Dato Mohd Noor Abdullah @ Bah Ayob
Saya amat terkesan dengan pemergian Dato Mohd Noor Abdullah hari ini (24 Oktober 2021).
Walaupun tidak pernah bersua muka, saya begitu teringin sekali hendak bertemu sosok hebat daripada suku Semai itu.
Allahyarham Dato Mohd Nor menghembuskan nafas terakhir di Hospital Baling jam 2.30 pagi tadi pada usia 87 tahun.
Nama sebenarnya Bah Ayob berasal dari Kuala Mensoon, Cameron Highlands. Seawal usia lapan tahun, beliau menyertai gerakan komunis dan pernah berkhidmat sebagai ‘water boy’ kepada Chin Peng.
Ketika itu, komunis agresif mempengaruhi warga asli untuk menyokong kegiatan mereka.
Bagaimanapun satu insiden telah mengubah Bah Ayob untuk berpaling tadah. Komunis membunuh 40 penduduk orang asli yang sedang dalam perjalanan untuk melakukan barter trade setelah menuduh mereka ejen British. Ini menyebabkan Bah Ayob bersama sembilan rakannya nekad untuk meninggalkan kem pengganas.
Mereka bertemu Lt. Kol. R.O.D. Noone, Pengarah Jabatan Orang Asli yang berkelulusan dalam bidang antropologi dari Univiersiti Cambridge, meluahkan hasrat mereka mahu bantu kerajaan memerangi komunis sekali gus membalas dendam atas pembunuhan beramai-ramai warga suku mereka.
Ini berlaku dalam tahun 1955.
Noone menyambut baik hasrat Bah Ayob dan rakan-rakannya lalu tertubuhlah pasukan Senoi Praaq yang bermaksud ‘orang perang’. Misi awal mereka ialah mendekati masyarakat orang asli dengan pendekatan 'heart & mind' memastikan orang asli tidak termakan dakyah komunis.
Bah Ayob @ Dato' Mohd Nor diberi nombor badan 001 sebagai anggota pertama Senoi Praaq.
Dalam tugasan awal, mereka diberi sepucuk senjata api dengan 10 butir peluru untuk memburu pengganas komunis. Hasilnya, mereka berjaya membunuh lebih daripada 10 musuh.
Kecekapan anggota Senoi Praaq sebagai penjejak di dalam hutan terkenal ke serata dunia. Kerana itu, mereka diberi pengiktirafan untuk memakai beret merah pasukan khas British, SAS (Special Air Service).
Komunis pada masa itu sentiasa cuba untuk mengelak daripada bertembung dengan Senoi Praaq. Mereka tahu, setiap kali bertempur, ramai anggota mereka yang akan dibunuh.
Senoi Praaq muncul sebagai pasukan dengan ratio kematian musuh yang paling tinggi berbanding pasukan keselamatan lain.
Ratio pembunuhan musuh bagi Senoi Praaq ketika itu ialah pada 16:1 iaitu bagi kematian 16 anggota musuh, hanya satu sahaja di pihak Senoi Praaq.
Pada 1960, Senoi Praaq dihantar ke Selatan Thailad untuk memujuk 3,000 orang asli daripada terpengaruh dengan dakyah komunis. Mereka juga diarahkan untuk memburu pemimpin gerila PKM, Soo Ah Chye yang fasih berbahasa Temiar.
Pada 1963, Presiden Vietnam, Ngo Dinh Diem meminta Noone bersama anggota Senoi Praaq l membantu kerajaan negara itu memerangi gerila Viet Cong.
Hasil kerjasama Senoi Praaq, l Montagnard Scouts ditubuhkan bawah seliaan CIA yang dianggotai orang asli Vietnam. Di Vietnam, ada kaum orang asli yang memiliki ciri-ciri bahasa dan budaya yang sama dengan orang asli Tanah Melayu. Ini memudahkan proses latihan dikendalikan oleh Senoi Praaq.
Bagaimanapun penglibatan Senoi Praaq dalam operasi ketenteraan di Vietnam tidak disenangi oleh pasukan tentera elit negara itu. Selama ini, mereka tidak pernah memberikan perhatian terhadap orang asli negara itu, apatah lagi untuk melibatkan mereka dalam operasi keselamatan.
Disebabkan itu, Noone membawa Senoi Praaq keluar dari Vietnam dah kembali ke tanah air.
Kecekapan dan kemahiran Senoi Praaq turut dijadikan model dalam usaha British memerangi pengganas di Borneo. Pasukan Bornoe Border Scouts (BBS) ditubuhkan mengikut model Senoi Praaq membabitkan kaum pribumi tempatan. Ini diikuti penubuhan Sabah Border Scouts (SBS) pada 1964 yang kebanyakan anggotanya daripada kaum Murut.
Dalam Perang Indo China, Senoi Praaq pernah digunakan secara rahsia oleh CIA untuk memerangi komunis.
Amat mendukacitakan apabila Amerika Syarikat keluar dari Laos, pasukan Senoi Praaq ditinggalkan begitu sahaja. Ini mungkin bersebab dengan Senoi Praaq dibawa ke Laos secara rahsia, lalu rahsia itu juga seharusnya dibiarkan terkubur di sana.
Namun, semangat juang anggota Senoi Praaq ternyata tidak boleh diragui sama sekali. Mereka berjaya kembali ke tanah air setelah melalui berbagai-bagai pertempuran dengan berbagai-bagai musuh di sepanjang perjalanan.
Keunikan Senoi Praaq menyebabkan mereka digelar 'the silent killers' dan hal ini dirakamkan dalam buku “Death Waits in the Dark: the Senoi Praaq, Malaysia’s Killer Elite”.
