Pakatan Membunuh J.W.W. Birch Dan Upacara Bermain Hantu Di Batak Rabit
Gambar : J.W.W. Birch (kiri) dan Sultan Perak, Sultan Abdullah (kanan)
Dalam usaha meracuni J.W.W. Birch, Sultan Abdullah, Laksamana dan Syahbandar telah membayar $40 kepada seorang wanita yang akan berpura-pura lari sebagai hamba ke kediaman J.W.W. Birch dan seterusnya memasukkan racun ke dalam makanan J.W.W. Birch. Rancangan ini diketahui oleh J.W.W. Birch melalui seseorang dari Durian Sebatang. Dengan itu beliau mengarahkan supaya menghalang sebarang wanita yang tidak dikenai menghampiri dapurnya dan dua pengawal mengawasi kediamannya.
Sultan Abdullah dan pembesar juga merancang menghantar Saimah memasukkan kaca dan kabung ke dalam bekas mandi J.W.W. Birch. Apabila mandi, kulitnya akan tersiat. Sekiranya usaha ini juga gagal, mereka akan memenggal kepala J.W.W. Birch.
Setelah gagal meracuni J.W.W. Birch, Sultan Abdullah meminta nasihat daripada Laksamana dan Raja Idris. Kemudian Sultan Abdullah mengambil keputusan untuk bermain hantu. Dengan itu baginda menjemput Bomoh Diraja, Raja Kechil Muda dan anaknya Raja Ahmad di Pasir Panjang datang ke Batak Rabit. Di Batak Rabit, Sultan Abdullah berunding dengan Syahbandar, Raja Mahkota, Raja Idris dan Orang Kaya Mat Arshad.
Seterusnya upacara bermain hantu atau berhantu diadakan di Batak Rabit pada 24 hingga 26 Ogos 1875. Upacara ini dilakukan oleh Bomoh Diraja, Raja Kechil Muda dan anaknya Raja Ahmad. Pada malam 24 dan 25 Ogos 1875 upacara ini khas untuk mengubat Sultan Abdullah yang gering, tetapi pada malam 26 Ogos 1875 upacara ini khas untuk membunuh J.W.W. Birch.
Pada malam pertama persiapan dibuat di balai. Kain kuning diletakkan di atas bantal dan tiga buah guri berisi air di sebelah kanan.Di ketiga-tiga guri itu dipasang lilin. Kira-kira pukul 8.00 malam ramai yang hadir, duduk bersama Sultan Abdullah di balai. Di antara mereka yang hadir ialah Syahabandar, Raja Idris, Raja Lop Ahmad, Tuk Bandar, Che Amin, Indut, Syed Masahor dan Kulup Mat Ros.
Setelah menghisap candu, Sultan Abdullah menyatakan sekiranya ada hantu dalam negeri Perak, bolehlah mereka melihat masa depan J.W.W. Birch dan kematiannya serta perahunya terkandas di Kuala Perak. Kemudian Raja Ahmad menyatakan kesanggupan beliau untuk memanggil semangat J.W.W. Birch jika baginda bersetuju membayar "pengeras" sebanyak $100.
Kira-kira pukul 9.00 malam Raja Ahmad duduk di atas tikar yang disediakan untuk memulakan upacara. Raja Kechil Muda duduk di sebelah kanan memegang gendang besar. Beberapa orang wanita duduk berhampiran Raja Kechil Muda. Sementara Raja Ahmad membakar kemenyan, Raja Kechil Muda memukul gendang sambil membaca jampi dan diikuti oleh wanita yang ada di sebelahnya. Seterusnya Raja Ahmad sambil memegang kipas di tangan kirinya melempar beras kunyit ke atas kain. Kemudian beliau mengambil patung yang disediakan, sambil mengetuknya dengan kipas. Patung ini dibuat oleh Raja Ahmad.
Setelah masa berlalu 15 minit, semangat memasuki Raja Ahmad. Raja Ahmad pun bertanya khabar dan meminta penjelasan memanggilnya. Raja Kechil Muda menyatakan yang dia dititahkan oleh Sultan Abdullah supaya bergabung semangat selama dua malam. Pada malam terakhirnya nanti, Sultan Abdullah akan menyatakan hajat baginda. Setelah semangat pertama pergi, datang pula semangat kedua. Semangat kedua ini mengemukakan pertanyaan yang sama. Dengan itu Raja Kechil Muda menyatakan jawapan yang sama. Setelah upacara itu berlansung selama satu setengah jam, Sultan Abdullah berpindah dan duduk berhampiran Raja Ahmad yang sedang menurun. Dengan itu Raja Kechil Muda dan wanita berhampirannya berpindah ke sebelah kiri Sultan Abdullah.
