak dibayangkan.

Tapi apakah sebenarnya ia memang akhirnya begitu? Balik kepada ‘tiada’. Tak ada kesedaran. Tak ada imej. Cuma ‘tiada’. Seperti sebelum kita lahir.

Mungkin kepercayaan yang dibina selama ini adalah untuk kita tidak berputus harap dan terus berkerja demi masyarakat. Semuanya tidak habis lagi. Hidup yang ada harus digunakan baik untuk kelangsungan masyarakat dunia.

Apa-apa yang kita percayakan pun, Socks mengajar saya untuk terus berjuang sampai habis melalui ngiauan terakhirnya. Barangkali budaya kita cuba menganjak fokus kepada momen sekarang, waktu ini. Untuk tidak terlalu gusar tentang kematian, namun mengerah bakti waktu hidup, supaya bila kematian datang, kita telah melakukan sedayanya untuk kemakmuran orang. Sebelum kembali kepada ketiadaan dan ruang hampa itu.

  • Maka jika anda memikirkan mahu melakukan kebaikan, waktunya sekarang.
  • Jika anda mencari kemaafan orang, waktunya sekarang.
  • Jika anda mahu berkerja dan malas bermalasan, waktunya sekarang.
  • Jika anda mahu menghentikan tabiat buruk, masanya sekarang.
  • Jika anda mahu mengucapkan cinta pada mak ayah, waktunya sekarang.

Sebab waktu kematian datang dan kembali kepadaan ketiadaan, adalah seperti masa senggang antara sedar dan jaga waktu bangun tidur. Tiada personaliti, tiada kesedaran, tiada rasa. Tapi mungkin tanggapan ini tersilap, dan mungkin kerana itu kepercayaan meletakkan ‘percaya’ dalam perkataannya.

Apa pun, kita semua tahu. Walaupun badan bercerai ke dalam tanah, kita akan kembali ke lingkungan biologi. Kembali menjadi zarah karbon yang bergabung dengan zarah lain; kembali ke semesta.

Begitulah Socks mengajar saya tentang kematian.

https://www.facebook.com/1245616488/posts/10225234327905673/

Pautan artikel lain yang berkaitan :-


MISI SEEKOR KUCING🌹

https://normanhafizi.blogspot.com/2021/03/misi-seekor-kucing.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...