.....
Semasa berlangsung Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 2019, saya berkhidmat di UUM sebagai Felo Universiti.
Apabila bekas pegawai kanan Bukit Aman berpangkat Asisten Komisioner, Ramli Mohd Nor dinamakan sebagai calon BN untuk bertanding dalam pilihan raya itu, senior zaman sekolah. Cikgu Rosli Endut bertanya saya: "Mat, tau dak calon BN tu Kolejian? Ada dak maklumat pasai dia?"
Saya hairan, macam mana pula seseorang yang berlatar belakang anak orang asli dari Cameron Highlands dikatakan bersekolah di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, alma mater kami.
Walaupun agak ragu-ragu, saya rujuk juga persoalan itu kepada super senior kami Datuk Noordin Abbas kerana jangkaan saya, mereka sebaya.
Selepas dua tiga hari, Datuk Noordin memaklumkan saya, "ya benar, Tuan Ramli tu memang budak Kolej, Mat. Dia batch 76 junior setahun daripada saya," kata Datuk Noordin.
Tetapi macam mana ya, dia orang Cameron Highlands, boleh mai sekolah di Aloq Setaq, saya masih tertanya-tanya.
Saya rujuk pula persoalan itu kepada seorang lagi senior, Mohd Faudzi Abdullah, anggota PDRM di IPD Kubang Pasu yang pernah 25 tahun dalam pasukan Senoi Praaq.
"Mat, pak Tuan Ramli tu, Dato Mohd Nor sampai la ni, lepas pencen polis dengan pangkat ASP, duk di Kroh (Pengkalan Hulu). Dulu base Senoi Praaq di Kroh," kata Faudzi yang kami panggil Abang Jilah.
Oh! Lagu tu?
Saya pun merangka teori, Tuan Ramli (kini Yang Berhormat) dari Pengkalan Hulu mungkin bersekolah di Baling, kemudian dengan pencapaian akademik yang baik, ditawarkan bersekolah di Kolej Sultan Abdul Hamid.
.....
Sejak itu, saya terus menggali maklumat mengenai Tuan Ramli dan bapanya hingga saya temui apa yang paling menarik -- pembabitan Bah Ayub dengan komunis dan juga insiden yang mendorong dia dan rakan-rakannya lari meninggalkan kem komunis untuk berpaling tadah..
Saya juga memasang hasrat untuk ke Pengkalan Hulu bersama Jilah, bertemu sendiri dengan Dato' Mohd Nor dan menulis novel kisah hidupnya.
Saya yakin, usaha untuk menobatkan Dato Mohd Nor sebagai wira negara akan dapat dicapai jika kisah ini dibukukan, malah mungkin boleh difilemkan jika ada pihak yang sudi.
Bagaimanapun, apabila jadual kehidupan ditindan dengan rutin demi rutin yang tidak berkesudahan, saya pendam hasrat itu sekadar menjadi hasrat, yang juga tidak berkesudahan.
.....
Apabila Jilah menghantar mesej kepada saya pagi tadi memaklumkan Dato' Mohd Nor telah kembali ke alam baqa', saya sekadar mampu melengung kesedihan.
Selain Dato' Mohd Nor, ada banyak lagi wira daripada pasukan Senoi Praaq yang perlu diberikan perhatian.
Apot anak Saad yang sekarang sudah berusia 72, bersara sejak 2003, juga terlalu banyak jasanya untuk negara.
Saya mendapat cerita, selepas bersara, beliau sekadar menoreh getah untuk meneruskan kehidupan. Kini keadaannya semakin uzur.
Sudah ramai musuh negara tewas di tangan penerima Pingat Gagah Berani (PGB) itu.
....
Perginya wira bangsa. Moga arwah Bah Ayub @ Dato Mohd Nor Abdullah dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T. atas hijrah dan jihadnya dalam memerangi musuh negara sejak usia muda.
Takziah untuk YB Ramli Mohd Nor, adinda beliau, Puan Sapiah Dato' Mohd Nor Ketua Pengarah JAKOA serta seluruh keluarga atas pemergian ayahanda.
.....
Insyaallah, walaupun beliau sudah tiada di dunia, moga Allah berikan juga kesempatan kepada saya untuk merealisasikan impian menulis buku kisah Dato Mohd Nor dan Senoi Praaq suatu hari nanti sebagai inspirasi untuk anak bangsa.
Siru aala barokatillah.
Allahummaghfirlahuwarhamhu Waafihi Wa'fuanhu. Al Fatihah buat pejuang tanah air Allahyarham Dato Mohd Nor Abdullah. Moga Allah cucuri rahmat, memberikan setinggi tinggi ganjaran atas jasa baktinya untuk kita semua.
Notes;
10 anggota pengasas Senoi Praaq
- Mohd Nor Bin Abdullah @ Bah Ayob
- Abdul Kadir Bin Abdullah @ Bah Kati
- Yok Juntai Anak Pak
- Rami Anak Perlong
- Abdul Shukor Bin Abdullah @ Bah Sidap
- Bah Tangga Rahamat
- Busu Anak Garah
- Bah Panggal Anak Kela
- Pak Ngah Anak Pak Kawos
- Mat Ali Anak Bah Ting.
Dipetik daripada sumber - https://www.facebook.com/596018318/posts/10159906050283319/
#ipoh Allahyarham Mohd Nor adalah antara 10 anggota pertama berkhidmat dalam Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq.
Sumber bacaan tambahan :-
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/10/770120/bapa-ahli-parlimen-cameron-highlands-meninggal
No comments:
Post a Comment