Kemudiannya semangat jahat memasuki Raja Ahmad. Sekali lagi bertanya khabar dan meminta penjelasan memanggilnya. Pada kali ini Raja Kechil Muda menyatakan supaya bergabung semua semangat jahat di Perak untuk menentang J.W.W. Birch dan orang putih. Setelah beberapa semangat datang maka upacara bermain hantu pun diberhentikan. Seterusnya Sultan Abdullah memaklumkan supaya jangan menghadap baginda sebelum tengah hari esok.
Pada keesokan harinya, 25 Ogos 1875, Laksamana dan Dato Sagor datang ke Batak Rabit. Sultan Abdullah menyatakan upacara bermain hantu sudah dijalankan. Upacara bermain hantu diteruskan lagi pada malam kedua. Dato Sagor hadir, Laksamana tidak hadir tetapi tinggal dalam perahunya. Dalam upacara ini semangat jahat yang datang itu menuntut ganjaran. Raja Kechil Muda berjanji akan membuat perahu persembahan dan akan ditunaikan sebaik sahaja J.W.W. Birch mati.
Kemudian upacara ini diteruskan pada malam ketiga. Pada malam itu Raja Ahmad dimasuki tiga semangat jahat. Apabila sahaja tujuh semangat jahat memasuki Raja Ahmad, Sultan Abdullah menghunus keris dan jatuh bangun menari. Raja Ahmad datang menghampiri Sultan Abdullah dan membentuk lembaga manusia daripada tepung di atas daun pisang yang ada di dalam pinggan. Selepas itu Sultan Abdullah meminta mereka yang hadir senyap. Seterusnya Sultan Abdullah dan Raja Ahmad menutup muka masing-masing dengan kain selendang dan mengarahkan muka pinggan ke muka mereka. Mereka duduk berhadapan di antara satu sama lain kira-kira 15 minit.
Dalam suasana hening itu, Raja Ahmad dan Sultan Abdullah menikam lembaga tersebut beberapa kali. Selepas itu Sultan Abdullah membalut pinggan itu dan diletakkan di sebelah. Kemudiannya mereka duduk berhadapan di antara satu sama lain sehinggalah semangat keluar daripada tubuh mereka. Sultan Abdullah melaporkan kepada hadirin, dalam tempoh sebulan J.W.W. Birch akan mati. Upacara ini berakhir pada pukul 2.30 pagi.
Pada 26 Ogos 1875, Dato Sagor pulang. Sementara itu beberapa orang pembesar masih tinggal di Batak Rabit. Kira-kira empat hari selepas bermain hantu, Sultan Abdullah bersama empat buah perahu mudik Sungai Perak. Sultan Abdullah lazimnya berangka dengan empat buah perahu. Perahu pertama kenaikan baginda, perahu kedua isteri baginda Saedah, perahu ketiga tukang masak dan perahu keempat hamba wanita. Tiap-tiap perahu tersebut dibekalkan lembing, keris dan dua pucuk meriam lela. Dalam perahu Sultan Abdullah sendiri terdapat 70 batang lembing dan 17 laras senapang.
Pada 27 Ogos 1875, Indut datang memaklumkan kepada Sarjan Mahmud yang bertugas di Durian Sebatang, bahawa Sultan Abdullah akan membunuh J.W.W. Birch. Kemudian sekali lagi pada 29 Ogos 1875, dia menyatakan pembesar dan Sultan Abdullah akan membunuh J.W.W. Birch. Selain itu Indut juga memaklumkan kepada J.W.W. Birch berkenaan rancangan pembunuhan ini. J.W.W. Birch tidak gentar dengan berita ini, malah menyatakan dia kenal kesemuanya. Selain itu, J.W.W. Birch menyatakan tidak perlu risau kerana dirinya sudah tua. Jika dia mati, Perak akan menjadi kepunyaan Ratu Inggeris.
Petikan dari buku Pasir Salak: Pusat Gerakan Menentang British di Perak karya Prof Abdullah Zakaria.
https://www.facebook.com/272987353403364/posts/553342105367886/
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
Perjanjian Pangkor
https://normanhafizi.blogspot.com/2021/04/perjanjian-pangkor.html
No comments:
Post a Comment